Cari Nota Dengan Cepat...!

Friday, January 4, 2013

Konsep Puisi Bahasa Melayu


Konsep Puisi

Puisi sering dianggap objek yang kabur dan menakutkan. Banyak orang yang cuba menjelajahinya tersesat dalam rimba puisi yang gelap dan misteri itu. Namun, wajar diakui bahawa untuk menerokai daerah puisi, seseorang harus berbekalkan kematangan kata, kebijaksanaan makna dan kelunakan rasa. Sesungguhnya, apabila seseorang telah berupaya menerobos ruang makna sesebuah puisi, maka ia telah mencapai darjah kebahasaan tertinggi. Tidak ada lagi tingkat kebahasaan yang lebih tinggi selain bahasa puisi. Seserang pujangga yang mencipta puisi mengikut T.S. Eliot (1993) ialah “arkitek yang membina keindahan pengalaman dengan kecantikan bahasa secara bijaksana”.

Za’ba (1962:218)  yang mendefinisikan puisi sebagai karangan berangkap, dilihat memberikan tafsiran yang agak umum dan kabur walaupun terdapat penegasan tentang konsep kecantikan puisi tersebut. Katanya:
“Karangan berangkap itu khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.Maka, dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya.”
Struktur karangan berangkap yang dimaksudkan Za’ba merangkumi aspek susunan kata, rentak bunyi dan isi. Katanya:
“Karangan berangkap itu ialah karangan yang disusun dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan di antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyinya atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakannya memakai timbangan dan sukatan yang tertentu. Dalam perbahasan pengarang-pengarag cara baharu sekarang, karangan demikian disebut “puisi” (berlawanan dengan “prosa” iaitu karangan lurus sahaja).

Sebait puisi juga merupakan alunan rasa dalam kilasan imaginasi si penyajak seperti yang dikonsepkan oleh William Worsdworth (1988:4) iaitu “suatu pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak dan berlaku secara spontan dalam suasana tenang”.
Sungguhpun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa puisi ialah ciptaan yang indah daripada aspek bentuk dan isi sehingga mendorong Samuel Taylor Coleridge (1988:4) menganggap puisi sebagai “the best words in their best order”.
Kecantikan bentuk harus pula diharmoniskan oleh keutuhan makna dan keanjalan rasanya. Oleh sebab itu, Muhammad Haji Salleh (1988:10) melihat puisi sebagai “…bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana. Bukanlah puisi nama andainya ia tidak berupaya membijaksanakan pembaca.”
Tanggapan beliau selari dengan pandangan Robert Frost (1988:54) yang menegaskan bahawa proses penikmatan puisi sebagai “it begins in delight and ends in wisdom.”
V.I Braginsky (1994:2) pula menyatakan bahawa untuk menikmati karya sastera termasuk puisi, seseorang pembaca mungkin mencapai salah satu atau semua tiga tingkat sfera fungsional di bawah:
Sfera mengharmonikan kekacauan kesan-kesan psikik / pengubatan psikik / psikoterpi jiwa / hiburan
Sfera faedah / manfaat / alat penghayatan intelektual / cerminan didaktik
Sfera kesempurnaan rohani / kamal / penghayatan intuitif berhubungan dengan Allah
Ralph Waldo Emerson (1988:6) pula berpandangan bahawa “puisi membawa makna sebanyak mungkin dalam kata-kata sedikit mungkin.”

Bagi khalayak sastera Melayu, penggunaan istilah “puisi” masih agak baru. Mereka lebih sering menggunakan istilah “sajak”. Oleh itu, Muhammad Hj Salleh (1988: 1-4) membezakan konsep sajak dan puisi. Mengikut beliau:
“Istilah sajak sekarang ini digunakan secara agak longgar dan sering disamaertikan dengan puisi. Tetapi, maknanya yang lebih tepat dan diterima di kalangan pengkaji kesusasteraan ialah bahawa sajak itu suatu bentuk moden yang lebih bebas dan seterusnya rangkapnya tidak terikat atau menyalin bentuk-bentuk tradisional seperti pantun dan syair dan membawa suasana serta pandangan hidup yang lebih moden.”

Dalam hal ini, Muhammad Hj Salleh menegaskan bahawa sajak ialah karya ringan yang belum sampai ke peringkat sastera, sementara puisi ialah karya yang telah mencapai tahap tinggi dalam tema, bahasa dan teknik sehingga wajar digolongkan sebagai hasil sastera.

Sehubungan dengan itu, Harun Mat Piah (1989:1) berpendapat bahawa tiada satu definisi umum yang dapat diaplikasikan dengan tepat kepada konsep puisi seperti yang difahami oleh masyarakat kesusasteraan Melayu. Oleh itu, beliau berpegang pada tanggapan iaitu puisi sebagai satu bentuk pengucapan bahasa dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan biasa seperti yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari.

Jelaslah bahawa dari jurus mana pun, seseorang memandang puisi, hakikatnya sebagai satu bentuk genre kesusasteraan. Puisi merupakan manipulasi aksara yang terjelma daripada kesepaduan medan kata, medan  makna dan medan rasa hasil proses kreatif imaginatif Sang Pujangga. Kerap kali puisi membawa bersamanya amanat budi rasa, budi fikir masyarakat yang digarap secara misterius religius. Hal ini sedikit sebanyak mengesahkan pendapat umum bahawa puisi ialah seni sastera yang aneh dan tak tentu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...