Cari Nota Dengan Cepat...!

Sunday, August 26, 2012

Tasawur dan Kosmologi Masyarakat Melayu


Setiap bangsa dalam dunia, walaupun primitif, mempunyai kosmologi tersendiri.

Setiap bangsa, sama ada berdasarkan kitab wahyu, mitos, atau falsafah pemikiran warisan turun temurun, mempunyai tanggapan tersendiri tentang penciptaan alam semesta dan pemikiran yang berkaitan dengannya.

Walaupun kosmologi Melayu moden lebih dipengaruhi oleh kosmologi Islam, namun tamadun Melayu yang pernah berada di bawah pelbagai pengaruh budaya sebelum Islam, maka kosmologi tersebut turut mengambil tempat dicelah-celah pentafsiran kosmologi Melayu Islam.

Orang Melayu silam turut mempunyai konsep kosmologi yang dipengaruh oleh budaya animisme, Hindu dan Buddha.Mereka memuja semangat, dan penunggu; mereka membaca mentera yang menyebut asal kejadain alam dan makhluknya.

Mereka memohon perlindungan daripada penunggu pokok dan gua. Mereka meminta pertolongan jin dan syaitan dalam perubatan dan sihir. Mereka mempunyai banyak mitos yang menyebut balik tentang mitos kayangan ini seperti peranan yang dimainkan oleh Sri Rama, Siti Dewi, Raja Muda Laksmana, Hanuman Kera Putih dalam plot ceritanya yang jelas menunjukkan terdapat unsur kehinduan di dalam persembahan itu.

Wayang kulit yang merupakan warisan budaya silam menjadikan watak tersebut sebagai latar belakang persembahannya.

Orang Melayu tradisional menghayati satu cara hidup yang dianggap unggul dari segi kaca mata pandangan moden semasa. Antara manifestasi keunggulan tersebut ialah apa yang terkandung dalam pandangan alam (Weltanschauung) dan budaya alam bangsa Melayu. 

Bagi orang Melayu tradisional, mereka melihat alam tabii ini sebagai penuh dengan makna, simbolisme, gurindam dan syair. 

Pandangan mereka sekali-kali tidak terhad kepada manifestasi material alam, bahkan bagi mereka dimensi fizikal yang amat penting bagi sains dan teknologi moden hanyalah satu manifestasi kecil fenomena alam ini yang kewujudannya sebenarnya bergantung kepada dimensi hakikat dan ruh yang maha seni. 

Penghayatan pandangan ini, misalnya, dapat diperhatikan secara praktis dalam kehidupan seharian dan kemasyarakatan mereka.

Perkembangan semiotik tabii dan kosmologi kebudayaan generasi-generasi tersebut menyerap pelbagai unsur yang datang dari luar ruang budaya Melayu asli.Unsur-unsur luar tersebut datang daripada timur dan barat. Hindu, Buddhis, Islam dan Barat merupakan pengaruh yang memberi kesan kepada pembentukan semiotik dan kosmologi Melayu. Namun demikian, intipati semiotik dan kosmologi Melayu masih terpelihara. 

Oleh itu dalam "alam Melayu," haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan mampu bercakap, bahkan bermadah secara bernas setanding dengan sebarang pujangga manusia. Alam Melayu juga dimana manusia (khasnya syaman, pawang, bomor, sufi dan wali Allah) berinteraksi dengan haiwan, tumbuhan dan batu-batan pada tingkatan yang sukar diterima dan untuk dibayangkan oleh manusia sekular.

Kemampuan bertinterkasi tersebut juga merupakan landasan yang membuka jalan bagi manusia Melayu mampu hidup berharmoni dengan alam tabii. Bagi kebanyakan manusia moden, khususnya dari barat, bercakap dengan mahluk lain selain sesama manusia hanyalah dalam cerita dogeng. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...