Cari Nota Dengan Cepat...!

Showing posts with label sekolah. Show all posts
Showing posts with label sekolah. Show all posts

Sunday, July 5, 2009

Sekolah Bestari. Smart School. -Artikel-

KIRA-KIRA 11 tahun lalu, idea sekolah bestari sebelum diperluas kepada 88 sekolah seluruh negara pada 1999 yang menjadi pemangkin dalam keghairahan era digital yang melanda dunia ketika itu.

Idea sekolah bestari yang dijadikan satu daripada aplikasi perdana, MSC Malaysia dalam usaha meningkatkan kadar celik teknologi maklumat (IT) di kalangan rakyat selain merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.


Sebanyak 88 sekolah dipilih untuk menjadi permulaan pengenalan sistem ini kepada penyelarasan konsep, bahan, kemahiran dan teknologi sekolah bestari yang dibangunkan Kementerian Pelajaran.

Namun, terdapat analisis pada 2005 yang dijalankan terhadap sekolah yang terbabit dan keputusan mendapati peruntukan kemudahan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan koordinasi diselaraskan tidak diuruskan dengan baik oleh beberapa sekolah.

Sehinggalah pada 2006, Konsul IT Kebangsaan mengesyorkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi mandat melalui cadangan Kementerian Pelajaran memberi tanggungjawab menyelaraskan konsep sekolah bestari di 88 sekolah yang terpilih kepada Multimedia Development Corporation (MDeC).

Ia adalah usaha memastikan tugas koordinasi sistem pengajaran, pembelajaran dan pengurusan terhadap sekolah-sekolah berlandaskan teknologi ICT dijalankan dengan lebih sistematik.

Dalam pada itu, MDeC turut bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam mengawas serta mewujudkan nilai tambah kepada program itu menerusi program penilaian Standard Kelayakan Sekolah Bestari.

Menerusi program itu, setiap sekolah terbabit akan digredkan mengikut pencapaian diperoleh berpandukan kriteria yang ditetapkan.

Pelaksanaan projek sekolah bestari berasaskan titik tolak kepada persediaan menghadapi era sains dan teknologi.

Sekolah bestari menjadi institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi amalan pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu pelajar menghadapi zaman maklumat moden.

Secara amnya, objektif sekolah bestari dibina berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu:


· Mendemokrasikan pendidikan

· Membangun intelek, jasmani, emosi dan rohani pelajar

· Mewujudkan peluang bagi meningkatkan kekuatan dan kebolehan individu

· Menghasilkan tenaga kerja yang berfikir dan celik teknologi

· Meningkatkan pembabitan pihak berkepentingan



Jika diteliti daripada objektif itu, sasaran utama projek ini adalah pelajar. Oleh itu, pelaksanaan projek rintis ini adalah langkah awal yang terbaik untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir pada zaman IT moden.

Selain itu, peranan ibu bapa penting kerana proses sekolah bestari memerlukan tenaga kerja yang bukan saja mahir menggunakan perkakasan ICT tapi kebijaksanaan menyediakan idea pembelajaran berkesan.

Sistem sekolah bestari ini diperkuatkan lagi apabila MDeC dipilih bagi membantu meningkatkan kualiti serta memenuhi objektif pelaksanaannya.

Sekolah bestari mengandungi institusi pembelajaran yang direka semula secara sistematik dari segi amalan pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu kanak-kanak menghadapi zaman maklumat menggariskan komponen utama seperti :


· Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)

· Sistem pengurusan sekolah bestari

· Polisi

· Sumber manusia, kemahiran dan sikap

· Teknologi

· Proses



MDeC menjadi sandaran untuk memperkemaskan sistem IT di sekolah bestari dengan menyediakan platform seperti pembekalan perisian membabitkan pembelajaran dan pengajaran.

Kerjasama dijalinkan MDeC secara tidak langsung melicinkan operasi di sekolah bestari yang tidak hanya terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.

Pengurus Kanan Bahagian Sekolah Bestari MDeC, Dr Norrizan Razali, berkata usaha meningkatkan sekolah bestari memerlukan kerjasama erat antara tenaga pengajar dan pelajar bagi memberikan hasil positif bukan saja dalam aspek pembelajaran malah menambah nilai keberkesanan ICT untuk generasi akan datang.

"Sekolah bestari memiliki kelebihan kerana mereka dilengkapi sistem pembelajaran menggunakan ICT yang berkeupayaan meningkatkan daya saing dalam dunia pembelajaran moden," katanya.

Tambah Norrizan, ia secara tidak langsung menawarkan aspek tambahan kepada pelajar yang akan berminat untuk mendalami ilmu menggunakan medium pembelajaran lebih interaktif.

"Namun, ia memerlukan tenaga pengajar yang perlu memahami pembelajaran melalui ICT bukan bermakna pelajar dibimbing dalam keadaan terhad, contohnya cikgu meminta pelajar membuat karangan menggunakan aplikasi Microsoft Word," katanya.

Katanya, sekolah bestari memberi peluang pelajar lebih kreatif dan bebas memberi idea sesuai dengan konsep ICT.

"Modul sedia ada mampu menarik minat pelajar mendalami ilmu malah ia bagai sistem dua dalam satu apabila pelajar bukan saja tertarik untuk belajar tapi memberi peluang membina keyakinan sebagai persediaan menghadapi dunia luar," katanya.

Katanya, sekolah bestari di luar bandar bukan saja membantu pelajar yang jauh dari kelengkapan moden di bandar tapi ia membantu komuniti setempat dalam arus pemodenan.

Dua sekolah luar bandar berstatus bestari yang dikunjungi MDeC dan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dari Kementerian Pelajaran baru-baru ini dilihat mampu memberi impak kepada pelajar dan penduduk setempat.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura di Sandakan dan SMK Tenom, di Tenom di Sabah menjadi bukti betapa pembestarian sekolah bukan saja menjadi milik pelajar malah memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Kedua-dua sekolah ini menawarkan pelajar yang tidak memiliki PC di rumah menggunakan komputer di sekolah untuk pembelajaran atau membaca e-mel.

Menurut Pengetua SMK Elopura, Kalsom Abd Aziz, konsep sekolah bestari di sekolah itu bukan saja terhad apabila sesi persekolahan.

"Kami buka makmal komputer pada waktu malam yang digunakan pelajar bagi membantu mereka mengenali teknologi ICT," katanya.

Menurutnya, walaupun ibu bapa bukan terdiri dari golongan profesional dan tidak menggunakan komputer, mereka memberi galakan anak-anak berkecimpung dalam dunia teknologi kerana tahu manfaatnya.

"Sekolah turut menjemput ibu bapa yang kebanyakan golongan miskin menggunakan perkakasan ICT di sekolah," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran mengendalikan sekolah bestari, antaranya bekalan elektrik yang sering terputus dan kekurangan guru penyelaras ICT

Guru serta juruteknik yang berkemahiran dalam bidang ICT perlu ditambahkan bagi setiap sekolah dalam usaha memastikan kelancaran.

Pembaca harus memahami bahawa konsep sekolah bestari tidak sama dengan sekolah berasrama penuh atau institusi yang mementingkan akademik semata-mata.

Ini bermakna sekolah bestari bukan hanya menempatkan pelajar pintar tapi memberi peluang sekolah menyediakan proses pembelajaran lebih inovatif dan interaktif.

Malah, SMK Elopura dan SMK Tenom membuktikan sekolah bestari bukan sahaja menjadikan pelajar lebih terbuka terhadap ICT malah memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.

Sekolah Bestari. Konsep Dan Matlamat

Sejak mencapai kemerdekaan, negara kita telah mengalami perubahan yang pesat dalam sistem pendidikannya. Bagi meningkatkan mutu pendidikan, dasar - dasar pendidikan negara sentiasa dikaji dan kurikulum diperkemaskan bagi memastikan keberkesanan perlaksanaannya dalam menghadapi alaf baru yang timbul dalam bidang ekonomi, politik dan sosial selaras dengan perkembangan pesat yang sedang berlaku dalam negara.

Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, iaitu memerlukan pertumbuhan produktif yang dapat dicapai melalui kepakaran teknologi, tenaga kerja yang mampu berfikir secara kritis, inovatif dan kreatif serta bersedia untuk turut serta dalam ekonomi globalisasi.

Di samping itu, falsafah pendidikan negara berhasrat utnuk membentuk perkembangan potensi individu secara holistik dan bersepadu supaya dapat menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pemangkin ke arah pengubahsuaian ini kerajaan telah mewujudkan Sekolah Bestari yang lengkap dengan teknologi terkini bagi memperbaiki sistem pendidikan negara di samping menyediakan tenaga kerja mahir bagi menghadapi cabaran alaf baru.

Pengubahsusian sistem pendidikan memerlukan perubahan dari segi amalan dan budaya di sekolah rendah dan menengah. Sistem pendidikan masa kini perlu berubah dari pembelajaran yang hanya menekankan hafalan kepada pembelajaran merangsangkan pemikiran dan kreativiti, mengambil kira pelbagai kebolehan dan gaya pembelajaran pelajar serta memastikan semua pelajar berpeluang untuk membina konsep kendiri. Di samping itu, ibubapa dan masyarakat perlu memainkan peranan yang aktif utnuk merealisasikan halatuju perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Pengwujudan Sekolah Bestari ini merupakan satu daripada tujuh aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia ( MSC ) Malaysia. Berlandaskan ini, hasrat dan matlamat kerajaan Malaysia menggunakan sepenuhnya kepakaran teknologi dan pertumbuhan pesat prasarana MSC untuk menggalakkan pembentukan Sekolah Bestari." Memandangkan betapa pentingnya Sekolah Bestari kepada pembentukan generasi akan datang, kerajaan telah mengambil langkah menjadikan penjelmaan Sekolah Bestari sebagai satu daripada tujuh ' flagship application ' dalam projek Mega Koridor Raya Multimedia"
( Ucapan Menteri Pendidikan Malaysia ).

Pada tahun 1999, sembilan puluh buah sekolah perintis akan dijadikan nukleus bagi melaksanakan konsep, bahan pengajaran dan pembelajaran, kemahiran dan teknologi Sekolah Bestari. Dokumen dasar yang asal tentang Sekolah Bestari Malaysia ialah Smart Schools in Malaysia: A Quantum Leap, yang disediakan pada Januari 1997. Dokumen ini ialah asas bagi dokumen The Malaysian Smart School. A Conceptual Blueprint yang disediakan oleh Pasukan Petugas Bersama Industri Kementerian Pendidikan Malaysia. Konsep Sekolah Bestari yang terkandung dalam dokumen The Malaysian Smart School: A Conceptual Blueprint merupakan idea yang terus berkembang berterusan dan sentiasa terbuka kepada perubahan dan kemajuan dalam pedagogi dan teknologi maklumat. Oleh itu, dokumen ini lebih bersifat deskriptif daripada preskriptif.

Pasukan Petugas juga menyediakan dokumen The Malaysian Smart School Implementation Plan yang menyediakan
pelaksanaan sekolah-sekolah di seluruh negara untuk menjadi Sekolah Bestari.Selain itu ,projek Sekolah Bestari menghasilkan
lima 'Concept Requests For Proposals' penyelesaian dalam bidang berikut.

  • Bahan Pengajaran dan Pembelajaran
  • Sistem Penilaian
  • Sistem Pengerusan Sekolah
  • Infrastruktur Teknologi
  • Integrasi Sistem

Kesemua ini telah dilancarkan serentak pada Julai 1997.

Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi amalan pengajaran, pembelajaran, pengurusan sekolah untuk menyediakan pelajar bagi Zaman Maklumat. Sekolah Bestari berkembang dengan pembentukan staf yang profesional, sumber yang bertambah dan pentadbiran yang cekap. Ini membolehkan sekolah menyesuaikan diri dengan keadaan yang kian berubah.

Di Sekolah Bestari pembelajaran akan bercorak kearah kendiri mengikut kadar individu, kesinambungan dan reflektif. Ini akan berlaku dengan adanya pembekalan teknologi pelbagai media dan jaringan meliputi seluruh dunia.

Pembelajaran berubah daripada berpusatkan guru kepada yang berpusatkan pelajar. Kurikulum di Sekolah Bestari lebih fleksibel dan terbuka. Kurikulum di Sekolah Bestari dirancang supaya bermakna, mempunyai tanggungjawab sosial, reflektif, holistik, global, terbuka berdasarkan matlamat. In menggalakkan pembelajaran holistik, membenarkan kanak - kanak maju mengikut tahap pencapaian masing - masing dan mengambil kira keupayaan, minat dan keperluan pelajar yang berbeza - beza. Kanak - kanak dididik dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, disemai dengan nilai murni dan digalakkan meningkatkan kefasihan berbahasa. Kurikulum Sekolah Bestari dibentuk untuk membentuk pelajar mencapai perkembangan yang seimbang.

Pelajar sebagai pembelajar aktif di Sekolah Bestari. Pembelajaran yang berpusatkan budaya berfikir dengan memanfaatkan sumber ilmu oleh teknologi serta menggunakannya secara menyeluruh dan bersepadu dalam berbagai situasi. Sekolah memupuk kemahiran penyelesaian masalah yang kreatif bagi menghadapi situasi baru. Pelajar bertindak dengan berani dalam membuat keputusan dan bertanggungjawab terhadap keputusan itu. Pelajar akan membuat pengembaraan maklumat mengelilingi dunia untuk mencari dan mengumpul data. Pelajar akan dapat mencapai sumber tempatan, kebangsaan dan global. Penjaringan melalui internet juga membolehkan interaksi antara pelajar dan guru - guru yang lain serta orang ramai di seluruh dunia.

Dunia pelajar akan diperluaskan melalui perhubungan, pendidikan dan sosial ini. Pembelajaran yang bermakna ini dapat memupuk dan mempertingkatkan segala potensi yang ada pada pelajar secara cekap, ekonomis dan berkesan dengan menggunakan daya fikir, pengetahuan, kemahiran dan teknologi pendidikan era ini dan cabaran masa hadapan memerlukan Sekolah Bestari sebagai wadah ke arah pencapaiannya. Penjaringan mempunyai kelebihan dari segi membolehkan pelajar yang tidak dapat menghadiri sekolah untuk membuat kerja sekolah dari rumah. Ini memberi makna baru kepada idea ketidakhadiran sekolah kerana pembelajaran masih dapat berlaku di luar sekolah. Oleh itu, pelajar perlu diajar strategi untuk menerajui maklumat dengan cekap dan selektif. Usaha berpasukan, kerjasama kumpulan, fleksibiliti, pandangan jauh dan ketrampilan menggunakan bahasa antarabangsa akan juga ditekankan.

Sekolah Bestari Malaysia akan mengambil juga konsep inovatif kelas melangkau maya. Sistem sekarang memberi ketegangan kepada pelajar yang lemah dan menghalang kemajuan pelajar pintar. Dalam Sekolah Bestari, teknologi akan memberi fleksibiliti untuk membasmi ketegangan dalam pendidikan. Pelajar yang lebih cerdas akan dapat menyiapkan semua kerja kursus dan penilaian lebih awal daripada tempoh normal. Pelajar yang kurang berupaya akan melalui program asas mengikut kadar pembelajarannya, serta diberi bantuan khas oleh guru. Ini dapat berlaku kerana penubuhan sistem pengeluaran item penilaian yang berpusatkan dari dalam talian.

Sistem penilaian fleksibel ini akan membenarkan pelajar dalam satu kelas fizikal untuk bekerja pada aras yang berlainan dalam matapelajaran yang sama, selain membenarkan pelajar terus ke aras yang lain dalam mata pelajaran yang berlainan pada bila - bila masa. Dengan cara ini, pelajar kurang cerdas, yang biasanya diabaikan akan diberi perhatian yang sewajarnya.

Guru berperanan sebagai pembimbing di sisi. Guru memberi sokongan psikologi dan galakan. Guru akan bertanggubngjawab menyediakan suasana yang menggalakkan pembelajaran ke arah kendiri yang kreatif dan berdikari. Guru akan mengenalpasti matlamat mendefinisikan halatuju bagi pelajarnya, memandu kemajuan pelajar ke arah mencapai matlamat tersebut dan membenarkan pelajar belajar mengikut kadar sendiri. Pelajar akan mendapat perhatian individu dari guru. Komputer akan mengambil alih rutin dan pemyampaian maklumat dan membebaskan guru daripada tugasan pentadbiran yang remeh supaya mereka dapat menumpukan perhatian terhadap aspek pendidikan yang bersifat kemanusiaan.

Pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran akan digunakan di Sekolah Bestari. Antaranya ialah strategi inovatif yang berasaskan teknologi seperti perbincangan dengan rakan jauh, pembelajaran jarak jauh, penggunaan data sebagai sumber maklumat, memproses maklumat. memproses maklumat dan menghubungkan dapatan; merujuk ensiklopedia elektronik; belajar dari courseware elektronik dan komunikasi elektronik. Interaksi pelajar dan guru sama ada dalam kumpulan kecil atau individu masih menjadi sebahagian daripada kursus pengajaran dan pembelajaran.

Dengan menumpukan kepada perkembangan individu, guru digalakkan untuk membina kemahiran sosial pelajar dan juga untuk menerap moral dan etika yang baik serta nilai patriotisme. Penggunaan teknologi maklumat sebagai alat akan membolehkan penyimpanan data dan memudahkan pentadbir untuk mendapatkan semula data yang banyak. Ia memudahkan kerja memproses dan menyampaikan hasil yang berkaitan untuk pentadbir membuat keputusan. Ini akan membantu meningkatkan kecekapan, menghapuskan pertindihan dan secara radikal membaiki akses bagi semua yang berkenaan.

Dengan pengkomputeran dalam talian pengurusan sekolah, pentadbir akan dapat merancang, mengurus dan menggunakan sumber manusia dan fizikal dengan berkesan. penjaringan akan memudahkan penglibatan ibubapa dan masyarakat dalam rancangan sekolah dan menjadikan mereka rakan kongsi yang berkesan dalam pendidikan anak mereka. Dengan adanya pangkalan data, maklumat tentang pelajar dan guru lebih mudah didapati oleh pihak yang sah. Keperluan kebajikan pelajar dan guru lebih mudah diambil kira dengan pemantauan yang kerap. Pemantauan sistematik kemajuan pelajar akan mengingatkan sekolah tentang bila perlunya tindakan susulan bagi pelajar pintar dan yang kurang pintar. Penilaian berasaskan unsur dan rujukan kriteria tertentu untuk memberi gambaran holistik dan tepat tentang prestasi pelajar.

Ciri Sekolah Bestari yang paling ketara ialah suasana pengajaran dan pembelajaran yang dibina berdasarkan amalan terbaik dalam pendidikan rendah dan menengah daripada seluruh dunia. Ini melibatkan pemantapan kurikulum, pedagogi, penilaian dan bahan pengajaran dan pembelajaran yang sah.

Kurikulum Sekolah Bestari dirancang supaya bermakna, mempunyai tanggungjawab sosial, reflektif, holistik, global, terbuka berdasarkan matlamat. Ia menggalakkan pembelajaran holistik, membenarkan kanak - kanak maju mengikut tahap pencapaian masing - masing dan mengambilkira keupayaan,. minat dan keperluan pelajar yang berbeza-beza. Kanak - kanak dididik dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, disemai denngan nilai murni dan digalakkan meningkatkan kefasihan berbahasa. Kurikulum Sekolah Bestari dibentuk untuk :

a) Membantu pelajar mencapai perkembangan yang seimbang;
b) Menyepadukan pengetahuan, kemahiran, nilai dan penggunaan bahasa yang betul;
c) Menyatakan secara eksplisit hasil pembelajaran yang dikehendaki bagi tahap keupayaan yang berbeza;menawarkan
pembelajaran multi disiplinari,bertema dan berterusan:
d) Memupuk pengetahuan,kemahiran dan sikap yang sesuai untuk berjaya dalam Zaman Maklumat:
e) Memupuk pengetahuan,kemahiran dan sikap yang sesuai untuk berjaya dalam Zaman Maklumat.

Pengajaran Sekolah Bestari berhasrat menjadikan pembelajaran lebih menarik,menggalakkan,merangsangkan dan bermakna melibatkan minda,semangat dan tubuh badan dalam proses pembelajarn:membina asas kemahiran untuk menyediakan kanak-kanak bagi menghadapi cabaran masa depan dan mengambil kira pelbagai keperluan dan kebolehan pelajar.Pedagogi Sekolah Bestari bertujuan:

a) Menggunakan pelbagai strategi pembelajarn yang sesuai bagi memastikan penguasaan ketrampilan asas dan
meningkatkan perkembangan holistik;
b) Mengambil kira pelbagai gaya pembelajaran individu bagi meningkatkan prestasi;
c) Mewujudkan suasana bilik darjah yang bersesuaian dengan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran.
Sistem penilaian Sekolah Bestari berbeza daripada sistem sedia ada untuk membantu merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara.Ia berasaskan unsur dan rujukan kriteria tertentu untuk memberi gambaran holistik dan tepat tentang prestasi pelajar.Guru,pelajar dan ibubapa dapat mengakses butiran penilaian melalui komputer.Penilaian Sekolah Bestari adalah fleksibel dan mudah digunakan,di samping menjamin mutu maklumat penilaian dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan alat.Ia menjurus kepada pensijilan terbuka yang bukan sahaja menunjukkan pencapaian komulatif pelajar,tetapi juga untuk peningkatan berterusan sepanjang hayat.
Sekolah Bestari memerlukan bahan pengajaran dan pembelajaran konvensional dan elektronik yang sesuai dengan strategi pengajaran dan pembelajaran yang berbagai-bagai.Bahan ini mengambil kira pelbagai keperluan dan kebolehan pelajar bagi meningkatkan keupayaan dan potensi mereka supaya lebih bertanggungjawab menguruskan pembelajaran sendiri.
Objektif utama pengurusan Sekolah Bestari ialah untuk mengurus sumber dan proses dengan cekap dan berkesan bagi menyokong fungsi pengajaran dan pembelajarn.Pihak pengurusan membantu mengagihkan sumber tenaga manusia yang mahir kepada aktiviti yang lebih bermakna,menjimatkan kos pada jangka panjang,meningkatkan mutu keputusan melalui akses yang lebih baik kepada maklumat dan mempercepatkan proses membuat keputusan.
Bagi mencapai objektif ini, pengurusan Sekolah Bestari memerlukan pentadbir profesional yang gigih dan berwibawa serta guru yang dapat menjelaskan matlamat sekolah,memimpin pengajaran di sekolah,memimpin pengajaran di sekolah,dan mampu mendapatkan sokongan padu daripada ibubapa dan masyarakat.Mereka perlu mempereratkan komunikasi terbuka dengan semua pihak,mengagihkan sumber secara adil dan bijak,mengesan prestasi sekolah berbanding dengan objektif kewangan dan bukan kewangan,serta menyediakan suasana persekolahan yang menyokong pembelajaran.
Mereka perlu juga mewujudkan dan mengekalkan staf yang bermotivasi dan berprestasi tinggi,menjamin keselamatan sekolah dan penghuni,serta menggunakan dan mengurus teknologi dengan sesuai,berkesan dan cekap.Bagi mencapai objektif Sekolah Bestari proses dalamannya perlu diselaraskan sebagai suatu sistem .Sistem yang sempurna membolehkan bekalan input yang sesuai menghasilkan output yang dikehendaki seperti kesediaan pelajar untuk melanjutkan pelajaran,atau penyertaan yang aktif dan produktif di kalangan tenaga kerja.Inisiatif Sekolah Bestari menawarkan peluang yang unggul untuk menilai semula sistem persekolahan sedia ada, mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian terbaik dengan bantuan teknologi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...