Cari Nota Dengan Cepat...!

Showing posts with label Bahasa Melayu Semantik. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Melayu Semantik. Show all posts

Tuesday, September 13, 2011

Tataistilah dan Tatanama

Tataistilah dan Tatanama

Tataistilah ialah kumpulan peraturan untuk membentuk istilah, temasuk kumpulan istilah yang dihasilkannya. Tatanama ialah kumpulan peraturan yang menentukan nama dalam bidang ilmu, termasuk kumpulan nama yang dihasilkannya.

Tataistilah
Tata istilah (terminologi) adalah peringkat asas dan ketentuan pembentukan istilah serta kumpulan istilah yang dihasilkannya. Ringkasnya tataistilah merupakan kumpulan istilah bagi satu-satu bidang tertentu yang dibentuk menurut peraturan-peraturan yang ada. Misalnya, tataistilah matematik bermakna kumpulan istilah matematik yang ada telah dibentuk berdasarkan sistem tertentu contohnya darab, pengamiran, janjang, min, mod, graf dan sebagainya.
Contoh lain: Metabolisme, demokrasi, saham, persamaan.

Tatanama
Tatanama (nomenklatur) adalah alat peraturan penamaan dalam bidang ilmu tertentu, seperti kimia dan biologi, beserta kumpulan nama yang dihasilkannya. Ringkasnya, tatanama ialah sistem mengenai pemberian dan penentuan pemakaian nama-nama istilah dan sebagainya berdasarkan kaedah atau asas-asas tertentu seperti tatanama kimia, biologi, fizik dan sebagainya. Misalnya: Natrium klorida, nukleus, ribosom, karbon dioksida.

Tuesday, September 6, 2011

Makna Ayat

Makna Ayat
Makna ayat boleh dibahagikan kepada tiga iaitu makna tersurat, makna terselindung dan makna tersirat.

Makna Tersurat
Makna tersurat ialah makna yang diperoleh semata-mata daripada makna yang tertulis atau makna yang diujarkan sahaja. Sama ada bahasa bertulis atau bahasa lisan. Misalnya, Burung itu hinggap di ranting pokok.
Jika sesuatu ayat atau bahasa tersebut biasa kita gunakan maka kita menganggapnya sebagai betul.

Contohnya:
1. Para pelajar-pelajar yang dihormati sekalian.
Perkataan para menunjukkan ramai. Perkataan pelajar-pelajar menyatakan ramai. Perkataan sekalian bermaksud ramai. Ayat yang sebetulnya ialah Para pelajar yang dihormati.

Makna Terselindung
Makna terselindung ialah makna yang terselindung dalam sesuatu ayat kerana perkataannya tidak dihadirkan.

Misalnya dalam ayat
2. Adik ke kedai Pak Ali.
Kata pergi tidak dihadirkan, tetapi pendengar memahami perbuatan adik ialah ‘pergi’.
Walaupun sesuatu perkataan ini tidak hadir tetapi ia dapat dikesan oleh pendengar atau pembaca. Atau dengan kata lain perkataan yang tidak hadir dalam sesuatu ayat tetapi masih dapat dikesan maknanya membuktikan adanya struktur dalam, dalam fikiran pendengar atau pembaca,

Contoh lain adalah seperti berikut:
3. Cikgu Ahmad guru Bahasa Melayu di sekolah kami

Makna yang terselindung dalam ayat ini ialah kata pemeri yang memerikan pekerjaan Cikgu Ahmad, iaitu guru Bahasa Melayu di sekolah kami. Oleh yang demikian, struktur dalam ayat ini ialah Cikgu Ahmad ialah guru Bahasa Melayu di sekolah kami.

Makna Tersirat
Makna tersirat ialah makna yang diperoleh berbeza dengan makna yang tertulis atau diujarkan, misalnya dalam kiasan Umpama jari di tangan, ada bercincin ada tidak.

Bahasa seperti ini timbul dalam masyarakat Melayu kerana timbulnya keinginan menyatakan sesuatu dengan maksud yang lain. Hal seperti ini dalam bahasa Melayu disebut sebagai peribahasa.
Peribahasa ialah ayat yang khusus untuk makna yang tertentu. Peribahasa dibahagikan kepada beberapa bentuk iaitu bentuk kiasan, bentuk bidalan, bentuk pepatah, bentuk perbilangan, bentuk kata hikmah, bentuk ungkapan, bentuk pemeo dan bentuk simpulan bahasa.

sumber: Darwis Harahap 1994. Binaan Makna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Makna Leksikal

Makna leksikal bermaksud makna yang terdapat dalam kamus atau makna perkataan yang terlepas daripada hubungannya dengan perkataan lain dalam ayat.

Contohnya, perkataan lari, selari, berlari, berlarian, melarikan, larian, pelari dan pelarian memiliki makna leksikal, kerana maknanya dapat dirujuk dalam kamus. Urutan huruf se+, ber+, ber+...+an, me+ (... +kan), +an, pe+, (pe+...) +an tidak memiliki makna leksikal melainkan memiliki makna gramatis.

Kelompok kata
Makna dalam kelompok kata adalah jalinan daripada makna satu perkataan dengan perkataan lain dalam kelompok kata tersebut. Misalnya lima ekor lembu bermakna ada ‘lima ekor lembu’.

Kata paduan
Kata paduan ialah dua perkataan atau lebih yang pada mulanya memiliki makna masing-masing, tetapi maknanya telah berpadu menjadi satu, misalnya kereta api, kapal api, bunga api dsb.

Kata gabungan
Kata gabungan ialah dua atau lebih perkataan yang mengandungi satu makna tetapi deretan perkataan tersebut menyimpang daripada deretan perkataan yang umum dalam bahasa Melayu. Misalnya mahasiswa, mahaputera, maharaja, bumiputera dan sebagainya.

sumber: Darwis Harahap 1994. Binaan Makna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 95.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...