Cari Nota Dengan Cepat...!

Showing posts with label bahasa melayu. Show all posts
Showing posts with label bahasa melayu. Show all posts

Monday, November 19, 2012

Pendekatan Pemahaman Teks Kaedah Berfokus


Kaedah Berfokus
Diperkenalkan pada 1984 – Unit Bahasa Melayu, Pusat Perkembangan Kurikulum.  Menitikberatkan kandungan dan isi pelajaran.  Kaedah ini mengandungi dua tumpuan:
Tumpuan utama – FOKUS UTAMA
Tumpuan kedua -  FOKUS SAMPINGAN
Fokus sampingan mungkin lebih daripada satu.  Tugas fokus sampingan untuk membantu dan memperkuatkan fokus utama.

Fokus utama – perkara yang paling menonjol dalam sesuatu hasil karya perlu diberikan penekanan utama, manakala perkara lain yang kurang menonjol sebagai perkara sampingan.  Fokus utama dan fokus sampingan boleh bertukar ganti – fokus utama jadi fokus kedua, fokus sampingan menjadi fokus utama. Bergantung kepada kreativiti guru – apakah yang hendak difokuskan – aspek apa? –isi, bahasa, unsur moral, nilai murni, kemasyarakatan, gaya bahasa dan sebagainya. Dalam fokus utama ada objektif pengajaran.

Sunday, November 18, 2012

Ciri Kaedah Mengalami - Menghayati Dalam Sastera


Ciri-ciri Kaedah Mengalami Menghayati

Setiap individu ada pengalaman tersendiri hasil daripada pengalaman lalu dan nilai warisan. Pengalaman dan penghayatan pelajar diutamakan. 
Guru membimbing pelajar dan mendapatkan emosi dan pengalaman daripada karya.
Objektif terakhir pengajaran kesusasteraan ialah penikmatan dan penghayatan. Analisis pengalaman pelajar sangat penting. BBM dan teknik menyoal akan membantu guru bagi mencapai objektif pengajaran.
Pelajar perlu diberikan peluang membaca karya-karya kesusasteraan dahulu dalam masa tertentu untuk memperoleh kesan keseluruhan penghayatan. Elemen-elemen struktur akan disentuh secara tidak langsung  dalam perbincangan tentang keindahan karya.
Para pelajar juga dilatih menggunakan fikiran dengan kritis dan kreatif. Ini dicapai melalui teknik menyoal yang sistematik – soalan mencungkil pandangan, pendapat, pertimbangan dan penilaian para pelajar. Jawapan guna daya kreatif dan imaginasi masing-masing.
Aktiviti-aktiviti  pelajar bersama-sama bimbingan guru  amat dipentingkan. Para pelajar digalakkan  melakonkan episod-episod sendiri dan membincangkan  persoalan-persoalan tertentu yang wujud dalam fikiran masing- masing tanpa ditetapkan acuannya terlebih dahulu oleh guru. Dalam hal ini teknik perbengkelan amat sesuai digunakan. Ini akan menentukan penglibatan para pelajar secara menyeluruh.
BBM amat penting  dalam mewujudkan penikmatan dan penghayatan. Antara alat-alat yang sesuai  ialah pita rakaman, gambar-gambar, kostum serta objek sebenar tentang sesuatu perkara. 
Pendekatan ini membantu guru mewujudkan sebuah kelas yang aktif dan hidup. Para pelajar juga dapat membina kemahiran menganalisis melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Friday, November 16, 2012

Kaedah Mengalami - Menghayati Dalam Sastera


Kaedah ini dikemukakan oleh Googman (1962) supaya sesuatu pengalaman itu dikaji mengikut apa yang ditanggapi oleh pembaca itu sendiri. Individu itu ada pengalaman tersendiri. Ada hasil daripada pengalaman yang dilalui dan ada nilai pengalaman itu sendiri. Tekankan apa yang dialami oleh pembaca dan sejauh
mana pembaca dapat menghayati rakaman penulis melalui bahasa yang disampaikan.

Kaedah ini  lebih menekankan penikmatan. Aspek sastera yang dikaji perlu dirasai dan dihayati sepenuhnya. Guru menggunakan semua himpunan pengalaman pelajar bagi mendapat sesuatu pengalaman baru. Pelajar biasanya didedahkan dengan beberapa persoalan di dalam sesuatu aspek yang dikaji. Persoalan diinterpretasi sehingga ia benar-benar dapat dirasakan. 

Pengajaran tidak ditumpukan kepada objektif tertentu tetapi lebih  kepada mencungkil pengalaman pelajar. Guru perlu cekap menarik  perhatian dan menarik minat pelajar kepada cerita yang dikemukakan. BBM penting bagi menyuburkan imaginasi pelajar. Perlu dilatih berfikiran kritis dan kreatif – memberi pendapat, pertimbangan wajar, penilaian, kritikan dan sebagainya. 

Pelajar boleh membuat simulasi sendiri supaya wujud kefahaman mendalam.   Kajian intrinsik – kerohanian, jiwa, nilai, hati nurani, kemanusiaan dan kemasyarakatan, semangat, sifat keperwiraan, perasaan  seni halus akan menusuk ke jiwa pelajar. Kaedah ini boleh memberikan kepuasan dan meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa pelajar. Pelajar menggunakan pengalaman masing-masing dalam menghadapi dan menanggapi karya sastera.

Thursday, November 15, 2012

Kaedah Struktural Dalam Sastera


Ciri-Ciri Kaedah Struktural:

Ia merupakan perhubungan antara struktur-struktur kesusasteraan seperti tema, plot, watak perwatakan, latar teknik, gaya bahasa, sudut pandangan  dan sebagainya yang membentuk keseluruhan karya.  Dalam P&P sastera, pemahaman terhadap setiap elemen struktur dan perhubungannya hendaklah diberikan perhatian.

Kaedah ini menggunakan pendekatan induktif. Para pelajar dibimbing mencari dan menemui objektif tertentu elemen struktur. Kaedah ini memerlukan guru yang mahir dan tahu secara mendalam perhubungan elemen struktur tersebut.

Objektif tertentu elemem struktur sahaja yang diutamakan tanpa mengambil kira aspek-aspek lain.
Unsur-unsur struktur diperkenalkan terlebih dahulu sebelum pengajaran dimulakan dan kemudian setiap unsur itu dijelaskan secara terperinci.

Pembelajaran lebih banyak dipandu oleh guru. Walaupun pelajar dibenarkan membincangkan sesuatu isu tentang elemen struktur, tetapi perbincangan itu tidak boleh keluar daripada acuan yang telah ditetapkan oleh guru.

Bahan bantu mengajar (BBM) tidak dipentingkan, tetapi kefahaman elemen struktur sahaja dan ini memadai dengan penerangan dan perbincangan ringkas sahaja.
Kaedah ini sesuai di peringkat tinggi sahaja.

Wednesday, November 14, 2012

Kaedah Analisis Sastera Teori Struktural


Kaedah ini berdasarkan pendapat analisis teori struktural kritikan sastera yang merupakan kaedah paling awal.  Pengajaran  dan Pembelajaran yang bertujuan
memahami aspek-aspek kesusasteraan, struktur dan  binaannya. Kaedah ini tidak mementingkan penghayatan atau penikmatan sastera.  Karya sastera dianalisis dari sudut pembinaan atau strukturnya. Aspek-aspek struktur dikaji, iaitu:
tema
persoalan
latar
plot
sudut pandangan
watak  perwatakan
gaya bahasa
simbol / lambang
bentuk

Perhubungan antara elemen-elemen ini yang membendung struktur sesebuah karya itu, di samping mempunyai fungsinya yang tersendiri. Kaedah induktif sesuai digunakan bagi mengkaji elemen di atas.  Bagi pelajar karya sastera adalah sebagai buah fikiran pengarang, renungan ke dalam diri, imaginasi,  emosi, penerapan pengetahuan,  manipulasi  dan  pengalaman  kerohanian.  Kaedah ini membuat penyorotan terperinci terhadap komponen-komponen di atas.
Kaedah ini dianggap memudahkan pelajar mengkaji unsur estetika, artistic dan keunikan sastera dengan mengambil lira aspek intinsiknya. Contoh-contoh konkrit digunakan untuk memudahkan lagi pemahaman pelajar terhadap sastera. Perhubungan antara elemen dipertontonkan secara langsung dalam karya yang menunjukkan bagaimana unsur-unsur ini bekerjasama dan akhirnya terhasil karya yang padu.
Ada dua konsep penganalisisan sastera secara struktural iaitu:

Memahami perhubungan elemen dalam sesebuah karya.  Perhubungan elemen ini akan dapat dikesan apabila analisis struktur dilakukan terhadap karya-karya kesusasteraan.
Sastera ada kedudukan tersendiri. Ia bebas tanpa ada perhubungan dengan pembaca.
Falsafah disebalik pendapat ini ialah sesuatu itu wujud bebas bersendirian. Sifatnya boleh ditemui melalui analisis secara rasional. Manusia itu pula adalah makhluk yang aktif.

Monday, November 12, 2012

Konsep Teknik Dalam Pendidikan dan P&P

Teknik merupakan aktiviti-aktiviti yang diatur dalam kaedah dan strategi P&P atau cara sesuatu pengajaran yang ingin disampaikan kepada pelajar.  Aktiviti-aktiviti yang sesuai dan menarik dirancang dalam bentuk perlakuan dan kemahiran yang ingin diperolehi dan dicapai oleh murid.  Kemahiran guru dalam mengelola aktiviti semasa P&P berlangsung akan menggalakkan penglibatan murid secara aktif dalam kelas dan pembelajaran memberangsangkan, bermakna dan menceriakan.

Sunday, November 11, 2012

Konsep Kaedah Dalam Pendidikan & P&P


Kaedah pula lebih menekankan penyusunan langkah-langkah untuk menyampaikan P&P secara sistematik berlandaskan prinsip dan teori pembelajaran.  Langkah-langkah P&P disusun rapi dan kesinambungannya diikuti dengan teliti supaya ada urutan terarah atau berfokus untuk menghasilkan proses P&P yang berkesan.
Mangantar Simanjuntak 1982: 72

Kaedah berbentuk prosedur  yang terdiri daripada langkah-langkah atau peringkat-peringkat yang teratur yang harus dituruti  dengan saksama untuk mencapai tujuan tertentu
Brown 1980:240
“Methods, however are difficult to define. They manifest themselves in such varieties at time that the terms  approach may be more accurately descriptive of these general moods. An approach is a general and theoretical  view of how language ought to be taught, while a method includes a developed procedure for teaching.”
Currie 1973
“Usually, method is classified by the way we try to achieve the aim, thus we hear of expository methods, heuristic methods, activity methods and the like. Method is thus the philosophy of our teaching task is  a given subject in that it orientates us to the teaching. What we have described as teaching techniques are way in which, this philosophy is realised in actual class lessons.”

Friday, November 9, 2012

Konsep Strategi Dalam Pendidikan


Strategi merujuk kepada perancangan tindakan yang menjurus kepada pencapaian objektif yang telah ditetapkan.  Rancangan tindakan ini mengandungi kaedah dan teknik mengajar.  Dengan adanya perancangan strategi, kaedah dan teknik dapat diatur secara sistematik, pengagihan masa disusun dengan baik, penyediaan bahan dibuat mengikut kesesuaian dan kawalan kelas diuruskan dengan rapi.   Strategi P&P mestilah berasaskan tiga unsur utama iaitu guru, murid dan bahan P&P.  Oleh sebab itulah strategi dalam pendidikan dirujuk sebagai P&P berpusatkan murid, P&P berpusatkan guru dan P&P berpusatkan bahan.

Thursday, November 8, 2012

Konsep Pendekatan Dalam Pendidikan

Pendekatan dalam pendidikan berkait dengan cara sesuatu pelajaran disampaikan melalui proses P&P untuk mencapai hasil pembelajaran dalam masa jangka panjang.  Dalam pendekatan, kita akan memilih satu atau lebih model, prinsip dan teori pembelajaran supaya proses pembelajaran berlangsung dan ini memungkinkan kefahaman, penghayatan dan perubahan tingkah laku berlaku.  Ini bermakna, untuk mencapai hasil pembelajaran jangka panjang, pelbagai strategi yang mengandungi kaedah, teknik dan aktiviti akan digunakan.

Monday, September 17, 2012

Teater Pembaca


Apakah Teater Pembaca? 

  1. Satu cara menghidupkan sebuah skrip pendek. (boleh diambil dari buku teks)
  2. Teater pembaca melibatkan  pembaca membaca secara individu daripada skrip pendek.
  3. Teater pembaca dikenali sebagai ‘teater minda’ kerana audiens dibiar untuk membayangkan babak dan     aksi daripada suara dan gerak isyarat yang simbolik daripada pembaca.
  4. Pelakon tidak  perlu menghafal dialog.
  5. Persembahan sepenuhnya membaca teks.
  6. Aktiviti ini mengutamakan penggunaan suara, sebutan, gerak badan terbatas dan mimik muka.
  7. Penggunaan suara, sebutan, gerak badan dan mimik muka membantu murid-murid yang menjadi penonton memahami, menghayati dan merasakan seolah-olah cerita yang disampaikan berlaku di hadapan mereka.
  8. Tidak melibatkan ruang yang luas
  9. Tidak perlukan latihan yang lama.
  10. Boleh dilaksanakan secara spontan.
  11. Sesuai dalam melatih keterampilan berbahasa, ia melibatkan gaya pengucapan dan penyampaian yang bersahaja serta bersesuaian dengan situasi dan watak yg dilakonkan.
  12. Teater pembaca ini menekankan aspek 'membaca'. 
Langkah Perlaksanaan

  1. Beberapa orang pelajar dipilih berdasarkan kehendak skrip.
  2. Setiap pelajar yg dipilih diberikan watak dan skrip.
  3. Seorang pencerita (narator) dipilih untuk membaca bahagian naratif dalam skrip.
  4. Sediakan ruang lakon di hadapan kelas, menghadap penonton.
  5. Pelakon boleh berdiri atau duduk di atas kerusi.
  6. Pembaca (naratif) di bahagian tepi kiri atau kanan, pelakon di tengah.
  7. Pelakon membaca dialog mengikut urutan dalam skrip.
  8. Pelakon yang tiba gilirannya akan bergerak selangkah ke hadapan dan membaca/melakonkan dialog dengan penuh perasaan dan intonasi yang sesuai.

Sunday, August 26, 2012

Tasawur dan Kosmologi Masyarakat Melayu


Setiap bangsa dalam dunia, walaupun primitif, mempunyai kosmologi tersendiri.

Setiap bangsa, sama ada berdasarkan kitab wahyu, mitos, atau falsafah pemikiran warisan turun temurun, mempunyai tanggapan tersendiri tentang penciptaan alam semesta dan pemikiran yang berkaitan dengannya.

Walaupun kosmologi Melayu moden lebih dipengaruhi oleh kosmologi Islam, namun tamadun Melayu yang pernah berada di bawah pelbagai pengaruh budaya sebelum Islam, maka kosmologi tersebut turut mengambil tempat dicelah-celah pentafsiran kosmologi Melayu Islam.

Orang Melayu silam turut mempunyai konsep kosmologi yang dipengaruh oleh budaya animisme, Hindu dan Buddha.Mereka memuja semangat, dan penunggu; mereka membaca mentera yang menyebut asal kejadain alam dan makhluknya.

Mereka memohon perlindungan daripada penunggu pokok dan gua. Mereka meminta pertolongan jin dan syaitan dalam perubatan dan sihir. Mereka mempunyai banyak mitos yang menyebut balik tentang mitos kayangan ini seperti peranan yang dimainkan oleh Sri Rama, Siti Dewi, Raja Muda Laksmana, Hanuman Kera Putih dalam plot ceritanya yang jelas menunjukkan terdapat unsur kehinduan di dalam persembahan itu.

Wayang kulit yang merupakan warisan budaya silam menjadikan watak tersebut sebagai latar belakang persembahannya.

Orang Melayu tradisional menghayati satu cara hidup yang dianggap unggul dari segi kaca mata pandangan moden semasa. Antara manifestasi keunggulan tersebut ialah apa yang terkandung dalam pandangan alam (Weltanschauung) dan budaya alam bangsa Melayu. 

Bagi orang Melayu tradisional, mereka melihat alam tabii ini sebagai penuh dengan makna, simbolisme, gurindam dan syair. 

Pandangan mereka sekali-kali tidak terhad kepada manifestasi material alam, bahkan bagi mereka dimensi fizikal yang amat penting bagi sains dan teknologi moden hanyalah satu manifestasi kecil fenomena alam ini yang kewujudannya sebenarnya bergantung kepada dimensi hakikat dan ruh yang maha seni. 

Penghayatan pandangan ini, misalnya, dapat diperhatikan secara praktis dalam kehidupan seharian dan kemasyarakatan mereka.

Perkembangan semiotik tabii dan kosmologi kebudayaan generasi-generasi tersebut menyerap pelbagai unsur yang datang dari luar ruang budaya Melayu asli.Unsur-unsur luar tersebut datang daripada timur dan barat. Hindu, Buddhis, Islam dan Barat merupakan pengaruh yang memberi kesan kepada pembentukan semiotik dan kosmologi Melayu. Namun demikian, intipati semiotik dan kosmologi Melayu masih terpelihara. 

Oleh itu dalam "alam Melayu," haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan mampu bercakap, bahkan bermadah secara bernas setanding dengan sebarang pujangga manusia. Alam Melayu juga dimana manusia (khasnya syaman, pawang, bomor, sufi dan wali Allah) berinteraksi dengan haiwan, tumbuhan dan batu-batan pada tingkatan yang sukar diterima dan untuk dibayangkan oleh manusia sekular.

Kemampuan bertinterkasi tersebut juga merupakan landasan yang membuka jalan bagi manusia Melayu mampu hidup berharmoni dengan alam tabii. Bagi kebanyakan manusia moden, khususnya dari barat, bercakap dengan mahluk lain selain sesama manusia hanyalah dalam cerita dogeng. 

Tuesday, January 10, 2012

Ambiguiti

Ambiguiti atau ketaksaan bermaksud kata yang bermakna ganda atau mendua makna. Kegandaan makna ini berlaku pada satuan ketatabahasaan yang lebih besar, iaitu frasa, klausa atau kalimat, dan terjadi akibat pentafsiran struktur ketatabahasaan yang berbeda.

Contoh:
Buku sejarah baru
(Buku sejarah itu baru / Buku itu berisi sejarah zaman baru)

Orang malas lalu di sana
(Jarang ada orang yang mahu lalu di sana / Orang malas sahaja lalu di sana)

Menteri baru kahwin
(Menteri yang baru dilantik itu kahwin / Menteri yang sudah lama jadi menteri, tetapi kahwinnya baru)

Wednesday, January 4, 2012

Pengertian Tatabahasa

Seperangkat pola penataan kata dalam sesuatu bahasa, yang mula dikuasai oleh kanak-kanak selepas usia 5 atau 6 tahun.

Salah satu cabang kajian linguistik atau analisis morfologi dan sintaksis sesuatu bahasa.

Etika berbahasa, betul - salah, tepat - kurang tepat, baik – tidak baik bahasa yang digunakan ketika berbahasa. Contoh:

> Pakaiannya anggun
> Pakaiannya adalah anggun
> Pakaiannya ialah anggun
> Suaminya akan balik Pahang
> Suaminya akan balik ke Pahang
> Dia masuk tanpa memberi salam
> Dia masuk dengan tidak memberi salam


sumber: Prof. Madya Dr. Hj. Ibrahim Hj. Salleh
B. Litt. (Hons) & Dip. Ed., M.S., Ph.D.

(slide PowerPoint BBM 3203 Tatabahasa Melayu, UPM)


Thursday, December 29, 2011

Hubungan Makna

Melihat hubungan makna antara satu perkataan dengan perkataan lain.
Kajian semantik tradisional:
i. Sinonim
ii. Antonim
iii. Homonim
iv. Hiponim
v. Polisemi

SINONIM:
Dua perkataan atau lebih yang maknanya hampir sama atau maknanya seolah-olah sama

Contoh:

cantik boleh disinonimkan dengan indah
indah boleh disinonimkan dengan cantik

→ perkataan cantik dan indah bersinonim
(kedua-dua boleh ditukar ganti)

Contoh lain:

ibu - emak
kekal - abadi
senang - mudah
ANTONIM:
Dua perkataan atau lebih yang maknanya berlawanan.

Contoh:
gemuk antonimnya kurus
lelaki antonimnya perempuan

Siti masih bujang, sedangkan semua adiknya sudah berkahwin.


HOMONIM:
Perkataan yang mempunyai bentuk dan bunyi yang sama, mendukung makna yang berbeza.

Contoh:
haus → kering tekak
haus → berkurangan besarnya

Dalam kamus, ditandai angka Roman (I,II dan III)

Contoh perkataan lain yang berhomonim:

mancung

mancung I makin kecil ke hujung
mancung II seludang kelapa yang kering



HOMOFON:
Perkataan yang sama bunyinya tetapi ejaan dan maknanya berbeza.

Perkataan bang dan bank sama bunyinya tetapi ejaan dan maknanya berbeza.
bang → abang dan azan
bank → tempat berurusan wang.


HOMOGRAF:
Perkataan yang sama ejaannya, tetapi sebutan dan maknanya berbeza.
Contohnya:

semak [semak] dan semak [səmak]

perang [perang] dan perang [pərang]


HIPONIM:
Perkataan yang maknanya dianggap sebagai sebahagian daripada makna suatu perkataan lain.

Misalnya, perkataan mawar berhiponim dengan bunga, kerana makna mawar termasuk dalam makna bunga.

Contoh perkataan berhiponim:
burung - merbuk, tekukur, pipit, gagak


POLISEMI:
Perkataan yang mempunyai bentuk yang sama tetapi mendukung banyak makna.

Contohnya, perkataan berat mempunyai sembilan makna yang berbeza. Antaranya:

i. tekanan benda
ii. tidak ringan
iii. sukar (dilakukan, diselesaikan)
iv. amat sangat, kuat
v. menyebelah, memihak
vi. berkenaan dengan novel, drama dll yang mengisahkan perkara yang serius (seperti pergolakan rumah tangga, perjuangan politik, dan sebagainya)

Mempunyai makna yang lebih luas daripada homonim
Tidak terbatas pada perkataan sahaja tetapi juga kelompok kata dan ayat. Contoh:
i. Pemenggalan bunyi
am/bil/kan/tong
ii. Imbuhan
pe+latih = orang yang melatih atau orang yang dilatih
iii. Kelompok kata
makan nasi, makan angin, makan gaji, makan garam

Thursday, December 22, 2011

Sumber Istilah Bahasa Melayu

Perbendaharaan kata umum bahasa Melayu:

Mana-mana kata umum dalam bahasa Melayu termasuk kata dari dialek kawasan atau bahasa lama boleh dijadikan istilah dengan syarat:

(a) Kata berkenaan tepat memberi makna, konsep, proses, keadaan atau ciri yang dimaksudkan.

(b) Kata yang dipilih adalah yang paling singkat (sekiranya ada sekelompok sinonim). Contoh: hospital dan rumah sakit, dipilih hospital; fisiologi dan kaji tugas organ, dipilih fisiologi.

(c) Kata berkenaan tidak mempunyai konotasi buruk atau sebutan sumbang.

Bahasa Serumpun:

Kalau tidak dapat istilah yang diperlukan daripada bahasa Melayu, maka hendaklah dicari pula daripada bahasa-bahasa yang serumpun dengan bahasa Melayu. Misalnya:
  • gambut (Banjar) peat
  • nyeri (Sunda) pain
  • engkabang (Iban) ellipenut
  • awet (Jawa) lasting

Perbendaharaan kata bahasa asing:

Kalau istilah yang diperlukan tidak terdapat daripada bahasa Melayu dan bahasa yang serumpun dengan bahasa Melayu maka bolehlah diambil kata-kata daripada bahasa asing. Penulisan istilah ini hendaklah mengutamakan bentuk ejaannya dalam bahasa sumber (yakni disesuaikan, seperlunya), dan penyebutannya hendaklah mengikut sistem bunyi bahasa Melayu.

Demi keseragaman, bahasa yang paling internasional (iaitu Inggeris) menjadi sumber, melainkan konsep yang berkenaan tidak ada istilahnya dalam bahasa Inggeris.

Misalnya:
  • Atom- atom
  • electron -elektron
  • professional -profesional
  • psychology -psikologi
  • structure -struktur

Wednesday, December 21, 2011

Makna Denotatif dan Makna Konotatif

Makna denotatif ialah makna asli, asal, atau makna sebenarnya. Oleh itu, makna denotatif sama dengan makna leksikal. Contoh:
babi = satwa menyusui yang bermuncung panjang, berkulit tebal, dan berbulu kasar, serta diharamkan bagi orang Islam
gerombolan = kumpulan, kelompok atau kawanan
perempuan = orang yang dapat hamil, melahirkan anak dan menyusui

Makna konotatif ialah makna lain yang ditambahkan pada makna denotatif, yang ada hubungannya dengan nilai rasa orang yang menggunakan kata itu. Contoh:
babi = jijik dan kotor, rasa marah dan menyampah.
gerombolan = kawanan perusuh atau penjahat
perempuan = unsur negatif

Kata yang bermakna konotatif juga bergantung pada konteks. Kata babi, jijik bagi orang Islam, tetapi tidak jijik bagi orang bukan Islam. Begitu juga dengan kata perempuan, mengancam, kurus, rombongan, dan wanita. Contoh:

> Perempuan itu buah hati saya / Memang dasar perempuan!
> Dadah mengancam keselamatan negara. / Hai, mengancam nampak!
> Orang gemuk itu sudah kurus / Badannya kurus kering
> Rombongan pengantin telah tiba / Rombongan alternatif akan menyerahkan…
> Wanita korporat / Wanita penggoda

Tuesday, December 20, 2011

Makna Rujukan dan Makna Bukan Rujukan

Makna rujukan ialah makna yang ada rujukan atau acuannya. Misalnya kata rumah, hujan dan lukisan ialah kata yang bermakna rujukan kerana wujud acuannya di dunia nyata.

Makna bukan rujukan ialah makna yang tidak mempunyai rujukan seperti dan, atau, di samping, kerana…

Terdapat sejumlah kata yang dinamakan deiktik, iaitu acuannya tidak menetap pada satu maujud, tetapi bergantung pada konteks. Contohnya:

Kata ganti nama: dia, saya, kami, kita, beliau…
Kata menyatakan ruang: di sini, di sana…
Kata menyatakan waktu: kini, dini, esok, nanti…
Kata tunjuk: ini, itu...

Saturday, December 17, 2011

Jenis Makna

Secara umum, jenis makna dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu makna leksikal, makna ketatabahasaan, dan makna konteks.

Makna leksikal ialah makna yang dimiliki atau yang ada pada perkataan dengan tidak mengambil kira konteks, iaitu makna sebenar. Contoh:

perdu = kelompok pokok, rumpun
percik = titik air yang berserak-serak di sana-sini
malakut = alam atau tempat malaikat atau roh
jerat = tali pencerut untuk menangkap satwa
lugas = tentang yang perlu sahaja

Makna ketatabahasaan wujud melalui proses gramatis seperti pengimbuhan, penggandaan, dan pemajmukan. Contoh:
maksud = tujuan, hajat, kehendak, niat
bermaksud = bertujuan, berhajat, berniat, berkehendak
= mengandung erti

Makna konteks ialah makna kata yang wujud dalam suatu konteks, dengan mengambil kira tempat, waktu, dan lingkungan peristiwa. Contoh:

* Rambut di kepalanya sudah putih
* Sultan ialah kepala negeri
* Kepala surat itu sudah pudar
* Kepala lututnya masih kuat
* Kepala kainnya sudah tidak kemas

Wednesday, December 14, 2011

Jenis dan contoh gaya bahasa:

Jenis dan contoh gaya bahasa:

a. Berdasarkan acuan bukan bahasa: pengarang, masa, medium/wahana, subjek, tempat, khalayak, dan tujuan.
b. Berdasarkan acuan bahasa: pilihan kata, nada dalam wacana, struktur dalam kalimat, dan makna (langsung atau tidak langsung).
c. Berdasarkan pilihan kata: gaya bahasa rasmi, tidak rasmi, dan gaya bahasa percakapan atau lisan.
d. Gaya bahasa berdasarkan nada: gaya sederhana, gaya mulia dan bertenaga, dan gaya menengah.
e. Gaya bahasa berdasarkan struktur kalimat: klimaks, antiklimaks, paralelisme, antitesis, perulangan (epizeuksis, tautotes/tautologi, anafora, epistrofa/epipora, simplok, epanalepsis, mesodiplosis, dan anadiplosis).
f. Gaya bahasa retorik: aliterasi, asonansi, susunan songsang, elipsis, litotes, dan eufimisme.
g. Gaya bahasa kiasan: simile, metafora, personifikasi, hiperbola, paradoks, kiasan berpindah (kiasan sandar, kiasan terus, kiasan berangkap, kiasan berbunga, kiasan pemanis, kiasan melompat, dan kiasan melarat.

sumber : slide PowerPoint (BAHASA MELAYU TINGGI PERTEMUAN BERSEMUKA II PJJ : Adi Yasran Abdul Aziz)

Tuesday, December 13, 2011

Jenis dan Ciri Laras Bahasa

Jenis dan Ciri Laras Bahasa:

a. Laras Umum
b. Laras Undang-undang
c. Laras Himbauan
d. Laras Kreatif
e. Laras Iklan
f. Laras Teknikal
g. Laras Agama
h. Laras Klasik
i. Laras Bahasa Kanak-kanak

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...