KIRA-KIRA 11 tahun lalu, idea sekolah bestari sebelum diperluas kepada 88 sekolah seluruh negara pada 1999 yang menjadi pemangkin dalam keghairahan era digital yang melanda dunia ketika itu.
Idea sekolah bestari yang dijadikan satu daripada aplikasi perdana, MSC Malaysia dalam usaha meningkatkan kadar celik teknologi maklumat (IT) di kalangan rakyat selain merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
Sebanyak 88 sekolah dipilih untuk menjadi permulaan pengenalan sistem ini kepada penyelarasan konsep, bahan, kemahiran dan teknologi sekolah bestari yang dibangunkan Kementerian Pelajaran.
Namun, terdapat analisis pada 2005 yang dijalankan terhadap sekolah yang terbabit dan keputusan mendapati peruntukan kemudahan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan koordinasi diselaraskan tidak diuruskan dengan baik oleh beberapa sekolah.
Sehinggalah pada 2006, Konsul IT Kebangsaan mengesyorkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi mandat melalui cadangan Kementerian Pelajaran memberi tanggungjawab menyelaraskan konsep sekolah bestari di 88 sekolah yang terpilih kepada Multimedia Development Corporation (MDeC).
Ia adalah usaha memastikan tugas koordinasi sistem pengajaran, pembelajaran dan pengurusan terhadap sekolah-sekolah berlandaskan teknologi ICT dijalankan dengan lebih sistematik.
Dalam pada itu, MDeC turut bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam mengawas serta mewujudkan nilai tambah kepada program itu menerusi program penilaian Standard Kelayakan Sekolah Bestari.
Menerusi program itu, setiap sekolah terbabit akan digredkan mengikut pencapaian diperoleh berpandukan kriteria yang ditetapkan.
Pelaksanaan projek sekolah bestari berasaskan titik tolak kepada persediaan menghadapi era sains dan teknologi.
Sekolah bestari menjadi institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi amalan pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu pelajar menghadapi zaman maklumat moden.
Secara amnya, objektif sekolah bestari dibina berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu:
· Mendemokrasikan pendidikan
· Membangun intelek, jasmani, emosi dan rohani pelajar
· Mewujudkan peluang bagi meningkatkan kekuatan dan kebolehan individu
· Menghasilkan tenaga kerja yang berfikir dan celik teknologi
· Meningkatkan pembabitan pihak berkepentingan
Jika diteliti daripada objektif itu, sasaran utama projek ini adalah pelajar. Oleh itu, pelaksanaan projek rintis ini adalah langkah awal yang terbaik untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir pada zaman IT moden.
Selain itu, peranan ibu bapa penting kerana proses sekolah bestari memerlukan tenaga kerja yang bukan saja mahir menggunakan perkakasan ICT tapi kebijaksanaan menyediakan idea pembelajaran berkesan.
Sistem sekolah bestari ini diperkuatkan lagi apabila MDeC dipilih bagi membantu meningkatkan kualiti serta memenuhi objektif pelaksanaannya.
Sekolah bestari mengandungi institusi pembelajaran yang direka semula secara sistematik dari segi amalan pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu kanak-kanak menghadapi zaman maklumat menggariskan komponen utama seperti :
· Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)
· Sistem pengurusan sekolah bestari
· Polisi
· Sumber manusia, kemahiran dan sikap
· Teknologi
· Proses
MDeC menjadi sandaran untuk memperkemaskan sistem IT di sekolah bestari dengan menyediakan platform seperti pembekalan perisian membabitkan pembelajaran dan pengajaran.
Kerjasama dijalinkan MDeC secara tidak langsung melicinkan operasi di sekolah bestari yang tidak hanya terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.
Pengurus Kanan Bahagian Sekolah Bestari MDeC, Dr Norrizan Razali, berkata usaha meningkatkan sekolah bestari memerlukan kerjasama erat antara tenaga pengajar dan pelajar bagi memberikan hasil positif bukan saja dalam aspek pembelajaran malah menambah nilai keberkesanan ICT untuk generasi akan datang.
"Sekolah bestari memiliki kelebihan kerana mereka dilengkapi sistem pembelajaran menggunakan ICT yang berkeupayaan meningkatkan daya saing dalam dunia pembelajaran moden," katanya.
Tambah Norrizan, ia secara tidak langsung menawarkan aspek tambahan kepada pelajar yang akan berminat untuk mendalami ilmu menggunakan medium pembelajaran lebih interaktif.
"Namun, ia memerlukan tenaga pengajar yang perlu memahami pembelajaran melalui ICT bukan bermakna pelajar dibimbing dalam keadaan terhad, contohnya cikgu meminta pelajar membuat karangan menggunakan aplikasi Microsoft Word," katanya.
Katanya, sekolah bestari memberi peluang pelajar lebih kreatif dan bebas memberi idea sesuai dengan konsep ICT.
"Modul sedia ada mampu menarik minat pelajar mendalami ilmu malah ia bagai sistem dua dalam satu apabila pelajar bukan saja tertarik untuk belajar tapi memberi peluang membina keyakinan sebagai persediaan menghadapi dunia luar," katanya.
Katanya, sekolah bestari di luar bandar bukan saja membantu pelajar yang jauh dari kelengkapan moden di bandar tapi ia membantu komuniti setempat dalam arus pemodenan.
Dua sekolah luar bandar berstatus bestari yang dikunjungi MDeC dan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dari Kementerian Pelajaran baru-baru ini dilihat mampu memberi impak kepada pelajar dan penduduk setempat.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura di Sandakan dan SMK Tenom, di Tenom di Sabah menjadi bukti betapa pembestarian sekolah bukan saja menjadi milik pelajar malah memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Kedua-dua sekolah ini menawarkan pelajar yang tidak memiliki PC di rumah menggunakan komputer di sekolah untuk pembelajaran atau membaca e-mel.
Menurut Pengetua SMK Elopura, Kalsom Abd Aziz, konsep sekolah bestari di sekolah itu bukan saja terhad apabila sesi persekolahan.
"Kami buka makmal komputer pada waktu malam yang digunakan pelajar bagi membantu mereka mengenali teknologi ICT," katanya.
Menurutnya, walaupun ibu bapa bukan terdiri dari golongan profesional dan tidak menggunakan komputer, mereka memberi galakan anak-anak berkecimpung dalam dunia teknologi kerana tahu manfaatnya.
"Sekolah turut menjemput ibu bapa yang kebanyakan golongan miskin menggunakan perkakasan ICT di sekolah," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran mengendalikan sekolah bestari, antaranya bekalan elektrik yang sering terputus dan kekurangan guru penyelaras ICT
Guru serta juruteknik yang berkemahiran dalam bidang ICT perlu ditambahkan bagi setiap sekolah dalam usaha memastikan kelancaran.
Pembaca harus memahami bahawa konsep sekolah bestari tidak sama dengan sekolah berasrama penuh atau institusi yang mementingkan akademik semata-mata.
Ini bermakna sekolah bestari bukan hanya menempatkan pelajar pintar tapi memberi peluang sekolah menyediakan proses pembelajaran lebih inovatif dan interaktif.
Malah, SMK Elopura dan SMK Tenom membuktikan sekolah bestari bukan sahaja menjadikan pelajar lebih terbuka terhadap ICT malah memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.
No comments:
Post a Comment