Gunakan Fungsi Search Untuk Mencari Nota

Loading...

Friday, July 17, 2009

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN

Menurut Prof. Madya Bakhtiar Mansor dalam buku Psikologikal Pendidikan Tutorial Dua, faktor yang mempengaruhi perkembangan terbahagi kepada dua, iaitu fakor endogen dan faktor eksogen, manakala bagi Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel pula baka dan persekitaran merupakan faktor yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Faktor endogen menurut Prof. Madya Bakhtiar Mansor bermaksud faktor dalaman semenjak individu dalam kandungan hingga lahir ( pembawaan dan keturunan ). Baka menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak pula merujuk kepada ciri-ciri biologi, atau gen-gen yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya. Tambahan pula, trait yang diwarisi anak-anak daripada ibu bapa mengandungi gen-gen tersebut. Maka, ia akan menguasai perkembangan manusia dan adalah unik dan berbeza bagi setiap individu. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pertumbuhan dan perkembangan dipengaruhi oleh faktor genetik individu tersebut, misalnya saiz dan bentuk badan, ketinggian, rambut dan warna mata. Di sini pengaruh genetik memainkan peranan penting apabila ibu bapa tinggi, anak-anak mereka juga mengalami perkembangan yang pesat dan agak tinggi daripada kanak-kanak sebaya mereka. Menurut buku Psikologi Kanak-kanak hasil dapatan dari laman web http://www.pts.com.my, kemahiran kanak-kanak menggunakan jari juga merupakan contoh yang dipengaruhi oleh faktor biologi di mana kanak-kanak yang mengalami masalah otak sering kali tidak dapat menggunakan jari mereka. Disamping itu, ibu bapa dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memindahkan pengetahuan berkenaan maklumat dan budaya dalam menunjuk ajar mereka melalui tingkah laku ibu bapa itu sendiri. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menghadapi masalah, mereka mempunyai tendensi bercakap sendirian bagi menyelesaikan masalah itu

Faktor eksogen menurut Prof. Madya bakhtiar Mansor pula ialah faktor dari luar individu ( pengalaman dari persekitaran ). Persekitaran pula merujuk kepada semua pengalaman seseorang individu yang akan hadapi rumah, bersama jiran, sekolah dan masyarakat di mana dia berada. Persekitaran juga termasuk pengalaman sebelum dan selepas kelahiran. Persekitaran sebelum lahir merangkumi pemakanan dan kesihatan dan gaya hidup ibu. Sebagai contoh, ibu merokok semasa anak di dalam kandungan , rawatan yang diterima ibu serta usia dan keadaan emosi ibu semasa anak dalam kandungannya. Pemakanan, taraf sosio ekonomi, tahap pendidikam keluarga, rakan sebaya, sekolah, masyarakat, tempat ibadat, media dan persekitaran dunia adalah antara penyumbang kepada pengalaman selepas kelahiran seseorang individu. Menurut model ekologi Bronfenbrenner, peringkat-peringkat persekitaran yang mempengaruhi individu terbahagi kepada lima peringkat, iaitu peringkat mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem.

Lapisan mikrosistem, merupakan lapisan persekitaran dalaman yang merujuk kepada aktiviti dan interaksi yang melibatkan hubungan secara langsung. Kebanyakan kanak-kanak, mikrosistem mungkin terhad kepada hubungan dengan keluarga sahaja. Persekitaran tersebut akan berkembang ke arah yang lebih kompleks seperti yang sering berlaku di pusat asuhan taska, tadika, pergaulan rakan sebaya dan pemerhatian dalam aktiviti permainannya. Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak hanya terpengaruh dengan individu-individu dalam kategori mikrosistem semata-mata. Mereka juga turut terkesan dengan perwatakan biologi dan sosialnya sendiri seperti tabiat, perwatakan fizikal, pembawaan dan bakat dalam berinteraksi antara dua individu berlainan dalam satu kelompok yang sama.

Lapisan mesosistem pula terletak di lapisan kedua yang merujuk kepada hubungan dalaman di kalangan mikrosistem seperti hubungan di rumah, sekolah dan rakan sebaya. Bronfenbrenner berpendapat bahawa lapisan ini mempunyai hubungan yang kuat dengan lapisan mikrosistem. Ia boleh meningkat apabila adanya sokongan dan kestabilan mikrosistem.

Lapisan eksosistem pula menerangkan perbezaaan dengan peringkat lapisan yang lain. Dalam peringkat ini, kanak-kanak atau remaja adalah bukan terletak di dalam lapisan ini, tetapi secara tidak langsung organisasi tersebut seperti keluarga dan saudara mara mempengaruhi perkembangan mereka.

Lapisan makrosistem pula merupakan satu konteks budaya atau kelas sosial yang terkandung mikrosistem, mesosistem, dan eksosistem. . Ia adalah ideologi yang benar-benar luas dan menentukan tentang bagaimana anak-anak perlu diuruskan, apa yang patut dianggap pada diri mereka dan apa matlamat yang perlu mereka usaha dan capai akhirnya. Dengan ini, di antara sesebuah budaya dengan budaya lain selalunya berbeza kerana setiap satunya mempunyai pendirian atau corak budaya tersendiri.

Lapisan terakhir pula adalah lapisan kronosistem. Lapisan ini merupakan peringkat yang menekankan bahawa perubahan pada seseorang atau konteks perkembangan ekologinya boleh memberi kesan terhadap perkembangan emosinya. Sebagai contohnya, kehadiran anak baru dalam sesebuah keluarga akan membawa kepada perubahan dan memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak.


2 comments:

Anonymous said...

usefull notes for students..thx yar...

Anonymous said...

really usefull notes for students...thx alot

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...