Cari Nota Dengan Cepat...!

Saturday, July 4, 2009

Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan.

Menurut Prof. Madya Bakhtiar Mansor dalam buku Psikologikal Pendidikan Tutorial Dua, faktor yang mempengaruhi perkembangan terbahagi kepada dua, iaitu fakor endogen dan faktor eksogen, manakala bagi Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel pula baka dan persekitaran merupakan faktor yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak[1].

Faktor endogen menurut Prof. Madya Bakhtiar Mansor bermaksud faktor dalaman semenjak individu dalam kandungan hingga lahir ( pembawaan dan keturunan ). Baka menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak pula merujuk kepada ciri-ciri biologi, atau gen-gen yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya. Tambahan pula, trait yang diwarisi anak-anak daripada ibu bapa mengandungi gen-gen tersebut. Maka, ia akan menguasai perkembangan manusia dan adalah unik dan berbeza bagi setiap individu. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pertumbuhan dan perkembangan dipengaruhi oleh faktor genetik individu tersebut, misalnya saiz dan bentuk badan, ketinggian, rambut dan warna mata. Di sini pengaruh genetik memainkan peranan penting apabila ibu bapa tinggi, anak-anak mereka juga mengalami perkembangan yang pesat dan agak tinggi daripada kanak-kanak sebaya mereka. Menurut buku Psikologi Kanak-kanak hasil dapatan dari laman web http://www.pts.com.my, kemahiran kanak-kanak menggunakan jari juga merupakan contoh yang dipengaruhi oleh faktor biologi di mana kanak-kanak yang mengalami masalah otak sering kali tidak dapat menggunakan jari mereka. Disamping itu, ibu bapa dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memindahkan pengetahuan berkenaan maklumat dan budaya dalam menunjuk ajar mereka melalui tingkah laku ibu bapa itu sendiri. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menghadapi masalah, mereka mempunyai tendensi bercakap sendirian bagi menyelesaikan masalah itu

Faktor eksogen menurut Prof. Madya bakhtiar Mansor pula ialah faktor dari luar individu ( pengalaman dari persekitaran ). Persekitaran pula merujuk kepada semua pengalaman seseorang individu yang akan hadapi rumah, bersama jiran, sekolah dan masyarakat di mana dia berada. Persekitaran juga termasuk pengalaman sebelum dan selepas kelahiran. Persekitaran sebelum lahir merangkumi pemakanan dan kesihatan dan gaya hidup ibu. Sebagai contoh, ibu merokok semasa anak di dalam kandungan , rawatan yang diterima ibu serta usia dan keadaan emosi ibu semasa anak dalam kandungannya. Pemakanan, taraf sosio ekonomi, tahap pendidikam keluarga, rakan sebaya, sekolah, masyarakat, tempat ibadat, media dan persekitaran dunia adalah antara penyumbang kepada pengalaman selepas kelahiran seseorang individu.

5.1 Faktor Baka dan Persekitaran.

Baka merujuk kepada ciri-ciri biologi atau gen-gen yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya. Gen-gen ini terkandung dalam kromosom. Ia menguasai perkembangan manusia dan adalah unik bagi setiap individu. Tidak dapat dinafikan bahawa pertumbuhan dan perkembangan dipengaruhi oleh faktor genetik individu tersebut, misalnya saiz dan bentuk badan, ketinggian, rambut dan mata.

Persekitaran pula merujuk kepada semua pengalaman luar individu tersebut. Ia termasuk pengalaman sebelum dan selepas lahir. Pengalaman sebelum lahir merangkumi pemakanan dan kesihatan ibu, gaya hidup ibu misalnya adakah ibu merokok semasa hamil,rawatan yang diterima ibu, usia dan keadaan emosi ibu. Faktor-faktor selepas kelahiran pula adalah seperti pemakanan, sosio ekonomi dan tahap pendidikan keluarga, rakan sebaya, sekolah, masyarakat, tempat ibadat, media dan persekitaran dunia. Semua ini dikatakan mempengaruhi perkembangan individu.

Pengaruh baka dan persekitaran telah lama diperdebatkan. Ada yang menyatakan pengaruh baka lebih kuat tetapi ada pihak yang menyangkal dan berpendapat persekitaran memainkan peranan yang lebih penting.



[1] Prof. Madya Bakhtiar Mansor : Psikologikal Pendidikan Tutorial Dua.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...