Implikasi kepada penjagaan dan pembelajaran bayi
Stimulasi visual dan pendengaran perlu untuk bahagian-bahagian otak tertabit menyusun maklumat.
Awal kanak-kanak (2-6 tahun)
Awal kanak-kanak biasanya bermula daripada dua hingga enam tahun. Pada peringkat ini, pertumbuhan fizikal perlahan jika dibanding dengan pertumbuhan pada tahun pertama kanak-kanak tersebut. Ketinggian kanak-kana pada peringkat ini dua kali ketinggiannya semasa lahir dan berat badannya mungkin empat kali ganda. Otot-otot kasar sudah berkembang tetapi otot-otot halus belum berkembang dengan sempurna. Kajian menunjukkan kadar perkembangan kanak-kanak perempuan pada peringkat ini lebih cepat daripada kadar perkembangan kanak-kanak lelaki.
Perubahan dalam kebolehan psikomotor ini mengikut aturan, misalnya seorang kanak-kanak boleh berlari terlebih dahulu sebelum dia boleh belajar bermain menggunakan kasut roda. Kadar perubahan dan kebolehan psikomotor dipengaruhi oleh genetik. Misalnya jika kebolehan berjalan berlaku awal untuk kedua-dua ibu bapa maka anaknya juga akan dapat berjalan pada peringkat awal.
11.3 Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.
Guru dinasihatkan membantu kanak-kanak tetapi hanya setakat mana yang perlu. Bantuan yang berlebihan akan menggalakkan pergantungan kanak-kanak kepada ibu bapa atau guru dan menimbulkan perasaan kurang yakin untuk melakukan sesuatu dengan sendiri.
Kanak-kanak juga akan merasai saat kepuasan sekiranya berjaya melakukan sesuatu dengan sendiri. Kanak-kanak berkembang pada tahap yang berbeza. Elakkan daripada membanding antara kanak-kanak. Kanak-kanak agak aktif pada peringkat ini. Guru boleh menyediakan aktivit-aktiviti seperti bermain bola dan berlari. Aktiviti-aktiviti yang disediakan mesti mengambil kira perkembangan otot, khususnya otot-otot kecilnya yang belum sempurna.
Kanak-kanak (7-12 tahun)
Kadar pertumbuhan dan perkembangan pada peringkat ini stabil dan tidak begitu pesat jika dibandingkan dengan peringkat-peringkat sebelum ini. Pertumbuhan dan perkembangan pada peringkat ini lebih bercorak penambahbaikan kemahiran-kemahiran psikomotor yang sedia ada. Pada peringkat ini, pertumbuhan gigi kekal bermula dan gigi susu akan diganti.
Ketinggian kanak-kanak perempuan bertambah pada umur 8 hingga 10 tahun dan mencapai tahap kemuncak pada 12 tahun. Ketinggian kana-kanak lelaki mula bertambah apabila mereka berumur antara 10 sehingga 12 tahun dan mencapai tahap kemuncak semasa mereka berumur 15 tahun. Pada umumnya, kanak-kanak menjadi lebih kurus. Pada umur sebelas tahun apabila kanak-kanak menghampiri akil baligh, kanak-kanak kelihatan lebih kuat, cepat dan mempunyai keupayaan untuk fokus kepada aktiviti atau tugas yang diberi oleh kepada mereka.
Perkembangan otot-otot halus, koordinasi mata dan tangan sudah mencukupi untuk kanak-kanak menulis dengan lebih kemas, belajar bermainan alat-alat muzik seperti piano dan biola, menjahit, mengait membina model, belajar gimnastik, berenang, tenis dan olahraga. Kanak-kanak lelaki lebih cenderung kepada permainan lasak misalnya permainan bola sepak di padang.
11.4 Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.
Kanak-kanak boleh diajar bermain alat-alat muzik dan aktiviti-aktiviti seperti melukis. Melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti permainan dan latihan-latihan seperti berenang, gimnastik untuk menguatkan otot, daya tahan serta membina pergerakan yang lebih cekap. Menyediakan aktiviti-aktiviti yang lasak untuk kanak-kanak lelaki misalnya bola sepak dan permainan atau sukan yang sesuai untuk kanak-kanak perempuan misalnya bola jaring.
Aktiviti senaman dan pemakanan yang sesuai perlu diterapkan kepada kanak-kanak. Perbezaan saiz, berat badan dengan rakan sebaya lebih-lebih lagi jika kanak-kanak tersebut terlebih berat badan boleh menimbulkan masalah sosial dan masalah penyesuaian.
Awal remaja (12-15 tahun)
Kadar pertumbuhan dan perkembangan pada peringkat ini adalah cepat dan pesat, sama seperti kadar perkembangan semasa bayi. Perubahan fizikal seperti ketinggian, saiz dan bentuk badan mula ke arah dewasa. Perubahan saiz bagi remaja perempuan berlaku dengan cepat bermula satu atau dua tahun sebelum mencapai akil baligh. Apabila mencapai akil baligh, bentuk badan remaja perempuan mula menunjukkan sifat kewanitaannya dan bulu ketiak mula tumbuh. Remaja lelaki yang mencapai akil baligh akan melalui perubahan suara atau ‘suara pecah’. Tubuh badannya bertambah tegap, bulu ketiak dan misai mula kelihatan.
Perubahan ketinggian dan akil baligh berlaku pada remaja perempuan terlebih dahulu sebelum remaja lelaki, namun tempoh pertumbuhan lelaki semasa mencapai akil baligh lebih lama. Pertumbuhan otot lebih ketara pada remaja lelaki dan akibatnya mereka pada umumnya lebih kuat secara fizikal berbanding dengan remaja perempuan.
11.5 Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.
Aktiviti seperti ceramah, kaunseling yang dapat membantu remaja menerima dirinya, rupa dan bentuk badannya. Menyediakan latihan untuk membantu remaja membina daya tenaga dan daya tahan. Oleh kerana remaja pada peringkat ini lebih sensitif terhadap perubahan fizikal dan bentuk badan, adalah wajar mereka juga diberi kesedaran tentang gaya hidup sihat terutamanya daripada segi pemakanan, senaman dan mengelakkan aktiviti-aktiviti yang negatif seperti merokok dan mengambil dadah. Rancang aktiviti senaman supaya menyerenokkan dan jadikannya sebagai satu aktiviti sosial yang sihat. Sediakan bilik persalinan yang terasing untuk remaja perempuan dan remaja lelaki. Cuba kurangkan peluang remaja perempuan diperhati oleh lelaki semasa aktiviti senaman. Perubahan peringkat remaja tidak sahaja bermakna otot-otot bertambah kuat dan pertambahan koordinasi.
Akil baligh juga menandakan kematangan daripada segi seksual. Menyediakan kursus, dan ceramah tentang aktiviti seksual dan sistem pembiakan agar remaja mengetahui aspek-aspek perubahan fisiologi yang berlaku dalam diri mereka. Tingkah laku seksual memerlukan remaja membuat pilihan. Guru perlu menyediakan peluang untuk remaja berbincang dan bertanya tentang perubahan yang sedang berlaku dalam diri mereka agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat.
No comments:
Post a Comment