Cari Nota Dengan Cepat...!

Tuesday, July 7, 2009

Peringkat-peringkat Perkembangan fizikal.

Peringkat-peringkat Perkembangan fizikal.

Prenatal

Perkembangan individu bermula pada masa persenyawaan, iaitu apabila sperma bapa bersatu dengan ovum atau telur ibu. Seorang wanita dilahirkan dengan simpanan telur di dalam ovarinya. Selepas akil baligh, satu ovum akan mencapai tahap kematangan setiap 28 hari di dalam ovari. Ovum tersebut kemudiannya akan memasuki tiub falopia. Proses ini dipanggil ovulasi. Sekiranya semasa dalam perjalanan ke tiup falopia ovum tersebut tidak disenyawakan dalam masa 48 jam selepas ovulasi, ia akan dikeluarkan sebagai haid. Manakala ovum yang disenyawakan oleh sperma dinamakan zigot. Kadangkala seorang wanita akan menghasilkan lebih daripada satu telur, sama ada secara semula jadi ataupun dengan ransangan dadah.

Persenyewaan dua ovum oleh dua sperma berbeza ,menghasilkan kembar dwizigot atau lebih dikenali sebagai kembar bersaudara. Jika ovum yang disenyawakan oleh sperma bercerai kepada dua bahagian, iaitu zigot membahagi kepada dua dan setiap bahagian melalui pembahagian sel dan berkembang menjadi dua individu yang serupa maka kembar monozigot atau serupa terhasil. Kembar monozigot terhasil daripada zigot yang sama, oleh itu mewarisi gen yang sama daripada ibu bapa. Peringkat prenatal ialah selama sembilan bulan dan terbahagi kepada tiga fasa, iaitu pembenihan (germinal stage), embrio dan fetal.

  1. Fasa Pembenihan

Fasa ini bermula daripada proses persenyawaan sehingga zigot melekat pada dinding rahim. Tempoh fasa ini biasanya selama dua minggu. Selepas persenyawaan, zigot akan bergerak ke rahim. Zigot mempunyai 23 kromosom daripada sperma bapa dan 23 kromosom daripada ovum ibu. Kromosom-kromosom ini akan berpasangan. Setia pasangan kromosom mempunyai gen-gen yang mengandungi cetakan trait dan ciri-ciri kebakaan daripada ibu bapa.

Zigot seterusnya akan mengalami proses pembahagian sel atau mitosis. Sel-sel baru yang terbentuk akan menjadi bahagian-bahagian lain badan. Sel-sel ini akan menerima salinan gen-gen yang diperturunkan daripada ibu bapa. Gen-gen ini mengandungi DNA. Aturan-aturan struktur DNA yang banyak akan menyebabkan trait dan baka berbeza yakni tidak ada dua individu yang mempunyai baka yang sama kecuali kembar serupa yang berasal daripada zigot yang sama.

  1. Fasa embrio

Selepas pembenihan pada dinding rahim, fasa kedua perkembangan prenatal bermula. Fasa ini bermula daripada minggu ketiga sehingga minggu kelapan selepas persenyawaan. Pada masa ini, organisma yang terbentuk dipanggil embrio. Pada minggu keempat perkembangan otak bermula, mata, telinga dan mulut mula terbentuk. Pada minggu kelapan, embrio mempunyai sistem organ yang asas, rupa muka, jari tangan dan kaki. Embrio menerima makanan, khasiat dan oksigen melalui tali pusat. Tali pusat ini juga membawa karbon dioksida dan perkumuhan daripada embrio kepada ibu untuk dikumuhkan. Peranan tali pusat ini sangat penting tetapi ia juga bertanggungjawab ke atas kecacatan yng mungkin berlaku kerana ia boleh membawa bahan-bahan seperti dadah yang telah diambil oleh ibu atau penyakit-penyakit lain yang dibawa daripada ibu. Perkembangan yang agak pesat berlaku pada fasa ini. Struktur-struktur dan sistem-sistem asas badan dibentuk pada fasa ini.

  1. Fasa fetal

Fasa ini bermula pada bulan ketiga selepas persenyawaan sehingga kelahiran bayi. Pada fasa ini, ia dipanggil fetus dan pada peringkat ini organ-organ utama bertambah saiz, otot dan sistem saraf sudah mula terbentuk dan isyarat daripada otak serta beberapa pergerakan sudah boleh dikesan. Perkembangan antara bulan ketiga sehingga bulan ke enam agak pesat. Pergerakan bayi dapat dirasai oleh ibu dan deria-deria penglihatan dan pendengaran bayi sudah mula berfungsi. Pada bulan ketujuh, sekiranya bayi lahir, ia mempunyai peluang untuk hidup tetapi akan mengalami masalah pernafasan. Dengan teknologi hari ini, peluang hidup bayi ini agak tinggi. Pada peringkat ini juga, berat badan dan panjang bayi bertambah. Fetus mengubah arah kedudukan sebelum lahir dengan kepalanya pada dasar rahim.

Bayi (Lahir hingga 2 tahun)

Pada dua tahun yang pertama, pertumbuhan dan perkembangan bayi berlaku pada kadar yang pesat. Berat badan bertambah lebih kurang 10kg dan ketinggian bayi bertambah sebanyak 40cm. saiz dan kompleksiti otak bertambah. Sel-sel neuron dalam otak berkembang namun organisasinya memerlukan pengalaman selepas lahir. Gigi susu pada gusi bawah mula kelihatan apabila bayi berumur antara enam hingga lapan bulan. Pertumbuhan gigi ini dipengaruhi oleh kesihatan bayi, baka, khasiat yang diterimanya sebelum dan selepas kelahiran. Sekuen pertumbuhan gigi penting dan pada dasarnya, pertumbuhan gigi pada gusi bawah dahulu kemudian diikuti dengan pertumbuhan gigi pada gusi atas.

Sekuen yang sebaliknya akan mengakibatkan posisi rahang tidak tepat dan kejajaran gigi yang kurang sempurna. Bayi mula menunjukkan autonomi dan kekuatan melalui pergerakkan seperti memusingkan badan, merangkak dan berjalan. Ini adalah hasil perkembangan psikomotor yang melibatkan otot-otot kasar (leher, kaki, tangan dan kaki). Pergerakan tersebut mempengaruhi interaksi bayi dengan ibu bapa dan persekitarannya. Dalam masa yang sama, perkembangan otot-otot halus (jari tangan) yang membolehkan bayi mencapai, menggengam dan mengkoordinasi antara mata dan tangan mula kelihatan. Di akhir tahun kedua, bayi sudah boleh melakukan aktiviti yang kompleks yang melibatkan beberapa langkah seperti memegang pensil krayon dan melukis.

1 comment:

Unknown said...

Pening ada 2 stage je rupanya no sama..😂

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...