1.0 Perkembangan kanak-kanak.
Perkembangan manusia melibatkan perubahan. Kebanyakan orang menggunakan perkataan pertumbuhan dan perkembangan dalam konteks yang sama. Realitinya, makna perkataan ini berbeza tetapi tidak boleh dipisahkan[1].
2.0 Pertumbuhan.
Woolfolk dan Margetts (2007) menyifatkan pertumbuhan sebagai perubahan dalam saiz dan kematangan. Daripada segi fizikal, ini bermaksud pertambahan dalam saiz bahagian-bahagian badan,ketinggian dan juga bilangan saraf-saraf ke otak. Pertumbuhan ialah perubahan yang dapat dilihat dengan nyata dan diukur daripada satu peringkat ke peringkat yang lain.
2.1 Ciri-ciri Pertumbuhan.
Pertumbuhan manusia bersifat kuantitatif, ia dapat dilihat dan diukur. Saiz dan struktur badan bertambah dan kanak-kanak kelihatan lebih besar secara fizikal. Selain daripada itu, saiz otak dan organ-organ dalaman juga bertambah. Pertambahan saiz otak memberi kanak-kanak keupayaan yang lebih seperti menaakul dan mengingat. Maka pertumbuhan melibatkan aspek kognitif dan fizikal. Ia dipengaruhi oleh baka atau keturunan,kematangan, kesihatan ibu bapa dan persekitaran individu tersebut. Kadar pertumbuhan berbeza daripada individu ke individu dan ia berlaku peringkat demi peringkat[2].
2.2 Perkembangan.
Santrock (2008) mentafsir perkembangan sebagai perubahan dalam corak biologi, kognitif dan sosioemosi individu yang bermula daripada peringkat percambahan sehingga ke akhir hayat. Perkembangan ialah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat daripada sifat baru yang berlainan daripada peringkat lebih awal.
No comments:
Post a Comment