Cari Nota Dengan Cepat...!

Thursday, July 23, 2009

Sejarah, asal usul dan perkembangan sukan skuasy dunia

Permainan skuasy adalah salah satu daripada tiga jenis permainan raket di dunia, yang lain ialah tenis dan badminton.

Sejarah awal mengatakan, pada awal abad ke-19, populariti sukan menggunakan raket dengan bola telah mencetuskan satu permainan baru menggunakan raket di penjara Fleet Prison di London, England. Para banduan di penjara Fleet Prison dikatakan telah memainkan satu permainan menggunakan raket dengan sebiji bola. Mereka bermain dengan memukul sebiji bola kecil atau bola keras ke dinding di dalam sebuah bilik besar.

Dalam masa yang singkat sahaja, permainan tersebut menjadi popular di beberapa sekolah di England. Dalam pada itu, beberapa sekolah di England mula mendekati permainan ini dan ada pula yang turut membina gelanggang sendiri. Salah sebuah sekolah yang turut membina gelanggang ini ialah Sekolah Harrow, tetapi ia hanya mempunyai sebuah gelanggang sahaja.

Pada tahun 1825, permainan ini diperkenalkan ke Sekolah Harrow. Pelajar-pelajar di situ yang tidak sabar menunggu giliran menggunakan satu-satunya gelanggang itu, membentuk sejenis permainan yang boleh dimainkan di gelanggang yang lebih kecil dan permainan ini pula boleh dimainkan di dalam atau di luar gelanggang itu. Percubaan dengan menggunakan bola dan berjenis-jenis bentuk raket, pelajar-pelajar mewujudkan permainan yang diketahui sekarang dengan nama skuasy.

Perkataan skuasy adalah dipercayai diambil daripada bunyi bola apabila bola getah yang lembut itu menyentuh raket semasa ia dipukul. Pada tahun 1875, permainan ini diperkenalkan secara meluas dan dimainkan di kebanyakan sekolah di England. Dari England, permainan skuasy diperkenalkan di Kanada dan Amerika Syarikat, serta beberapa negara Eropah yang lain.

Pada mulanya, skuasy dimainkan secara suka-suka atau sebagai aktiviti mengisi masa lapang sahaja. Selepas Perang Dunia Pertama, ia telah menjadi sukan yang dipertandingkan, amnya di peringkat antarabangsa. Penubuhan Persatuan Skuasy di England pada tahun 1929 merupakan langkah awal dan penting bagi perkembangan sukan ini. Persatuan bukan sekadar menjadi persatuan skuasy England, tetapi menjadi badan utama di dunia. Persatuan skuasy di seluruh dunia mula menggunakan aturan permainan yang dibentuk oleh Persatuan Skuasy England itu.

Langkah awal persatuan ini ialah menganjurkan kejohanan terbuka dengan peserta dijemput dari seluruh dunia. Pada tahun-tahun awal kejohanan ini, pemain-pemain Inggeris banyak memenanginya. Tetapi selepas tahun 1950-an, pemain dari Pakistan menguasai sukan skuasy dunia. Bermula dengan Hashim Khan, penguasaan Pakistan dalam sukan ini diikuti pula oleh adiknya Azam Khan, sepupunya Roshan Khan, yang juga merupakan bapa kepada Jahangir Khan, jaguh skuash dunia sejak tahun 1980-an. Selain itu, pemain England, Jonah Barrington dan Geoff Hunt dari Australia turut memenangi kejohanan tersebut beberapa kali.

1 comment:

vendoline said...

ambil nota di sini..thanks membantu

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...