Cari Nota Dengan Cepat...!

Monday, September 17, 2012

Teater Pembaca


Apakah Teater Pembaca? 

  1. Satu cara menghidupkan sebuah skrip pendek. (boleh diambil dari buku teks)
  2. Teater pembaca melibatkan  pembaca membaca secara individu daripada skrip pendek.
  3. Teater pembaca dikenali sebagai ‘teater minda’ kerana audiens dibiar untuk membayangkan babak dan     aksi daripada suara dan gerak isyarat yang simbolik daripada pembaca.
  4. Pelakon tidak  perlu menghafal dialog.
  5. Persembahan sepenuhnya membaca teks.
  6. Aktiviti ini mengutamakan penggunaan suara, sebutan, gerak badan terbatas dan mimik muka.
  7. Penggunaan suara, sebutan, gerak badan dan mimik muka membantu murid-murid yang menjadi penonton memahami, menghayati dan merasakan seolah-olah cerita yang disampaikan berlaku di hadapan mereka.
  8. Tidak melibatkan ruang yang luas
  9. Tidak perlukan latihan yang lama.
  10. Boleh dilaksanakan secara spontan.
  11. Sesuai dalam melatih keterampilan berbahasa, ia melibatkan gaya pengucapan dan penyampaian yang bersahaja serta bersesuaian dengan situasi dan watak yg dilakonkan.
  12. Teater pembaca ini menekankan aspek 'membaca'. 
Langkah Perlaksanaan

  1. Beberapa orang pelajar dipilih berdasarkan kehendak skrip.
  2. Setiap pelajar yg dipilih diberikan watak dan skrip.
  3. Seorang pencerita (narator) dipilih untuk membaca bahagian naratif dalam skrip.
  4. Sediakan ruang lakon di hadapan kelas, menghadap penonton.
  5. Pelakon boleh berdiri atau duduk di atas kerusi.
  6. Pembaca (naratif) di bahagian tepi kiri atau kanan, pelakon di tengah.
  7. Pelakon membaca dialog mengikut urutan dalam skrip.
  8. Pelakon yang tiba gilirannya akan bergerak selangkah ke hadapan dan membaca/melakonkan dialog dengan penuh perasaan dan intonasi yang sesuai.

Tuesday, September 11, 2012

Perlaksanaan Inovasi Di Dalam Bilik Darjah (PowerPoint Interaktif)


Kelebihan Penggunaan inovasi PowerPoint Interaktif Dalam Bilik Darjah

Pada zaman sekarang, teknologi maklumat dan komunikasi tidak perlu diperkatakan lagi. Boleh dikatakan hampir semua masyarakat mengetahui kepentingannya. Sama ada dalam bidang pendidikan, pentadbiran, pertahanan dan sebagainya. Namun, sejauh manakah teknologi maklumat dan komunikasi ini digunakan secara maksimum oleh para guru di sekolah sebagai bahan mengajar di kelas.

Kebanyakan bahan mengajar berteraskan ICT agak jarang digunakan kerana tidak berapa mesra pengguna dan, kandungan yang kurang sesuai dengan budaya pembelajaran di sekolah dan sebagainya. Selain itu, bahan mengajar berteraskan ICT banyak dibina oleh pihak luar dan kurang menepati citarasa guru serta murid di sekolah. Ada kalanya terlalu canggih sehingga sukar dipelajari dan digunakan di sekolah.

Justeru, satu inovasi telah dicipta untuk menjadi pemudah cara kepada guru di sekolah untuk menggunakan bahan mengajar berteraskan ICT secara mudah dan ringkas. Seperti yang telah diketahui, perisian Windows PowerPoint sering digunakan untuk membentangkan teks dan gambar  atau sebagai pengganti kepada penggunaan papan hitam dan OHP. Tidak dinafikan kebanyakan guru hari ini menggunakan PowerPoint yang menarik di dalam kelas. Namun, ianya bersifat statik dan berpusatkan guru.

Sebenarnya, perisian PowerPoint boleh dipelbagaikan dan sebagai alat untuk menghasilkan perisian pembelajaran interaktif seperti mana perisian-perisian yang dijual di kedai. Cuma ianya perlu sedikit masa untuk dipelajari oleh guru. Tambahan pula, perisian ini mampu menjimatkan kos dan boleh dilakukan oleh guru sendiri ketika di rumah atau sekolah.

Berbanding perisian yang dibeli dari luar, ianya tidak boleh diubah suai atau ditambah untuk disesuaikan dengan tahap pembelajaran murid di sesebuah sekolah. Tentulah keadaan ini menyukarkan guru sekiranya perisian tersebut tidak sesuai untuk muridnya. Selain itu, perisian dari luar juga bersifat universal dan umum kerana dibina untuk pasaran seluruh negara. Justeru, kemungkinan ianya tidak selaras dan tidak ada perkaitan dengan persekitaran murid-murid. Bagaimana murid hendak menggabungkan pengalaman sedia ada dengan perkara yang dipelajarinya sekiranya bahan pembelajaran tiada unsur kesamaan dengan persekitaran mereka.

Dengan adanya inovasi perisian PowerPoint interaktif ini, guru di sekolah bebas merancang, mengaplikasi, mengubah, menambah dan menambah baik perisian tersebut di sekolah. Sebagai guru, sudah tentulah mereka lebih faham dan tahu kehendak serta keperluan murid mereka. Maklum balas murid juga boleh diambil dan dibuat refleksi terhadap perisian tersebut.

Alam pekerjaan zaman sekarang yang memerlukan kemahiran dalam bidang ICT terutamanya komputer. Justeru, adalah amat baik sekiranya murid-murid didedahkan dengan ICT sejak sekolah rendah supaya mereka sudah biasa dengannya. Apabila mereka sudah terbiasa sejak kecil dan dibekalkan dengan kemahiran ICT, ianya berguna apabila mereka melangkah ke pusat pengajian tinggi dan alam pekerjaan.

Globalisasi yang melanda dunia pada zaman sekarang menjadikan perkongsian ilmu menjadi mudah. Bahan inovasi seperti PowerPoint interaktif ini boleh dijadikan contoh serta dikongsi dengan mudah melalui softcopy. Bahan softcopy ini boleh dipindahkan melalui emel atau salinan dalam cakera keras. Dengan itu, guru di tempat lain juga dapat berkongsi dan menggunakan bahan inovasi ini. Manfaat dapat dikongsi dengan mudah dan cepat.

Kelemahan Penggunaan inovasi PowerPoint Interaktif Dalam Bilik Darjah

 Walaupun bahan pengajaran berasaskan ICT memberi pelbagai kelebihan dan kemudahan kepada proses pembelajaran dalam kelas, namun ianya juga mempunyai pelbagai kelemahan. Oleh kerana bahan berasaskan ICT memerlukan peralatan elektronik seperti komputer, projektor dan monitor, kebarangkalian untuk peralatan tersebut rosak, gagal berfungsi adalah tinggi. Ia boleh menjejaskan kelancaran pengajaran guru dan kegagalan untuk mencapai objektif pembelajaran.

Kepelbagaian latar belakang murid juga memberi kesan kepada penggunaan ICT dalam bilik darjah. Tidak semua murid mempunyai asas komputer yang baik. Bagi murid yang lahir daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan, luar bandar dan pedalaman, komputer merupakan sesuatu yang asing. Justeru, adalah sukar untuk murid sebegini mempelajari sesuatu menggunakan bahan berasaskan ICT. Dikhuatiri mereka akan ketinggalan dan tidak mampu mempelajarinya berbanding rakan mereka yang lain.

Seterusnya, kebanyakan bahan pengajaran berasaskan ICT mempunyai unsur permainan, hiburan dan multimedia. Pada awalnya ia dibuat untuk meransang minat murid. Tetapi, murid pada peringkat umur kanak-kanak biasanya mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Mereka akan mudah leka dan ketagih dengan unsur permainan tersebut sehingga menjejaskan pembelajaran mereka.

Kemudian, bahan pengajaran berasaskan ICT sebenarnya kurang memberi pengalaman sebenar kepada murid. Hal ini kerana kebanyakan bahan berasaskan ICT hanyalah sebagai simulasi, contoh dan gambaran, bukannya keadaan sebenar di dunia realiti. ICT mungkin tidak mampu memberi kesan pembelajaran seperti mana pembelajaran di luar bilik darjah yang lebih berkesan dalam membina pengetahuan berasaskan pengalaman sebenar.

Jika pembelajaran menggunakan komputer dilakukan, kesan buruknya ialah murid belajar secara pasif dengan hanya duduk di hadapan komputer. Komunikasi antara murid dengan guru dan murid dengan murid mungkin tidak berjalan dengan baik. Murid akan terlalu asyik dengan perisian komputer tanpa menghiraukan arahan guru dan komunikasi dengan rakan mereka. Hal ini sudah tentu menjejaskan perkembangan kemahiran komunikasi mereka di sekolah.

Kesan negatif kepada guru pula ialah apabila mereka mahir menggunakan ICT, mereka akan mula mengambil mudah semasa membina bahan pengajaran. Bahan sedia ada akan hanya diubah mengikut keperluan subjek. Hal ini sudah tentu membantutkan pemikiran kreatif dan kritis guru dalam menghasilkan bahan pengajaran. Walhal, sumber bahan pengajaran adalah pelbagai, bukan hanya tertumpu pada ICT semata-mata.

Apabila ICT diberi tumpuan secara berlebihan, makan kaedah pengajaran guru tidak pelbagai. Jika dilihat kaedah pengajaran biasa dan konvensional juga mempunyai kelebihan tersendiri dan tidak harus dibuang begitu sahaja.  


Pelaksanaan Inovasi Dalam Bilik Darjah

Seterusnya, mari kita bincangkan tentang huraian pelaksanaan inovasi ini dalam bilik darjah. Perisian inovasi ini memerlukan bilik darjah atau makmal komputer yang lengkap dengan komputer. Sekiranya bilangan komputer terhad, ia masih boleh digunakan. Keperluan asas peralatan komputer seperti tetikus, papan kekunci dan pembesar suara diperlukan. Untuk pengetahuan, perisian inovasi ini hanya menggunakan perisian Microsoft PowerPoint dan tidak memerlukan proses install yang kadang-kala merumitkan. Perisian ini hanya memerlukan guru copy and paste dalam komputer. Perisian yang tidak memerlukan proses install boleh menjimatkan masa dalam kelas.

Perisian ini memanipulasi fungsi hyperlink, command button, text box dan animation untuk menghasilkan slide yang interaktif dan mewujudkan hubungan dua hala dengan pengguna. Bahan audio dan video diselitkan dalam PowerPoint untuk meransang minat dan deria murid.

Semasa digunakan dalam bilik darjah, guru boleh membahagikan murid kepada kumpulan atau individu. Dalam perisian PowerPoint ini, terdapat unsur multimedia seperti gambar, video, audio dan animasi. Terdapat juga butang-butang akses (button) untuk memudahkan murid meneroka perisian ini. Setiap fakta dan maklumat isi pelajaran yang perlu diingat murid, disusun secara tersembunyi supaya murid mencari sendiri. Kaedah ini bertujuan agar murid mudah menghafal dan faham perkara yang dipelajari.

Jika dilihat sebelum ini, semasa guru menggunakan PowerPoint dalam kelas, murid menunjukkan reaksi teruja. Namun, murid jarang diberi peluang untuk mencuba sendiri PowerPoint tersebut. Justeru, dengan adanya perisian ini, ia dapat memberi peluang murid merasai sendiri pengalaman belajar yang menyeronokkan. Murid dibiarkan bermain, mencuba, menjawab dan meneroka sendiri perisian inovasi ini.

Kemudian, perisian ini membahagikan isi pelajaran mengikut tajuk dan bahagian. Ianya dibuat berdasarkan huraian sukatan pelajaran terkini. Murid akan mempelajari setiap tajuk dengan teratur seperti yang dirancang oleh guru. Pada akhir bahagian diselitkan dengan soalan-soalan ujian pemahaman. Soalan pemahaman dibuat secara menyeluruh oleh guru mengikut tahap dan kemampuan murid. Di sini guru boleh memantau terus perkembangan murid. Memandangkan perisian ini hanya menggunakan PowerPoint dan boleh diubah bila-bila masa, guru boleh menambah atau mengubah soalan yang lebih sesuai dengan murid sekiranya murid gagal atau tidak faham.

Perisian inovasi ini memerlukan murid meneroka sendiri pengetahuan, maka ianya dapat membantu murid yang pasif dan pemalu dalam kelas untuk belajar dengan lebih berkesan. Seterusnya motivasi murid juga semakin bertambah baik. Hal ini menepati matlamat penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Selalunya, apabila dalam kelas murid kurang berkeyakinan untuk mencuba sesuatu perkara. Dengan adanya inovasi ICT ini, ianya dapat membantu murid mencuba dan melakukan perkara yang sukar dilakukan semasa proses pengajaran guru biasa. Hal ini memupuk nilai yakin diri dan keberanian murid semasa proses pembelajaran.

Akhir sekali, semasa ia dilaksanakan dalam bilik darjah guru boleh memasukkan sedikit pengisian tentang kemahiran asas menggunakan komputer seperti belajar menaip, menggunakan tetikus dan sebagainya. Walaupun kemahiran ini nampak remeh, namun ianya tetap memberi kesan kepada murid dalam membiasakan diri mereka dengan komputer.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...