Istanbul! Aku Datang
Dalam tension-tension mencari nota dan menyiapkan kerja tu, apa kata ambil masa untuk rileks dan buat sesuatu yang menggembirakan. Penulis baru-baru ini berkesempatan menonton sebuah filem tempatan yang bertajuk Istanbul Aku Datang. Best ke filem ni? Mulanya, aku memang buat tak tahu tentang filem ni sebab tengok tajuk dan gaya secara luaran filem ini seperti membosankan dan terlalu biasa. Namun, ramai rakan update di Facebook dan mengatakan bahawa filem ini 'best' dan berbaloi. Aku pun kalau rakan dah kata 'best', aku akan buat jangkaan awal memang filem itu 'best'.
Pertama, apa yang aku boleh kata filem ini berjaya buat aku ikut ceritanya dari awal sampai habis tanpa terdetik rasa bosan di hati. Latar tempat dalam filem ini di Istanbul, Turki. Mungkin pengarah ingin menjadikannya sebagai salah satu tarikan dalam filem ini tetapi bagi aku, aku lebih tertarik dengan ceritanya. Ceritanya atau sinopsis bermula dengan watak Lisa Surihani yang datang ke Istanbul untuk bertemu dengan teman lelakinya (Tomok) yang belajar di sana. Semasa Lisa Surihani di Istanbul, pelbagai situasi sukar ditempuhi antaranya terpaksa tinggal serumah dengan seorang lelaki (Beto) kerana ditipu oleh seorang warga Turki. Lisa terpaksa menyembunyikan rahsia ini daripada pengetahuan Tomok. Namun, akhirnya Tomok mengetahui perkara tersebut sehingga tersalah anggap bahawa Lisa sudah curang. Nampak macam biasa-biasa je kan, tapi filem ini berjaya diolah dengan baik sehingga terasa tidak bosan dan mudah dijangka.
Yang 'best' dalam filem ini ialah filem ini gagal membuatkan aku meramal apakah ending cerita. Satu lagi, watak tambahan yang dilakonkan oleh Aizat sebagai housemate Tomok yang selamber dan cool. Apapun, filem ini ada menggunakan ayat-ayat falsafah berkaitan cinta, kesetiaan dan kekecewaan yang berkaitan dengan kehidupan sebenar. Siapa pernah merasainya, tentu akan terkesan dengan filem ini. Akhir sekali, aku bagi 8/10 untuk filem ini! Cuma kalau filem ini diubah tajuknya menjadi lebih abstrak atau berbunga sedikit, tentu lebih tepat. Macam Ombak Rindu, Lagenda Budak Setan dan sebagainya.
Boleh dikatakan bahawa sekarang filem-filem tempatan lebih bagus berbanding filem luar negara. Berdasarkan pengalaman aku menonton wayang, buat masa sekarang aku lebih selesa memilih filem tempatan kerana banyak filem luar negara yang aku tontong sejak 2-3 tahun ini sungguh membosankan. Filem-filem tempatan walaupun kadang-kadang hanya memuatkan lawak bodoh, tetapi sekurang-kurangnya membuatkan aku ketawa dan puas hati.
No comments:
Post a Comment