Cari Nota Dengan Cepat...!

Wednesday, December 12, 2012

Fungsi sastera kanak-kanak dan remaja


Fungsi sastera kanak-kanak dan remaja

Sastera kanak-kanak dan sastera remaja merupakan bidang yang sangat menarik dan penting kerana peranannya dalam memberikan sumbangan besar dalam sosial dan budaya dari sudut pembelajaran dan pengajaran. Sastera kanak-kanak merupakan bahan bacaan yang ditulis khas untuk sumber pengetahuan kanak-kanak. Bahan-bahan ini merangkumi semua bentuk penulisan kreatif dam imaginatif yang khususnya bertujuan untuk dibaca, hiburan dan dinilai oleh kanak-kanak. Menurut Misran Rokimin (2001) meneliti sastera kanak-kanak sebagai agen pembangunan yang menjurus kepada pembangunan diri seseorang manusia itu, sama ada dari segi emosi, pemikiran atau kebahasaannya. Ketiga-tiga aspek ini akan terus berkembang, yakni semakin banyak karya sastera yang dibacanya, semakin bertambah perkembangan berlaku dalam diri kanak-kanak itu.
Sastera remaja pula merupakan hasil ciptaan pengkarya untuk menceritakan tentang kehidupan remaja, alam zahir dan alam batin remaja itu. Melalui perasaan-perasaan dan fikiran-fikiran yang dilahirkan dengan bantuan bahasa menjadikan seni sastera remaja sebagai satu hasil kehidupan jiwa yang terjelma yang menggambarkan kehidupan masyarakat remaja. Menurut Othman Puteh(1988:21) mengatakan bahawa sastera remaja merupakan bahan bacaan sastera kreatif yang tercetus daripada pengamatan, pengalaman dan kreativiti pengarang yang relevan dengan pertumbuhan dan perkembangan psikologi remaja yang berusia sekitar 12-20 tahun. Bahan ini dikatakan sebagai relevan kerana segala hasil karya tanpa mengira genrenya yang dapat memperkaya pengalaman dan pengetahuan khalayak pembacanya, merangsang minat dan berupaya menghidupkan daya imaginasi lalu mendorong daya berfikir secara kritis dan selektif.
Kedua-dua genre ini baik sastera kanak-kanak mahupun sastera remaja mempunyai peranan masing-masing. Kedua-dua genre ini mempunyai fungsi yang sama, antaranya:

i.      Sebagai medium untuk mendekatkan dan membiasakan mereka dengan bahasa sastera. Misalnya sastera kanak-kanak menggunakan konsep cerita binatang yang berperanan sebagai wadah bagi mendekatkan sastera kepada kanak-kanak. Watak haiwan digunakan sebagai pengantara antara sastera dan kanak-kanak. Hal ini disebabkan naluri kanak-kanak yang secara semulajadinya menyukai haiwan dalam dunia realiti. Justeru, tidak sukar untuk memupuk minat mereka terhadap sastera jika watak haiwan ini dipindahkan ke alam karya penulisan. Selain itu, sastera remaja pula menggunakan konsep realiti kehidupan di mana remaja didedahkan dengan ilmu pengetahuan tentang pelbagai aspek dalam kehidupan seperti dalam bidang politik, sejarah, agama, psikologi dan falsafah. Hal ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada golongan ini mengenal realiti sebenar kehidupan. Justeru, tidak sukar untuk memupuk minat mereka terhadap sastera jika kehidupan realiti ini dipindahkan ke alam karya penulisan. Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan sastera remaja berfungsi sebagai medium untuk mendekatkan dan membiasakan mereka dengan bahasa sastera.

ii. Sebagai medium bagi mempertingkatkan tahap keintelektualan, daya imaginasi dan kreativiti khalayak kanak-kanak dan remaja. Ia diransang sewaktu mereka mengikuti plot-plot yang terdapat dalam hasil sastera yang dibaca. Ada di antara hasil-hasil sastera ini dipersembahkan dalam bentuk lakonan, nyanyian, gurindam, pantun dan seloka yang secara tidak lansung melatih mereka untuk mengekspresikan diri mereka serta mencungkil bakat yang terpendam dalam diri mereka. Misalnya melalui rancangan realiti seperti Idola kecil, Pondok-pondok dan Tetombak memberi ruang kepada mereka mempertingkatkan bakat kanak-kanak dalam bidang kesusasteraan. Manakala golongan remaja sering didedahkan dengan pertandingan nyanyian, penulisan kreatif dan pelbagai lagi. Hal ini menjelaskan bidang sastera telah berkembang luas sehingga mampu menarik minat golongan kanak-kanak dan remaja menceburi bidang ini dengan lebih mendalam.

iii. Sebagai medium hiburan untuk individu masyarakatnya. Masyarakat zaman dahulu atau golongan yang mengamalkan cara hidup tradisional tidak mempunyai media hiburan untuk individu masyarakatnya. Oleh itu, pelbagai cerita lisan diciptakan dalam bentuk seni sastera bertujuan menarik perhatian khalayaknya. Lazimnya hasil-hasil sastera ini dicorakkan dengan ilustrasi dan gambar-gambar yang menarik. Secara tidak langsung, kanak-kanak dapat menikmati sesi pembacaan dengan minda yang terhibur. Manakala karya sastera bagi golongan remaja biasanya diselitkan adegan romantis dan mesra antara satu individu dengan satu individu yang lain kerana pada peringkat ini mereka melalui alam berkasih  sayang. Faktor perubahan hormon ini menyebabkan mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang. Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan sastera remaja ini berkembang maju sebagai suatu medium hiburan yang bergerak seiring dengan permintaan khalayaknya.

iv. Sastera kanak-kanak dan sastera remaja memainkan peranan yang penting untuk menyampaikan wadah pengajaran dan didikan moral kepada masyarakat tradisi. Cerita lisan telah menjadi medium yang penting untuk memberi nasihat dan pengajaran yang baik dan dijadikan panduan kepada setiap individu masyarakatnya. Hal ini dapat dilihat dalam sastera kanak-kanak melalui cerita-cerita binatang yang menjadikan haiwan sebagai watak-watak yang memberikan pelbagai pengajaran yang baik seperti mengisahkan tentang akibat orang yang tamak, takbur, sombong dan bongkak seperti cerita “Anjing dengan Bayang-bayang”. Walaupun penggunaan watak haiwan diaplikasikan, namun ia pada akhirnya membawa mereka kepada nilai-nilai moral yang terdapat dalam cerita tersebut di mana cerita jenis ini mempunyai ciri interaktif dan dapat memberi kesan pada jiwa kanak-kanak. Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan sastera remaja memainkan peranan penting dalam mendidik, khususnya bagi golongan kanak-kanak dan remaja yang belum mengetahui sistem pengajian yang bercorak formal.

v. Sastera kanak-kanak dan sastera remaja juga berfungsi untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada khalayak pembaca. Antara nilai-nilai murni yang kerap diterapkan oleh pengarang dalam hasil sastera kanak-kanak dan sastera remaja ialah nilai berkerjasama, tolenrasi, sensitif kepada kezaliman, saling bermaafan, berterima kasih, berani mencuba  dan berkasih sayang. Kesedaran terhadap nilai-nilai murni ini perlu disemai pada peringkat awal zaman kanak-kanak lagi. Sastera kanak-kanak dan sastera remaja ini berperanan dalam memberi teladan kepada kanak-kanak agar mereka dapat menyesuaikan dan mempersembahkan diri mereka berdasarkan kepada nilai murni yang ditonjolkan berdasarkan bahan sastera yang telah dibaca oleh mereka. Hal ini disebabkan mereka ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan nilai dan budi pekerti yang baik. Bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".  Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan sastera remaja bukan sahaja sebagai hiburan tetapi mampu berdiri sebagai alat yang dapat membantu khalayak pembacanya membina nilai-nilai murni.

vi. Sastera kanak-kanak dan remaja berfungsi sebagai keperluan material atau kebendaan. Keperluan material ini menggambarkan keadaan kehidupan fizikal yang serba lengkap dan istimewa khususnya dari segi material. Lazimnya, kanak-kanak akan terangsang dengan gambaran tempat kediaman istana atau rumah yang bangunannya besar dan indah dengan bilik-bilik yang dihiasi oleh pelbagai hiasan. Selain itu, putera-puterinya digambarkan kacak dan cantik rupawan dengan hiasan permata gemerlapan, pakaian cantik dan berwarna-warni serta majlis perkahwinannya dilangsungkan dengan meriah dalam suasana yang gilang-gemilang dihadiri oleh orang-orang kenamaan dari segala pelosok negeri. Jamuan yang dihidangkan pula pelbagai aneka. Hal ini dapat dilihat dalam cerita Puteri Kayangan dan cerita Alladin dan Lampu Ajaib. Ia mencabar proses imaginasi kanak-kanak untuk terus berusaha memikirkan cara untuk memiliki kepunyaan sendiri. Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan remaja mampu berfungsi sebagai salah satu keperluan materi.

Kesimpulannya sastera kanak-kanak dan remaja bukan sahaja berperanan sebagai alat hiburan tetapi turut memainkan peranan penting dalam dunia realiti. Pengarang yang menghasilkan karya sastera kanak-kanak dan sastera remaja mestilah mempunyai tahap intelek yang tinggi dalam penghasilan karya tersebut. Hal ini disebabkan golongan ini adalah golongan yang mudah diberi pendedahan bak kata pepatah “kanak-kanak merupakan kain putih yang perlu dicorakkan.”  Oleh itu, setiap hasil karya sastera kanak-kanak dan remaja itu perlu mempunyai unsur yang dapat membentuk keperibadian kanak-kanak dan remaja sebagai generasi yang mulia dan bermoral. Maka karya sastera kanak-kanak dan remaja yang hendak dihasilkan perlulah menitikberatkan aspek mutu bahan bacaan tersebut. Tahap kecerdasan pemikiran seseorang kanak-kanak dan remaja itu terletak pada tahap keintelektualan pengarang itu sendiri.


Rujukan
1. Othman Puteh, (1987), Sastera  Kanak-kanak dan Remaja. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
2. http://atim8805.blogspot.com/2010/11/fungsi-sastera-kanak-kanak-dan-remaja


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...