Cari Nota Dengan Cepat...!

Saturday, December 15, 2012

Menggabungjalinkan Sastera Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran


Menggabungjalinkan Sastera  Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran

Adalah menjadi tugas guru untuk menerapkan kesasteraan ke dalam pengajaran mereka bagi memastikan kanak-kanak mendapat faedah daripadanya. Bagi mengabungjalinkan kesusasteraan dalam pendidikan prasekolah beberapa cara boleh digunakan oleh guru bagi menjayakan tujuan tersebut. Antaranya ialah:
a. Penggunaan Bahan Bacaan Asas
Penggunaan bahan bacaan Asas (basal) telah lama digunakan di United State bagi pengajaran sekolah rendah. Menurut Durkin (1987, Tomlinson dan Lynch-Brown) bahan bacaan asas adalah bacaan bersiri yang di peringkatkan daripada yang mudah meningkat kepada aras yang agak sukar peringkat demi peringkat. Bahan asas dalam program ini adalah buku bacaan bagi kanak-kanak, buku panduan guru, panduan penggunaan program secara keseluruhan dan sistem penilaian. Menurut Lapp, Flood dan Farnan 1992, (dalam Tomlinson dan Lynch Brown,1999) kekuatan bagi program yang berasaskan bahan bacaan berperingkat ini ialah ianya membantu guru dalam menyelenggarakan program bacaan secara sistematik. Ia membimbing guru serta membantu guru membuat keputusan mengenai bahan bacaan yang diperlukan oleh kanak-kanak pada peringkat tertentu. Ianya berasaskan teori bawah ke atas di mana pembacaan bermula daripada abjad dan berakhir dengan ayat. Setelah kanak-kanak boleh membaca, pelbagai jenis kesusasteraan akan diperkenalkan seperti sajak, bahasa berirama, cerita dan berbagai jenis bahan bacaan. Set bacaan asas yang baik akan turut mengambil kira mengenai aspek-aspek kesusasteraan disamping mengfokus kepada pengajaran berasaskan kemahiran fonik dan perbendaharaan kata. Sekiranya bahan bacaan asas tersebut tidak menyediakan buku yang berkualiti dari sudut kesusasteraan mungkin guru boleh memperkenalkan juga buku-buku lain yang berkualiti daripada aspek kesusasteraan untuk digunakan bersama-sama buku bacaan asas tersebut.
b.  Menggunakan buku  bagi  tema  tertentu
Bagi memudahkan guru menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan tema pada minggu tersebut, sediakan senarai buku yang akan digunakan bagi tema-tema tertentu sepanjang tahun. Misalnya tema seperti diri saya, keluarga saya, sekolah saya, pekerjaan, perayaan, bunga dan sayuran adalah tema-tema yang biasa digunakan di prasekolah-prasekolah. Pamerkan buku- buku yang mempunyai tema-tema ini di rak pameran semasa tema-tema ini berlangsung. Ini akan menggalakkan kanak-kanak mencari maklumat atau membuat eksplorasi dengan lebih meluas lagi mengenai tema yang mereka pelajari. Guru boleh membacakan buku dan menunjukkan kepada kanak-kanak bagaimana mencari maklumat menggunakan buku yang berkaitan dengan tema pembelajaran yang sedang dijalankan di bilik darjah.
       c . Penyediaan Sudut Literasi
Penyediaan persekitaran yang sesuai bagi pembacaan secara langsung akan menggalakkan pembacaan dalam kalangan kanak-kanak. Oleh kerana kanak-kanak menyukai warna yang terang, warna-warna sebegini bolehlah digunakan di pusat bacaan agar dapat menarik  perhatian kanak-kanak. Tempat yang agak terkepung juga disukai oleh kanak-kanak kerana ia menyebabkan mereka rasa terlindung dari laluan dan kebisingan. Jadikan sudut bacaan sebagai tempat yang selesa dengan berkarpet serta mempunyai banyak kusyen untuk kanak-kanak membaca dengan selesa. Sediakan rak pameran untuk mempamerkan buku yang dibaca oleh guru pada minggu itu agar mudah dilihat oleh kanak-kanak juga buku yang berkaitan dengan tema mingguan. Rak terbuka pula untuk menyimpan buku yang menjadi koleksi bilik darjah tersebut. Koleksi buku juga harus mengandungi pelbagai jenis buku bergambar dan buku-buku bacaan mudah. Selain dari itu alat perakam suara, buku interaktif dan juga komputer untuk digunakan oleh kanak-kanak di sudut bacaan. Ini akan meringankan beban guru untuk membacakan buku yang sama berulang-ulang kali kepada kanak-kanak. Ini kerana alat-alat tersebut dapat membantu dengan cara membacakan buku yang telah dibaca secara kuat kepada kanak-kanak pada bila-bila masa yang diperlukan oleh mereka. Guru juga boleh melibatkan kanak-kanak dalam pengurusan sudut bacaan ini dengan membenarkan mereka membersihkan sudut ini serta menyusun buku dan peralatan secara bergilir-gilir. Ajak mereka menukar hiasan dan beri mereka peluang untuk menyatakan idea mereka terhadap hiasan di sudut ini. Benarkan kanak-kanak menggunakan sudut ini secara bebas apabila mereka ada kelapangan seperti jika mereka menyudahi aktiviti pembelajaran lebih awal dari yang sepatutnya, semasa menunggu waktu pembelajaran bermula ataupun semasa menunggu waktu untuk pulang. Jadikan sudut bacaan ini aktif sepanjang masa dengan mengadakan aktiviti-aktiviti membaca yang boleh dijalankan secara bersendirian, bersama guru, bersama rakan dan juga dalam kumpulan yang kecil.
       d . Penyediaan Koleksi  Buku Kanak-kanak 
Sediakan bahan bacaan yang daripada pelbagai jenis di dalam prasekolah anda. Pada mulanya galakkan kanak-kanak membaca daripada jenis yang sama. Apabila mereka telah lancar dan suka membaca mereka akan menyukai meneroka bahan-bahan bacaan daripada jenis yang berlainan. Guru juga boleh memilih buku berdasarkan pengarang atau pelukis yang kanak-kanak gemari ataupun koleksi dari pengarang dan pelukis yang terkenal. Buku yang mempunyai nilai-nilai kesusasteraan yang merujuk kepada gaya bahasa, plot, watak dan juga berasaskan tema-tema tertentu juga boleh dijadikan koleksi.Guru perlu menyediakan bahan bacaan yang daripada pelbagai jenis di dalam sudut bacaan sebagai koleksi prasekolah. Pada mulanya galakkan kanak-kanak membaca daripada jenis yang sama. Apabila mereka telah lancar dan suka membaca mereka akan menyukai meneroka bahan- bahan bacaan daripada jenis yang berlainan. Guru juga boleh memilih buku berdasarkan pengarang atau pelukis yang kanak-kanak gemari ataupun koleksi dari pengarang dan pelukis yang terkenal. Buku juga boleh dikumpulkan berasaskan tema-tema tertentu.

Kesimpulan
Secara keseluruhanya buku cerita kanak-kanak amat berguna dalam usaha bagi membantu perkembangan kanak-kanak prasekolah secara menyeluruh. Oleh itu guru seharusnya mengambil peluang ini untuk menerapkan atau menggabungjalinkan bahan-bahan sastera di dalam pengajaran dan pembelajarannya. Hasilnya akan dapat dilihat dalam bentuk pulangan jangka panjang iaitu kanak-kanak tersebut bukan hanya akan mempunyai minat membaca yang mendalam serta mempunyai kemahiran membaca yang tinggi, malah mereka juga akan turut berkembang dari segi kognitif serta membina sahsiah diri yang baik.


Rujukan
Allor, J. & Mc Cathreen. (2003). "Developing Emergent Literacy Skills Through
Storybook Reading." Intervention in School and Clinic.Vol.39 (Issue 2): p72-79.
Anselmo, S. F., W. (1995). Early Childhood Development Prenatal Through Age
Eight. NewJersey, Merill-Prentice Hall.
Glazer, J.I. (2000), Literature for Young Children. Prentice Hall. USA.
Harun Mat Piah (2000), Kesusasteraan Melayu Tradisional. DBP: KL.
Hewins,L & Wells, J. (1990). Real Books for Reading: Lerning to Read with
Children Literature. USA, Pembroke Pub.
Molina, S. N. (1981). Apakah sastera kanak-kanak khasnya buku bergambar. Bengkel Buku Bergambar, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...