Cari Nota Dengan Cepat...!

Wednesday, December 12, 2012

Sastera kanak-kanak dari Perspektif Pendidikan


Sastera kanak-kanak dari Perspektif Pendidikan

Perkembangan Bahasa dan Komunikasi

Perkembangan bahasa dan komunikasi amat penting semasa kanak-kanak masih di peringkat prasekolah. Kurikulum pendidikan awal prasekolah (PKK, 2000) menggariskan prinsip utama pengajaran bahasa ialah menyepadukan empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa yang mereka pelajari. Sastera kanak-kanak boleh digunakan untuk membantu perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak. Ini boleh dilakukan melalui bacaan secara kuat kepada kanak-kanak di bilik darjah. Melalui aktiviti bacaan secara kuat ini kanak-kanak akan berpeluang mendengar sebutan yang betul, menyatakan idea atau pendapat melalui perbincangan, dan menceritakan semula cerita atau menulis, atau melukis cerita yang telah didengar atau yang telah dibaca oleh mereka (Allor & Mc Cathreen, 2003). Dengan mendengarkan pembacaan buku, secara tidak lansung kanak-kanak didedahkan dengan fungsi literasi yang bermakna dan menarik perhatian mereka. Disamping itu juga pembacaan buku akan dapat memperkayakan perbendaharaan kata kanak-kanak. Bagi pembaca baru pula, membacakan buku secara kuat ini juga akan memperkenalkan cara menggunakan buku serta fungsi buku kepada mereka (Allor & Mc Cathreen, 2003).

Menurut Tan et all (2003), Kohlberg membahagikan perkembangan moral kepada 6 peringkat yang memfokus kepada keupayaan kanak-kanak mengadili dan bagaimana mereka menyelesaikan dilema yang berkaitan dengan moral. Di peringkat pertama orientasi ke arah hukuman dan ketaatan iaitu mereka mengikuti peraturan kerana takutkan hukuman. Di peringkat kedua pula ialah melakukan sesuatu berdasarkan keinginan dan untuk mendapatkan sesuatu balasan. Apabila mereka telah semakin matang, mereka telah berubah kepada tahap 3 di mana mereka melakukan apa yang sepatutnya baik dilakukan oleh budak baik. Pada tahap ini kanak-kanak telah boleh menerima norma yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Menurut Glazer (2000), melalui cerita kanak-kanak akan mendapat pengajaran mengenai sebab dan akibat sesuatu perlakuan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Kohlberg kanak-kanak  pada ketika ini ingin melakukan sesuatu kerana takutkan hukuman dan inginkan balasan yang baik. Untuk orientasi seperti ini cerita yang menggambarkan perbuatan baik dibalas baik dan perbuatan jahat mendapat balasan buruk akan memberi pengajaran kepada kanak-kanak. Oleh itu cerita-cerita yang berbentuk tauladan amat sesuai untuk peringkat usia kanak-kanak ketika ini. Melalui cerita juga kanak-kanak akan mendapat contoh-contoh perwatakan kanak-kanak yang dikatakan baik yang menjadi idola yang ingin diikuti oleh mereka seperti mana konsep seseorang budak yang baik.

Buku-buku yang banyak menggambarkan perlakuan prososial ini bolehlah dijadikan panduan oleh kanak-kanak yang sememangnya mencari-cari model yang baik yang boleh ditiru oleh mereka. Melalui pembacaan buku, kanak-kanak memperkukuhkan lagi konsep keadilan iaitu kanak-kanak dapat membuat penilaian mengenai perasaan orang lain. Mereka belajar memikirkan mengenai orang lain juga dan belajar bertolak ansur dalam kehidupan. Jadi mereka harus tahu bagaimana mengambil giliran, meminta izin, berkongsi sesuatu, mempelawa, dan lain-lain yang pada mulanya agak sukar dilakukan bagi usia mereka yang boleh digambarkan melalui perwatakan di dalam buku cerita kanak-kanak. Dari sudut kerohanian pula sememangnya sastera kanak-kanak  kaya dengan cerita-cerita anbiya dan juga kisah-kisah nabi. Guru boleh menggunakan cerita-cerita ini sebagai cara menyemaikan sifat kerohanian kepada kanak-kanak melalui kisah dan tauladan. Guru-guru juga perlu memastikan buku-buku tersebut adalah yang mudah difahami oleh kanak-kanak dan guru boleh memperkenalkan istilah-istilah baharu yang harus dipelajari oleh kanak-kanak dalam kurikulum kerohanian prasekolah. Bagi amalan-amalan dalam agama Islam seperti ibadah dan sebagainya boleh disampaikan menggunakan buku yang menerangkan perkara ini dengan jelas supaya mudah diikuti oleh kanak-kanak yang beragama Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...