Gunakan Fungsi Search Untuk Mencari Nota

Loading...

Sunday, January 6, 2013

Aspek Dasar Puisi, Medan Makna, Medan Kata, Medan Rasa


Mengenal Aspek Dasar Puisi

Untuk menghayati sesebuah karya puisi, sama ada puisi tradisional atau puisi moden, kita harus memahami beberapa istilah yang menjadi dasar kepada penghasilan sesebuah puisi itu. Istilah tersebut termasuklah:
(i) Medan Makna
(ii) Medan Kata
(iii) Medan Rasa

(i) Medan Makna
Medan makna merujuk kepada perkara-perkara yang membantu menjelaskan gambaran idea penyair atau isi sesebuah puisi. Medan makna dapat diperincikan seperti yang berikut:
(a) Maksud (isi) :   Gambaran idea yang terkandung dalam puisi.
(b) Tema : Inti atau isi pokok (persoalan pokok) yang hendak disampaikan oleh penyair.
(c) Peroalan: Isi-isi sampingan yang membentuk inti atau isi pokok.
(d) Perutusan / amanat / pengajaran / mesej: Gagasan nilai dalam idea puisi.
(e) Sikap dan perasan: penggunaan diksi atau ungkapan yang menggambarkan kesan emosi dan pemikiran penyair sewaktu menghasilkan puisi.
(f) Unsur nilai murni: Memahami nilai dan norma kehidupan untuk dteladani dan digunakan secara bijaksana.
(g) Sejarah genre: Memahami latar belakang perkembangan puisi.
(h) Biodata penyair: Pengetahuan tentang penyair, sejarah hidup, pengalaman, sumbangan dan himpunan karya untuk membantu pembaca lebih memahami karya serta menanamkan minat terhdap sastera.
(i) Penghasilan karya: Menghasilkan puisi secara terancang dan terbimbing mengikut prinsip penulisan kreatif.

(ii) Medan Kata (bahasa) 
Medan kata merujuk kepada unsur-unsur serta gaya pemakaian bahasa sesebuah puisi. Ruang lingkup medan kata adalah seperti yang berikut:
(a) Diksi : Pemilihan dan penggunaan kata khusus secara puitis yang ditulis secara sedar untuk melahirkan kesan rasa dan makna dalam puisi. Diksi yang baik dinilai daripada aspek ketepatan, kemunasabahan, kejelasan dan keunikan. 
          Contohnya:  berkerlipan bintang kejora
(b) Imej / citra alam: Gambaran atau tiruan bentuk atau objek alam yang tergambar dalam fikiran, dicipta atau digambarkan untuk menyatakan satu pengertian perasaan. Memindahkan pengertian konkrit kepada satu pengertian abstrak dengan menggunakan  objek alam bagi menggambarkan kesan rasa dan makna. 
Contoh: bulan, laut, bunga mawar, selasih, rama-rama, undan
(c) Kiasan: Kata atau ungkapan yang digunakan untuk menyatakan sesuatu dengan cara bersandarkan atau membandingkan sifanya dengan sesuatu yang lain agar pernyataan menjadi lebih jelas dan memberi kesan serta makna khusus. Mungkin dalam bentuk bandingan atau tanpa bandingan.
Contoh: pahit bagai hempedu; tinggi menggunung
(d) Rima: Persamaan gugus kata daripada segi vokal atau konsonan yang timbul pada awal, tengah, dan hujung baris puisi. Pengulangan bunyi vokal atau konsonan pada susunan perkataan dalam sebaris puisi dikenali rima dalaman. 
Contoh: sekuntum bunga biru
Pengulangan bunyi vokal atau konsonan pada hujung baris puisi dikenal sebagai rima luaran.
Contoh:
Sekuntum bunga biru
Yang luruh di penjuru itu
Adalah seorang aku
Yang merinduimu
(e) Aliterasi: Pengulangan bunyi konsonan dalam baris. Contohnya adalah seperti yang berikut:
          Kelam menyelubugi malam
(f) Asonansi: Pengulangi bunyi vokal dalam baris. Contohnya adalah seperti yang berikut:
         Melangkah gadis menahan denyutan

(g) Rentak: Tingkahan tinggi-rendah, panjang-pendek, cepat-lambat suara sewaktu melafazkan puisi dan memberikan kesan perasaan terhadap suara pembaca.
(h) Jeda: Titik perhentian seketika, perlaihan atas nafas sewaktu melafazkan puisi, berguna untuk menimbulkan kesan tumpuan dan imaginasi terhadap bahasa dan muzik kata; ditandai dengan (,) atau (;).
Contoh:
Kalau nak gugur, gugurlah nangka,
Jangan menimpa si ranting pauh;
Kalau nak tidur, tidurlah mata,
Jangan terkenang orang yang jauh.
(i) Simili: Tamsil atau kiasan yang membandingkan dua objek yang mempunyai sifat dan nilai yang sama secara langsung, menggunakan perkataan bandingan. Contoh: 
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
(j) Metafora: Kiasan atau analogi yang melambangkan sesuatu bagi sesuatu yang lain bagi menyarankan antara kedua-duanya terdapat kesamaan tanpa menggunakan kata bandingan.
 Contoh:   lautan kasih, gunung harapan, api kemarahan
(k) Personifikasi: Bandingan yang memberikan sifat manusia kepada benda, objek, binatang, idea atau hal-hal yang abstrak.
Contoh:
- Bulan tersenyum rawan
- Damai melambai senja
- Beburung bersiul girang
(l) Hiperbola: Kiasan dalam bentuk ungkapan yang menggambarkan sesuatu secara berlebihan, digunakan bagi menguatkan makna.
Contoh:  
- perahu lilin layar kertas
- menyeberangi lautan api
- menggapai gunung nan tinggi
(m) Sinkof:  Singkatan kata untuk mempercepat rentak bahasa atau merendahkan perasaan / emosi. Contoh: ku, mu, tak, dah
(n) Inversi: Pembalikan kata untuk menguatkan kesan rasa terhadap sesuatu. 
Contoh: 
Akan kupinta l buih-buih, 
Menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang,
Menjadi hamparan ranjang tidurmu.
(o) Anafora: Ulangan perkataan atau frasa yang sama pada awal baris dalam dua baris atau lebih. Contoh:
Aku cinta padamu laut
Aku sayang padamu camar
Aku rindu padamu kedamaian
(p) Epifora: Ulangan perkataan atau frasa yang sama pada akhir baris bagi dua baris atau lebih. Contoh:
Sekuntun bunga biru
Sehampar laut biru
(q) Imejan: Puisi yang mengandungi banyak perkataan yang menggambarkan objek atau perlakuan yang membentuk simbol, lambang atau kod untuk menggambarkan sikap dan perasaan penyair. Contoh:
Segar angin laut
Mengembalikan rindunya pada kolek
Bagi buih kecil
(angin, laut, kolek, buih kecil – imej kepada kehidupan nelayan yang  
      miskin)
(r) Nada: Sikap pengarang terhadap objek atau ideanya, mungkin bercorak romantis, melakolis, patriotis, sinis, dan lain-lain. Dalam puisi, nada lahir daripada gabungan atau variasi unsur diksi, rima, aliterasi, asonansi, imejan dan simbol. Contohnya, sajak “Keindahan yang Hilang (Kerusi halaman 15) bernada sedih dan melankolis.

(iii) Medan Rasa
Aspek-aspek yang berkaitan dengan teknik penciptaan puisi yang mempengaruhi pengucapan dan perasaan penyair atau pembaca.
(a) Bentuk (form): susunan luaran puisi yang merangkumi jumlah kata, suku kata, baris, bait, skima rima dan pembahagian unit (misalnya pembayang dan maksud bagi pantun).
(b) Struktur / binaan (structure): susunan dalaman puisi seperti perkaitan antara pembayang dan maksud pantun, perkaitan antara anak kalimat dan induk kalimat dalam gurindam dan seloka.
(c) Timbangan (suku kata, kata, baris, rangkap, visual, skima rima): ciri dan sifat yang menentukan keharmonian pengucapan kata atau bahasa puisi.
(d) Ciri dan sifat: Aspek-aspek khusus yang menjelaskan puisi-puisi berlainan. Biasanya dilihat daripada aspek bentuk, bahasa, isi dan fungsi.
(e) Perbandingan bentuk: Membandingkan perbezaan dan persamaan antara puisi berlainan daripada aspek bentuk, bahasa, isi dan lain-lain.
Sesungguhnya puisi (sama ada tradisional mahupun moden) merupakan pancaran akal budi masyarakat pada sepanjang zaman. Penghayatan puisi membolehkan kita mencungkil rahsia peribadi manusia, bangsa dan ketamadunan wilayah yang melahirkannya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...