Cari Nota Dengan Cepat...!

Monday, January 7, 2013

Definisi Pantun. Konsep Pantun.Unsur Pantun


Pendahuluan

Pantun ialah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal kepunyaan Melayu betul (1961).  Semenjak orang Melayu belum tahu surat-menyurat  pun mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun  antara mereka.  Penciptaannya terkandung dalam dua rangkap, empat rangkap, enam rangkap, lapan rangkap, dua belas rangkap dan pantun berkait.  Dalam apa juga bentuk fizikalnya pantun merupakan pengungkapan yang mengandungi unsur pembayang maksud dan maksud.

Penciptaan Pantun
Sastera Melayu di Malaysia dihasilkan oleh pengarang-pengarang yang kehidupan dan pemikiran mereka  dibentuk dan dipengaruhi oleh alam sekitar dan kepercayaan yang dianuti oleh mereka.  Dalam konteks orang Melayu di Malaysia,  kepercayaan terhadap Allah ialah kepercayaan yang mutlak bagi mereka untuk mengabdikan diri mereka kepada Allah s.w.t.  Kenyataan ini dapat dilihat daripada penggunaan unsur alam dan kepercayaan kepada Allah s.w.t di dalam penyampaian mesej puisi (termasuk pantun). Unsur alam merujuk kepada elemen-elemen alam fizikal atau  alam nyata (inderawi) yang dapat dilihat, didengar, disentuh dan dirasai melalui pancaindera manusia.  Alam fizikal ini merupakan satu lapisan dari seluruh alam.  Lapisan yang lain ialah alam metafizikal yang merupakan lapisan atau bahagian alam yang tidak terlihat oleh mata kasar manusia.  Fenomena ini biasanya disebut sebagai alam ghaib, iaitu bahagian alam yang sepenuhnya berada di dalam kelebihan ilmu Allah s.w.t (2006).

Unsur Alam dalam Pantun
Sebagaimana yang dijelaskan dalam perenggan terdahulu, unsur alam ialah segala-gala yang boleh (berupaya) dilihat, didengar, dan dirasai (dengan deria sentuh dan perasaan) oleh insan dan makhluk yang lain.  Maksud  boleh pula ialah, manusia boleh membuat sesuatu berdasarkan kuderat dan kerelevanan pancaindera yang dimiliki oleh manusia.  Mereka yang cacat, mungkin tidak boleh mendengar, melihat, dan merasai seperti mereka yang normal.  Namun, kita jangan lupa, bahawa mereka yang cacat [penglihatan] mungkin lebih tajam daya imiginasi mereka berbanding dengan kita yang normal. 

Hal inilah yang dikatakan bahawa mata hati mereka (yang cacat penglihatan) lebih tajam derianya (perasaan) daripada manusia yang normal.  Mereka dapat bermonolog dan bermeditasi  dengan daya imiginasi yang lebih ampuh jika dibandingkan dengan mereka yang normal penglihatannya.   Begitu juga yang cacat pendengaran, mungkin daya agakan mereka lebih tajam, iaitu seumpama lintah di dalam air yang tajam pendengaran lalu hanya dengan melalui riak dan getaran air, si lintah akan datang kepada objek yang menyebabkan kocakan atau riakan air itu.  Demikian juga rasa sentuhan, deria sentuh dan rasa (perasaan).  Yang cacat pendengaran dan penglihatan mungkin  lebih tajam daya rasa dan perasaan berbanding dengan insan yang normal.

Selaku manusia yang normal, kita amat bertuah kerana dengan kenormalan itu kita dapat mencetuskan idea bagi menghasilkan puisi yang baik.  Oleh itu, penggunaan unsur alam akan dilihat lebih membawa makna yang lebih dari sekadar maknanya yang harfiah.  Unsur ini perlu ditafsir bagi menghayati makna yang sebenar.  Tuntutan untuk melaksanakan tafsiran bagi menemukan makna ini memberi implikasi bahawa kesusasteraan memiliki sifat zahir dan batin atau yang tersurat dan yang tersirat  (Hashim Awang, 2002). Muhamad Haji Salleh (1999), memberi pandangan bahawa manusia Melayu membaca dan mentafsir kejadian alam untuk memahami sesuatu yang telah berlaku atau sesuatu yang akan berlaku (ramalan).  Alam sering dilihat seperti mengetahui perasaan manusia dan menyebelahinya dalam menyediakan tanda, memberi peringatan atau pun merayakan sesuatu peristiwa dan keadaan.  Alam membayangkan kebenaran.  Maka bayangan ini selalu dicari oleh pemikir dan pengarang untuk dipindahkan ke dalam karya mereka.  Misalnya, unggas atau ayam akan berbunyi menandakan sesuatu (seperti manusia dan bukan manusia) akan datang dan terbit waktu fajar  pada waktu subuh.  

Mengikut Za’ba (1934)  perlambangan atau teknik yang sengaja menyamarkan citra dan makna adalah salah satu teknik utama sastera Melayu yang bukan sahaja digunakan dalam pantun tetapi juga dalam naratif yang lain.  Menurut pendapat Pendeta ini, hal ini demikian kerana dalam pemikiran sastera, sekurang-kurangnya pantun, hikayat dan beberapa bentuk yang berkaitan, sesuatu yang lebih  misterius.  Oleh itu, segala-galanya akan lebih mencabar akal fikiran khalayaknya.

Unsur-unsur Lain dalam Pantun
Menurut kajian,  selain pencernaan pemikiran melalui alam sekitar dan persekitaran, penyair Melayu Islam yang lama (2006) menggunakan sumber yang lebih autentik dan jelas, iaitu melalui pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam al-Quran.  Karangan mereka lebih bersifat falsafah dan pemikiran.  Salah satu  contoh yang baik ialah Syair Ma’rifat karya Syeikh Abdul Rauf al-Singkel, seperti contoh yang berikut:
Baik-baik tuan menerima
Kepada pohon ialah seumpama
Daun dan buah tiada sama
Masing-masing berlain-lain nama
Sebiji kelapa ibarat sama
Lafaznya empat suatu makna
Di situlah banyak orang terkena
Sebab pendapat kurang sempurna

Kulitnya itu ibarat syariat
Tempurungnya itu ibarat tarekat
Isinya itu ibarat hakikat
Minyaknya itu ibarat makrifat

Jikalau kita amat-amati syair Ma’rifat  baris demi baris, unsur alam, iaitu pokok kelapa digunakan secara terperinci untuk menggambarkan konsepsi agama seperti tarekat dan  makrifat.  Demikian juga jika kita biasa mendengar bait-bait lagu nasyid yang antara lainnya berbunyi seperti yang berikut:
 Walaupun hidup seribu tahun
            Kalau tak sembahyang, apa gunanya?

Mukadimah yang di atas dan beberapa sub topik yang berikutnya bukanlah tujuan kertas kerja ini disediakan.  Pengenalan yang diberi di atas bertujuan supaya pembaca memahami asal-usul terciptanya karya puisi yang di dalamnya termasuklah pantun.  Oleh yang demikian, perhatian pemakalah ditumpukan kepada  kaedah atau cara (definisi yang diskopkan pemakalah) pantun dicipta oleh pengkaryanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...