Cari Nota Dengan Cepat...!

Monday, January 14, 2013

Kaedah Penciptaan Pantun


Kaedah Penciptaan Pantun

Pelbagai kaedah pantun boleh dicipta oleh pengkarya.  Sebelum pemakalah menerangkan penciptaan pantun, elok rasanya  pemakalah kaitkan perbincangan ini dengan sumber yang menjadi ilham bagaimana pantun dicipta. 

Pengamatan Unsur Alam
Unsur alam amat banyak.  Semua unsur ada di sekeliling manusia (manusia juga adalah salah satu unsur alam).  Unsur alam yang dimaksudkan ialah manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna, serangga, unggas, batu-batan, laut, sungai, tasik, teluk, karangan laut, dedaun, rumpai, bunyi benda hidup dan benda tidak hidup, kematian, peperangan, pelangi, warna, ombak, gelombang, pasir, denai, jalan, jalan raya, lebuh raya, lorong, perahu, kapal, lancang, anign, pulau, arah, utara, selatan, timar, barat, sampan, dan sebagainya.  Setelah mengamat-amati unsur yang sedemikian, kita susun supaya menjadi ayat (bait / baris)  dengan ikatan atau satuan yang kukuh dan bermakna serta munasabah.  Contoh;
Lancang pilan dari selatan,
Angin bertiup dari utara;
Hilang pulau lenyap daratan,
Namun laut berombak juga. (Zainal Abidin Bakar:, 1984: 214)

Unsur alam:  Lancang pilan (nama sejenis lancang / perahu), selatan, angin, utara, pulau, daratan, laut, dan ombak.

Ikatan / satuan / kohesi pembayang maksud:  lancang pilan didayung dari arah selatan tetapi terpaksa menempuh angin yang datang dari utara.  Hal ini memungkinkan pelayaran yang sukar dan pelayar mungkin dipukul ombak yang besar!

Ikatan / satuan / kohesi maksud:  Jika ditakdirkan pulau tiada dan daratan lenyap, ombak dilaut akan tetap beralun juga.

Maksud tersirat:  Untuk menunjukkan kekuasaan dan kebesaran Allah, kita kena yakin bahawa laut adalah satu daripada ciptaan Allah yang amat kita kagumi.  Hal ini dapat dilihat betapa tidak pernah di mana-mana laut pun ombaknya berhenti daripada menghempaskan dirinya di pantai.  Atau laut tetap kukuh, teguh, dan kekal hingga hari kiamat!

Konstruk Pantun:  Jumlah suku kata yang terdapat dalam baris pertama 9, baris kedua 10, baris ketiga 9, dan baris keempat 9 suku kata.  Jumlah suku kata yang sebegini dianggap baik dan sesuai untuk ekspresikan oleh pemantun.

Pantun Melayu Merealisasikan Pemikiran  (penjelasan) Maksud
Pemikiran yang terdapat dalam baris ketiga dan keempat  adalah untuk menunjukkan betapa laut adalah ciptaan Allah yang amat hebat.  Namun, jika diandaikan pulau di tengah laut hilang dan darat lenyap daripada kelompok tertentu, ombak yang setiap saat memukul pantai pasti ada, selagi bumi ini berpusing dan berpusing mengelilingi matahari.

Pembayang maksud
Pemikiran yang terdapat dalam pembayang maksud adalah dalam dua baris awal pantun empat kerat.  Pemikiran yang ingin disampaikan oleh pemantun ialah fenomenon alam yang dimanfaatkan oleh manusia dengan membuat pelayaran di laut arah ke selatan.  Namun, akibat daripada kealpaan manusia yang tidak  tahu meramal apa-apa, maka angin dari utara pula yang akan memberi cabaran serta kemungkinan juga pelayaran itu akan menerima musibah.

Perkaitan wacana: dalam pembayang dan maksud
Untuk mencipta pantun, si pemantun haruslah memikirkan aspek wacana dan kemanusabahan semantik atau erti.  Maksud pemakalah ialah si pemantun harus memikirkan urutan atau rentetan atau tautan cerita atau hal atau fakta yang terdapat dalam baris pertama dan kedua yang juga berfungsi sebagai pembayang maksud (2006).  Hal ini terkecuali jika si pemantun ingin memikirkan makna yang tersirat atau makna berlapis atau sindiran kepada pendengarnya.  Sila perhatikan contoh pantun yang berikut:
Pohon beringin daunnya hijau,
Pucuk petola diselak-selak;
Hati ingin hendak ke pulau,
Biduk ada pendayung tidak.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 179)
Jika kita teliti dari aspek wacana, pantun yang diambil perkataan yang menggunakan unsur alam ini wujud wacana dalam baris pertama, iaitu pohon atau pokok beringin, sejenis spesis pokok yang besar dan mempunyai daun yang hijau kerana pokok ini hidup dalam iklim khatulistiwa.  Kaitan baris pertama dengan baris kedua seolah-olahnya tiada.  Namun jika difikirkan asasnya, iaitu unsur alam, maka pemantun telah dapat memikirkannya dari sudut tumbuhan yang pelbagai tetapi digunakan contoh yang lain pula, iaitu pokok petola yang sifatnya menjalar, berdaun separa tua, dan berpucuk muda.  Sudah pastilah daun pada peringkat pucuk lebih lembut dan mudah untuk diselak.  Yang pasti ialah perbuatan menyelak itu manusabah dilakukan (oleh manusia) kerana pokok petola biasanya melilit pada panggarnya dan mudah dicapai oleh si penanamnya.  Oleh itu, daun petola yang muda mudah di selak-selak dan berkemungkinan si penanamnya ingin memeriksa daun petola sama ada terdapat ulat daun atau pun tidak.
 
 Daripada aspek inilah yang dikatakan oleh pemakalah bahawa wacana telah wujud dan kemanusabahan makna terjelma.  Ringkasnya, wacana dalam baris pertama dan kedua dapat dibentuk. Wacana dalam baris keitga dan keempat tidak dapat dipertikaikan kerana baris ini merupakan maksud pantun yang menekankan aspirasi si pemantun, iaitu ingin menyatakan cita-cita hidupnya tetapi tidak tercapai akibat daripada ketidakcukupan syarat dan sebagainya.  Aspek ini mungkin di sebaliknya jika kita teliti pantun  yang berikut:
Anak Cina bermain congkak,
Anak Siam menunggang kuda;
Aku ketawa giginya rongak,
Berkahwin pula dengan si tua.
Mari kita fikirkan aspek wacananya.  Saya berpendapat dalam baris pertama, wacana budayanya meleset sama sekali!  Hal ini demikian kerana kebiasaannya anak kaum Cina tidak bermain congkak.  Mereka mungkin bermain gendang Cina – maksudnya, wacana seperti ini tidak mempunyai perkaitan dengan realtiti hidup dan budaya.  Fakta inilah yang merencatkan binaan dan penciptaan pantun.  Baris kedua demikian juga, iaitu anak bangsa Siam biasanya tidak biasa (lumrah) menunggang kuda.  Yang biasa ialah mereka menunggang gajah.  Jadi, pada pendapat pemakalah, baris pertama dan kedua selain tidak mempunyai kohesi, masing-masing dalam setiap baris juga tidak berkohesi antara baris.  Jika kita teliti baris ketiga dan keempat pula, mungkin baris ketiga boleh diterima sebagai jenaka tetapi kaitan yang tipis antara gigi yang rongak dengan rasa terlalu geli hati apabila mendapati yang rongak (sama lelaki atau wanita) berkahwin dengan pasangan yang tua.
Aspek ini perlu diamat-amati oleh pemantun supaya pantun yang merupakan milik budaya Melayu ini tetap terpelihara nilai estetika, wacana dan kemanusabahan maknanya.  Sila teliti pula pantun yang berikut:
Aur ditanam betung yang tumbuh,
Diparang oleh anak Cik Siti;
Kalau hati sesama teguh,
Kering lautan kita nanti. (2001:  379)

Kalau tuan mudik ke hulu,
Belikan saya ulam pegaga;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga. (2001:  411)

Buah berangan dari Palembang,
Dijual budak dalam kota;
Jangan tuan berhati bimbang,
Saya tidak berubah kata. (2001:  383)
Berdasarkan pantun di atas, bagaimanakah wacana dan kemanusabahan maknanya?

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...