Cari Nota Dengan Cepat...!

Thursday, December 13, 2012

Sastera kanak-kanak dari Perspektif Pendidikan


Sastera kanak-kanak dari Perspektif Pendidikan

Perkembangan Sosial

Komponen Perkembangan Sosioemosi memberi fokus kepada penguasaan emosi dan kemahiran sosial yang matang. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid belajar mengawal emosi, pemikiran dan tindakan supaya dapat menyesuaikan diri dalam kehidupan bermasyarakat (KPM, 2000). Pada zaman ini kehidupan menjadi bertambah kompleks dan ini mengakibatkan kanak-kanak turut menerima sedikit sebanyak tekanan. Kanak-kanak memerlukan contoh bersosialisasi yang baik, dan mempelajari bagaimana untuk bersosialisasi dengan baik di dalam masyarakat. Dengan menggunakan buku, kanak-kanak akan melihat apa yang dilakukan oleh watak-watak di dalam buku bagi menyesuaikan diri di dalam kehidupan harian. Melalui model-model yang baik yang terdapat dalam buku cerita kanak-kanak mempelajari bagaimana hendak menangani isu-isu kehidupan. Menurut Tan et al (2003), secara amnya pembentukan pelakuan berlaku melalui proses mengenal pasti dan peniruan.  Menurut Bandura (Tan et al, 2003), kanak-kanak mempelajari sesuatu perlakuan melalui proses pemerhatian dan peniruan. Beliau telah banyak menjalankan kajian mengenai proses pemerhatian dan peniruan di dalam bilik darjah dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian beliau menunjukkan kebanyakan pembelajaran manusia berlaku melalui proses pemerhatian dan peniruan. Menurut Piaget, kanak-kanak berusia dua tahun hingga keenam tahun bersikap egocentrik iaitu terlalu mementingkan dirinya sendiri. Walau bagaimanapun semakin meningkat usia mereka, pemikiran mereka mula berkembang dan mereka telah mula memahami orang lain (Tan et al, 2003). Glazer (2000) menyatakan peniruan boleh berlaku dengan menggunakan buku. Ini kerana melalui buku akan terdapat perlakuan-perlakuan yang prososial seperti bertolak ansur, menunggu giliran, meminta izin, memohon maaf dan sebagainya. Di sini kanak-kanak akan mempelajari dan mencontohi tingkah laku yang betul dan yang boleh diterima oleh masyarakat. Tambahan pula kanak-kanak di usia ini masih baru dalam proses bersosialisasi dan amat memerlukan contoh yang perlu diikuti oleh mereka. Melalui buku cerita juga kanak-kanak mempelajari mengenai perbezaan-perbezaan individu terutamanya dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum. Melalui buku kanak-kanak akan mempelajari terdapat persamaan di antara mereka dengan rakan-rakan yang berlainan kaum seperti menyukai makanan atau mainan yang sama dan sebagainya dan terdapat perbezaan dari segi agama, rupa fizikal, budaya dan lain-lain lagi. Melalui cerita-cerita sebegini akan dapat menyatupadukan masyarakat berbilang bangsa sejak dari usia muda lagi. Begitu juga melalui perwatakan di dalam buku kanak-kanak akan mengetahui cara yang baik bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, kemarahan mereka, kesedihan mereka dan kegembiraan mereka melalui cara yang sesuai. Melalui model yang ditunjukkan oleh watak-watak di dalam buku cerita tersebut kanak-kanak secara tidak langsung mempelajari bagaimana menangani masalah emosi mereka dengan cara yang sesuai (Lynch-Brown & Tomlinson,1999). Ilustrasi juga dapat memainkan peranan dalam perkembangan emosi kanak-kanak kerana ilustrasi di dalam buku berupaya menunjukkan perlakuan perlakuan positif dan negatif sesuatu watak. Ilustrasi yang baik akan menunjukkan emosi watak melalui mimik muka, perlakuan serta personaliti watak yang dapat diperhatikan oleh kanak-kanak. Oleh kerana gambar ini tidak  bergerak, ianya boleh diamati oleh kanak-kanak dan secara tidak langsung berlakulah peniruan. Oleh itu pelukis ilustrasi haruslah menggunakan peluang ini seluas-luasnya dalam menyampaikan tunjuk ajar yang positif kepada kanak-kanak.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...