Cari Nota Dengan Cepat...!

Thursday, September 17, 2009

Sejarah Melaka.

Sejarah Melaka

Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang, keturunan majapahit, pada tahun antara 1400 hingga 1403.

Parameswara adalah keturunan Raden Wijaya, raja pertama dan pengasas Kerajaan Majapahit (1293-1309)yang menikahi Sri Gayatri Rajapatni, puteri dari Sri Kertanegara, raja terakhir (1268-1292) Kerajaan Kesultanan Melaka ini memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewas oleh pihak Portugis pada tahun 1511.


Pemerintahan Jajahan

Melaka ditawan oleh Alfonso de Albuquerque, seorang Portugis pada 24 Ogos 1511 dan menjadikannya suatu pangkalan strategik bagi pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur.

Sultan Mahmud Shah, Sultan terakhir Melaka, melarikan diri ke daerah pedalaman dan menyebabkan kesukaran kepada pihak Portugis dengan serangan hendap dari darat dan laut. Akhirnya, pada tahun 1526, angkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh Portugal untuk memusnahkan bandar yang melindungi Sultan Mahmud.

Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke di mana beliau mangkat dua tahun kemudian.

Pada tahun 1641, pihak Belanda menakluk Melaka dengan menewaskan Portugis melalui bantuan Sultan Johor.

Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di antara Timur dan Barat, mereka lebih mementingkan pembangunan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka.

Fort A' Formosa: Peniggalan sejarah dipelihara sehingga hari ini.

Pihak Belanda menyerahkan Melaka kepada pihak British mengikut pada tahun 1824. Dari 1826 hingga 1867, Melaka diperintah oleh Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company), dan kemudiannya menjadi sebuah jajahan British.

Ia menjadi sebahagian Petempatan Selat (Straits Settlement), bersama-sama dengan Singapura dan Pulau Pinang pada tahun 1946. Selepas pembubaran tanah jajahan, Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union yang kemudiannya menjadi Malaysia.

Melaka diisytiharkan sebagai "Bandaraya Bersejarah" pada 15 April 1989.


Keagungan Melaka
Kesultanan Melayu

Kesultanan adalah sebuah institusi keadilan. Kerana

itulah setiap raja yang menaiki takhta harus bersumpah akan memerintah dengan seadil-adilnya sambil menjunjung al-Quran. Ertinya raja tidak mengatasi al-Quran dan segala hukum-hukumnya. Raja adalah pemegang amanah pelaksana keadilan. Islam telah memberikan martabat dan hak-hak keinsanan kepada rakyat Melayu.

Sejak itu umat Melayu amat peka dengan nilai keadilan. Kerana itu dalam sejarah dan tradisi politik Melayu-Islam dari waktu ke waktu kita menyaksikan cetusan keprihatinan rakyat apabila istana gagal melaksanakan keadilan, gagal membela rakyat yang teraniaya, apa lagi jika istana sendiri sudah menjadi sarang penganiayaan.

Undang-undang Melaka

atau lebih dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka pada mulanya merupakan peraturan yang tidak bertulis. Peraturan itu diadakan untuk melindungi kerajaan, rakyat, dan negeri Melaka. Walaupun Hukum Kanun ini sudah dijalankan pada masa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1456 M) namun ia baru ditulis dan disusun secara teratur setelah pemerintahan Sultan Mahmud Syah (1489-1511 M). Itulah sebabnya Hukum Kanun ini hanya dianggap ada setelah tahun 1489 M. Perhatikan bahasa yang digunakan dalam petikan Hukum Kanun atau Undang-undang Melaka ini:

Lima perkara, yang tiada beroleh kita menurut kata itu, melainkan raja yang kerajaan juga. Pertama-tama 'titah', kedua 'berparik', ketiga 'murka', keempat 'karunia', kelima 'anugerah'. Maka segala kata ini tiada dapat kita mengatakan dia. Dan jikalau orang keluaran berkata demikian itu, digocoh hukumnya.

Islam dan revolusi budayanya telah membawa perubahan ideologikal yang cukup mendasar dalam ketatanegaraan Melayu.

Konsep raja telah mengalami transformasi makna atau perubahan konseptual apabila istilah raja itu dirujuk dan dipadankan dengan peristilahan politik Islam seperti khalifah, sultan dan imam. Raja boleh diertikan sebagai khalifah yang membawa makna pengganti dan pelanjut pemerintahan nabawi yang berlandaskan al-Quran, al-Hadis dan al-Ijmak.

Raja juga diertikan sebagai sultan yang membawa makna penguatkuasa keadilan hukum yang bersumberkan ajaran Allah dan RasulNya. Seterusnya, raja boleh diertikan sebagai imam yang membawa maksud kepemimpinan dan keteladanan.

Al-Quran dan al-Sunnah juga merupakan sumber etika kesultanan Melayu zaman tradisi. Sumber ini memerlukan nilai-nilai dasar yang memerlukan pemerincian dalam konteks ruang dan waktu atau realiti zaman dan suasana setempat.

Kerana itulah wujudnya amalan di kalangan khalifah-khalifah Islam meminta para ilmuwan zaman mereka merumuskan kod etika kekhalifahan dalam bentuk sejumlah nasihat yang perlu dipatuhi oleh para khalifah.

Tidak dapat dinafikan adanya raja-raja dalam sejarah kesultanan kita yang membelakangkan etika, tetapi kejadian tersebut adalah merupakan suatu penyimpangan dan bukannya arus besar tradisi politik Melayu-Islam.

Keilmuan adalah kriteria kepemimpinan yang sangat ditekankan oleh Islam. Keilmuan Islam dan kepemimpinan tidak pernah terpisah.

Para khalifah adalah tokoh-tokoh yang menepati kriteria pemimpin-ilmuwan.

Raja juga perlu ada sifat penyayang yang menjadi penambat kasih sayang rakyat terhadap raja. Sekiranya raja bersifat kasar, rakyat ketakutan mendorong mereka bersikap pura-pura, bermuka-muka dan hipokrit.

Antara raja dan rakyat perlu wujud hubungan saling sayang-menyayangi. Untuk mewujudkan hubungan saling kasih-mengasihi, Nabi Muhammad s.a.w. mengingatkan pula tentang tanggungjawab raja terhadap rakyatnya. Dalam tradisi pra-Islam, rakyatlah yang harus mengabdi kepada raja. Kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek. Tetapi agama Islam telah mengubah tradisi tersebut dengan meletakkan tugas melayani rakyat di bahu raja. Kesedaran tentang tanggungjawab memberi khidmat kepada rakyat itu memang wujud di kalangan sebilangan raja zaman tradisi kesultanan Melayu.

Pengaruh Islam dalam bidang politik

Terdapat perubahan yang jelas bila wujudnya kerajaan Melayu-Islam yang berpunca dari gerakan dakwah yang datang ke rantau ini.

Sebelum wujudnya pemerintahan yang bercorak Islam ianya didahului oleh penempatan atau perkumpulan orang-orang Islam yang menduduki di sesuatu daerah. Di Nusantara pertama kali terdapat masyarakat Islam yang dikenali sebagai Ta-Shih pada tahun 674 Masihi. Ta-Shih ialah suatu panggilan kepada orang-orang Arab di rantau ini, yang terdapat di pantai barat Sumatera dan di Jawa.

Bagi menjamin keselamatan agama dan negara, hubungan diplomatik dilakukan dengan kuasa-kuasa besar Islam ketika itu seperti kerajaan Turki.

Dalam kerajaan Acheh terdapat sebuah jabatan bagi mengurus hubungan luar. Kerajaan Acheh memulakan perhubungan persahabatan dengan kerajaan Turki pada tahun 1516 Masihi. Menerusi hubungan tersebut Turki membekalkan alat-alat senjata dan penasihat-penasihat tentera kepada Acheh. Dengan itu, kerajaan tersebut dapat mengukuhkan pertahanannya terutama bagi menghadapi ancaman Portugis.

Sebagai negara yang menerima ajaran Islam, unsur-unsur politik Islam yang berbentuk sejagat, saksama, adil, mengenal hak dan bertanggungjawab telah mempengaruhi masyarakat Nusantara.

Konsep pendewaan kepada raja-raja konsep sultan yang hanya sekadar memuliakannya sebagi seorang yang mempunyai kuasa pemerintah, sebagai ketua negara.

Mereka adalah orang yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang, melakukan keadilan, menjaga keamanan, memelihara hak-hak serta kepentingan rakyat.

Sultan merupakan ketua tertinggi bagi melindungi agama dan adat tetapi tidaklah dianggap sebagai peribadi yang paling suci seperti zaman Hindu.

Bagaimanapun rata-rata masyarakat masih menganggap yang sultan itu mempunyai daulat, kedudukannya mengatasi undang-undang sehingga tidak boleh dikenakan sebarang hukuman.


Islam agama rasmi negara yang mendapat berbagai-bagai keistimewaan dan kemudahan sama ada dari segi penyebaran, pentadbiran dan perlaksanaan hukum-hukumnya. Selain dari undang-undang kekeluargaan Islam, perkara-perkara yang bersangkut dengan muamalah ada juga setengah daripada undang-undang jenayah Islam dilaksanakan walaupun secara yang kurang sempurna dan komprehensif.

Di Melaka sebagai contoh terdapat perlaksanaan hukum zina dan mencuri secara Islam yang terdapat dalam peruntukan Hukum Kanun Melaka. Berpandu kepada situasi tersebut, kerajaan Melaka diaktakan sebagai sebuah kerajaan Islam dan juga menjadi sebuah empayar Islam di Asia Tenggara. Begitu juga denagn kerajaan Acheh yang berpengaruh selepasnya.

Islam agama rasmi negara yang mendapat berbagai-bagai keistimewaan dan kemudahan sama ada dari segi penyebaran, pentadbiran dan perlaksanaan hukum-hukumnya. Selain dari undang-undang kekeluargaan Islam, perkara-perkara yang bersangkut dengan muamalah ada juga setengah daripada undang-undang jenayah Islam dilaksanakan walaupun secara yang kurang sempurna dan komprehensif.

Di Melaka sebagai contoh terdapat perlaksanaan hukum zina dan mencuri secara Islam yang terdapat dalam peruntukan Hukum Kanun Melaka. Berpandu kepada situasi tersebut, kerajaan Melaka diaktakan sebagai sebuah kerajaan Islam dan juga menjadi sebuah empayar Islam di Asia Tenggara. Begitu juga denagn kerajaan Acheh yang berpengaruh selepasnya.

Pengaruh Islam dalam bidang sosial

Beransur-ansur unsur-unsur sosial Islam menyerap ke Nusantara dan dapat mempengaruhi masyarakat. (Kasta dll)

Komunikasi dan interaksi berjalan dengan sempurna, ianya dapat dijalin menerusi sifat hormat-menghormati, bergotong-royong dan bantu-membantu. Dalam Islam unsur-unsur tersebut amat ditekankan kerana ianya merupakan sebahagian daripada amal salih.

Perubahan sosial juga berlaku dengan adanya revolusi mental yang diketengahkan oleh Islam dalam masyarakat di Nusantara. Semua ajaran Islam mengandungi unsur-unsur rasionalisme, di mana Islam telah menekankan konsep sama taraf antara manusia di sisi Allah. Semua manusia adalah berasal dari Adam a.s. dan Adam a.s. dijadikan dari tanah. Oleh itu yang maha berkuasa ialah Allah, Dialah yang menjadikan segala makluk, kemudian mematikan dan akhirnya dihidupkan semula, kepadaNya sahaja yang wajib disembah.

Islam juga menonjolkan unsur-unsur metafizika yang berkaitan dengan rukun iman dan perkara-perkara yang berhubung dengan Samiyyat di samping unsur-unsur Hukum Syarak yang terdiri dari perkara-perkara wajib, sunat, makruh, haram dan harus.

Unsur-unsur tersebut amat mempengaruhi pemikiran mereka, oleh itu segala kerjaya dan tindak-tanduk mereka bukan semata-mata didorong oleh kesenangan duniawi tetapi juga untuk mendapat keredaan Allah dan pembalasan di akhirat.

Dalam melakukan sesuatu pekerjaan mereka lakukan secara ikhlas dan bersungguh-sungguh di samping memperhitungkan sama ada ianya halal atau haram. Tegasnya semua kegiatan yang dilakukan sama ada dari aspek sosial, ekonomi, politik dan lain-lain adalah didasar oleh pemikiran dan petunjuk Islam.

Pengaruh Islam dalam bidang ekonomi

Kedatangan Islam hanya memberi suatu kelanjutan terhadap kegiatan ekonomi yang sedia wujud atau sekurang-kurangnya memberi wajah baru atau konsep serta matlamat baru dalam aspek perdagangan dan ekonomi masyarakat Nusantara.

Konsep ekonomi Islam bukanlah semata-mata kebendaan tetapi keredaan Allah. Oleh itu segala kegiatan ekonomi sentiasa dipengaruhi oleh hukum yang ditetapkan oleh syarak, sama ada halal atau haram.

Mereka dilarang melakukan riba, merampas, penipuan dalam jual beli, monopoli perdagangan dan lain-lain.

kekayaan yang didapati hendaklah dikeluarkan zakat dan amal jariah. Itulah konsep dan matlamat akhir kebendaan dan kekayaan dalam Islam yang mempengaruhi masyarakat Nusantara.

Pengaruh Islam dalam bidang pendidikan

Agama dan ilmu pengetahuan merupakan dua angkubah yang saling berkait dan pengaruh mempengaruhi, boleh diibaratkan sebagai roh dengan jasad bagi sesuatu badan. Tidak bergerak jasad tanpa roh begitu juga tidak berfungsi roh tanpa jasad. Tidak sempurna iman seseorang tanpa ilmu pengetahuan begitu juga tidak berperanan ilmu secara hakikinya tanpa iman.

Di Melaka, sultannya yang pertama, Megat Iskandar Shah 1414 Masihi hingga sultan-sultan yang akhir sebelum tahun 1511 Masihi begitu mengambil berat tentang perkembangan pelajaran dan pendidikan Islam.

Bukan sahaja rumah-rumah, masjid dan surau berperanan sebagai pusat pengajian Islam bahkan juga istana-istana sultan. Fungsi istana selain dari tempat belajar dan bermuzakarah ianya berperanan sebagai perpustakaan, tempat penterjemahan dan penyalinan buku-buku.

Rakyat digalakkan belajar di mana-mana sahaja pusat pengajian ketika itu dengan memberi penekanan intensif terhadap pengajian al-Quran dan asas agama.

Hasil dari kegiatan pengajian Islam yang dipelopori dan diawasi oleh sultan-sultan bukan sahaja dapat menghapuskan buta huruf bahkan dapat melahirkan tokoh-tokoh agama dari kalangan tempatan. Dikatakan Raja Alauddin Riayat Shah (1477 - 1488 Masihi) sendiri adalah seorang ulama.

Pengajian Islam di Melaka sudah sampai ke tahap yang tinggi dan ianya bukan menjadi peringkat pengajian yang semata-mata diletak ke bahu rakyat bahkan golongan raja-raja dan pembesar sama-sama terlibat. Berpunca dari kemajuan ilmu pengetahuan itulah menjadikan Melaka begitu kuat berpegang dengan ajaran Islam di samping menjadi pusat penyibaran Islam yang terpenting di Asia Tenggara ketika itu.

Agama Islam menyebabkan lahir satu pendidikan yang teratur dan sistematik. Pendidikan agama yang diajar di masjid dan surau dikembangkan menjadi pendidikan yang lebih praktikal, yang dikenali sebagai sekolah pondok. Sistem pendidikan pondok menjadi asas kepada masyarakat di Nusantara untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah dalam pendidikan Islam.

Dengan kejatuhan Melaka pada tahun 1511 Masihi, Acheh mengambilalih menjadi pusat pengajian Islam yang dinamis di rantau ini. Kemajuan dan perkembangan pelajaran dan pendidikan di Acheh merupakan satu kesinambungan yang diasaskan oleh kerajaan Perlak dan Pasai sebelumnya. Para ulama dipandang tinggi sehingga seseorang ulama boleh memangku jawatan sultan bila ia mangkat sebelum dilantiknya sultan yang baru. Kedudukan ilmu pengetahuan begitu penting di Acheh, di mana ia dijadikan syarat bagi seseorang calon untuk memegang sesuatu jawatan dalam kerajaan. Selepas zaman kegemilangan Acheh, pelajaran dan pendidikan Islam tersibar melalui pusat-pusat pengajian di Jawa, Riau, Banjar, Patani, Kedah, Kelantan dan sebagainya.

Pengaruh Islam dalam perundangan

Undang-undang Melaka sebagai contoh jelas kerana ia bukan sahaja dilaksanakan di negeri Melaka bahkan di seluruh negeri-negeri di Sumatera. Ia diindoktrinasikan oleh kerajaan Islam Acheh yang mengambilalih kuasa politik, perundangan dan pendidikan selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi.
Hukum Kanun ini mengandungi 2 bahagian:

Pertama, undang-undang negeri yang dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka, mengandungi undang-undang jenayah, muamalah, keluarga, keterangan dan acara, syarat-syarat menjadi raja serta tanggungjawab mereka dan pembesar-pembesar negeri terhadap pemerintahan.

Kedua ialah Undang-undang Laut Melaka yang mengandungi perkara-perkara yang berhubung dengan peraturan pelayaran dan perniagaan, kesalahan jenayah perdagangan serta bidang kuasa nakhoda kapal. Oleh kerana Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang induk yang meliputi undang-undang lain di dalam negeri di samping pengaruhnya terhadap negeri-negeri Melayu di bawah empayarnya, amatlah jelas ianya dijadikan contoh tentang wujudnya pengaruh Islam dalam perundangan.

Undang-undang Syariah telah diamalkan oleh kerajaan Islam. Undang-undang ini berkaitan dengan jenayah dan hal-hal awam seperti perkahwinan, jual-beli dan pembahagian harta pusaka. Terdapat peruntukan yang menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan hendaklah dilangsungkan oleh orang-orang tertentu yang dilantik oleh Sultan. Persetujuan wali adalah wajib dan dalam kes-kes yang tertentu Sultan boleh bertindak sebagai wali.

Kesimpulan

Berdasarkan tradisi sosial sebagaimana yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu, ternyata agama Islam telah menjadi agama rasmi Melaka. Dalam sistem pemerintahan pada masa itu jelas bahawa raja-raja telah melantik kadi sebagai penasihat mereka berhubung dengan hal-ehwal agama.

Islam merupakan cara hidup yang sempurna, mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Ini bermakna bahawa segala kegiatan politik, sosial, ekonomi, ideologi, undang-undang, ketenteraan dan kepercayaan terarah sesuai dengan agama Islam. Haluan politik kerajaan di Nusantara selepas kedatangan Islam adalah berasaskan kepada ciri-ciri politik Islam. Sultan haruslah memerintah secara adil, berasaskan kepada hukum Syariah yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.


Pengaruh Islam menyebabkan lahirnya satu sikap di kalangan masyarakat Nusantara iaitu pemberian sedekah. Setiap tahun, peratusan tertentu dari pendapatan mereka disedekahkan kepada orang miskin. Kedatangan Islam juga telah melahirkan ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu. Pendidikan Islam merupakan proses yang berperanan membawa perubahan kepada sekalian manusia yang membawa kepada kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat yang berdasarkan al-Quran dan al-Hadis.

4 comments:

Anonymous said...

mtk izin copy n jadikan references...sgt2 membanttu..tQ SOOO Much...God bless u amin

Anonymous said...

bley thu dpt sumber ni dripda mne???

Anonymous said...

mntak izin copy.. complete answer.. sgt membantu.. thanks :)

Gadis Chelsea said...

blh mntk copy ?? sgt2 membantu .. thanks ... :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...