Cari Nota Dengan Cepat...!

Monday, June 29, 2009

Cabang-cabang Falsafah.

Cabang-cabang Falsafah.

Falsafah boleh dibahagikan kepada empat cabang,iaitu metafizik,axiologi,epistemologi,dan logik.

Metafizik (Ontologi)

Metafizik adalah satu cabang falsafah yang mengkaji tentang perkara-perkara seperti sifat realiti, apa yang wujud di dunia ini dan susunaturnya. Menurut takrifan dalam kamus,metafizik merujuk kepada “... yang jauh melangkau alam fizikal atau kebendaan”. Metafizik bersifat spekulatif dan memberi fokus kepada perkaitan sebab-akibat.

Metafizik mengutarakan soalan-soalan seperti di bawah:

  • Apa itu kebenaran?
  • Adakah Tuhan wujud?
  • Siapa itu manusia?
  • Apakah itu kebebasan manusia?
  • Adakah dunia ini semata-mata terdiri daripada jisim sahaja?
  • Adakah manusia mempunyai akal? Apakah hubungan antara akal dan tubuh?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sukar untuk kita mencari jawapan kepada soalan-soalan tadi dengan hanya merujuk kepada dapatan-dapatan eksperimen atau kajian saintifik.

Axiologi.

Axiologi berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud ‘nilai’. Ia adalah cabang falsafah yang mempersoalkan tentang baib atau buruk,benar atau salah, cantik atau hodoh. Ia merangkumi dua aspek,iaitu etika dan estetika.

1) Etika. Lebih mengutamakan “apa yang sepatutnya kita lakukan” dan “apa yang paling sesuai untuk kita lakukan”. Pendek kata,etika memberi perhatian kepada kualiti moral dan tingkahlaku manusia kerana mengkaji kebaikan seseorang, sesuatu masyarakat dan kehidupan. Ia dikategorikan kepada tiga bidang asas seperti yang berikut:

· Meta ethics- kajian tentang konsep etika.

· Normative ethics- kajian tentang bagaimana menentukan nilai etika;

· Applied ethics- kajian tentang penggunaan nilai etika.

Sehubungan itu, etika cuba menjawab soalan-soalan seperti yang berikut:

· Apa itu kebaikan? Apakah ciri-ciri tingkahlaku yang menentukan kebaikan?

· Apa yang menentukan sesuatu tindakan itu betul?

· Adakah moraliti itu bersifat objektif atau subjektif?

2) Estetika. Merujuk kepada kriteria bagi kecantikan dalam kesenian,alam sekeliling dan kehidupan. Dengan kata lain,ia lebih tertumpu kepada cita rasa dan sentimen. Anatara soalan-soalan yang cuba dijawab termasuklah:

· Apa itu kecantikan?

· Bagaimanakah kita dapat menikmati keindahan alam semulajadi?

Epistemologi.

Cabang falsafah ini lebih dikenali sebagai teori ilmu yang mengkaji tentang ilmu dan kepercayaan. Ia berasal daripada perkataan Yunani episteme yang bermaksud ‘ilmu’ atau ‘sains’ dan logos yang bermaksud ‘keterangan’. Justeru,epistemologi berfokuskan kepada penganalisisan dan penghasilan ilmu dan tuntutan ilmu.

Dengan kata lain,epistemologi ini cuba menjawab soalan-soalan seperti berikut:

  • Apa itu ilmu?
  • Apakah sumber-sumber pengetahuan?
  • Apa yang diketahui oleh manusia?
  • Bagaimanakah kita tahu bahawa kita ketahui sesuatu?
  • Adakah ilmu statik atau senantiasa berubah?

Selain itu,epistemologi juga tertumpu kepada cara untuk memperoleh ilmu dan kesahan cara mencari ilmu. Antara sumber ilmu ialah seperti di bawah:

  • Wahyu. Pengetahuan yang diperturunkan oleh Tuhan melalui orang perantaraan tertentu yang dipilihNya untuk disampaikan kepada masyarakat umum;
  • Berasaskan pengalaman pancaindera. Apa yang kita lihat,dengar,rasa,sentuh dan bau merupakan satu cara untuk kita memperoleh maklumat mengenai alam sekeliling kita. Namun, cara mengetahui sedemikian berkemungkinan kurang tepat,misalnya,ayam goreng yang kita rasa sebenarnya adalah arnab goreng,air yang kita lihat atas jalan raya sebenarnya adalah sesuatu mirage.
  • Intuisi. Pengetahuan yang diperoleh oleh seseorang melalui cetusan idea secara tiba-tiba dan tidak disedari. Misalnya,seseorang ibu yang dapat mengesan sama ada anaknya menghadiri kelas mengaji al-Quran sebaik sahaja anaknya masuk ke dalam rumah.
  • Pandangan pakar bidang berkenaan berdasarkan ilmu dan kemahiran yang dipunyai. Misalnya,tokoh-tokoh falsafah yang terkenal seperti Socrates, Plato, Dewey dan sebagainya.
  • Logik. Kita mempunyai akal yang membolehkan kita membuat taakulan dan seterusnya mengetahui sesuatu;
  • Kaedah saintifik. Melibatkan carian jawapan kepada persoalan-persoalan tertentu melalui pengumpulan dan penganalisisan data secara sistematik,misalnya menjalankan temu bual, membuat pemerhatian, mentadbirkan soal selidik, dan sebagainya.

Logik.

Logik menerangkan hubungan antara idea-idea di samping memberi alasan bagu jawapan yang diberi. Selain itu, logik juga cuba membezakan antara apa yang dikatakan sebagai sah dan yang mengelirukan.

Secara umumnya, terdapat dua jenis logik:

  • Logik induktif- bermula dengan butiran khusus,kemudian membuat penaakulan terhadap butiran terhadap dan seterusnya membuat kesimpulan umum yang menjelaskannya.
  • Logik deduktif- bermula dengan kesimpulan umum, kemudian mencari contoh-contoh yang relevan bagi menerangkan kesimpulan ini dan seterusnya butiran yang terhasil secara logik.

Antara soalan-soalan yang cuba dijawab termasuk:

  • Apa yang dimaksudkan dengan taakulan “baik” atau “kurang baik”?
  • Bagaimanakah kita tentukan sama ada taakulan itu bersifat baik atau kurang baik?

4 comments:

Fiqah Alias said...

maaf fiqah bertanya...berbeza atau same cabang2 falsafah dengan cabang2 falsafah pendidikan...??

mohon bantu fiqah yer..fiqah tgh konfius nie...

Anonymous said...

fiqah,sama je..
sbb kita bljr cabang flsfh yg menjurus pd falsafah pendidikan..
jd itu perkara yg sama..cbg2 flsafah tu yg menjadi ass pembentukan flsafh pendidikan.. ;)

Anonymous said...

ape pula implikasi cabang2 ni thdp penddkn??

Unknown said...

Hi, Saya mahu bertanya Apakah persamaan cabang-ii falsafah tersebut?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...