Cari Nota Dengan Cepat...!

Saturday, June 20, 2009

Sejarah Pendidikan Jasmani.

Sejarah Pendidikan Jasmani.

ZAMAN PRIMITIF DAN PURBA AWAL:

Dalam masyarakat primitif, sukan dan pendidikan jasmani merupakan satu aspek yang amat mustahak dalam kehidupan seharian. Masyarakat primitif yang kurang stamina, kemahiran, keteguhan dan kegagahan akan merugikan komuniti mereka. Untuk mempertahankan komuniti dan kewujudan yang berterusan sesuatu suku itu, para belia harus membina kekuatan, daya tahan, ketangkasan dan kemahiran untuk menanggung kehidupan mereka.
Kanak-kanak pula akan mempelajari kemahiran melalui peniruan. Para bapa akan mengajar anak lelaki tentang segala kemahiran yang diperlukan oleh seseorang pemburu atau pelayar. Di antara aktiviti kemahiran termasuklah memanah, melempar gada dan lembing, memburu binatang, membuat senjata dan sampan, menangkap ikan dan mendayung kolek. Aktiviti perkembangan fizikal adalah seperti berenang, berlari, dan mendaki gunung. Aktiviti-aktiviti ini adalah satu keperluan yang diwajibkan oleh setiap kanak-kanak dalam masyarakat primitif untuk menjamin kehidupan mereka.
Menari merupakan amalan mulia bagi masyarakat primitif. Ia adalah salah satu media utama dalam proses komunikasi antara manusia dengan roh-roh atau tuhan. Masa dan tempat upacara serta tarian diadakan akan ditentukan oleh adat resam suku kaum masing-masing.

SUKAN DALAM MASYARAKAT YUNANI PURBA:

Perkembangan pendidikan di Yunani dibahagikan kepada empat tahap:
1. Pendidikan Yunani Homer (zaman prasejarah hingga Olimpik 776 S.M).
2. Pendidikan Yunani Sparta (meliputi seluruh zaman sejarah Sparta).
3. Pendidikan Yunani Athens Awal (776 S.M hingga akhir Perang Parsi pada 480 S.M).
4. Pendidikan Yunani Athens Lewat (dari 480 S.M hingga penaklukan Mekadonia 338 S.M).


Yunani Homer
Tujuan utama pendidikan jasmani dan sukan adalah untuk membentuk manusia petindak. Peperangan sering berlaku. Maka, setiap warganegara merupakan perajurit dan keadaan fizikal yang sihat dan kuat adalah sangat penting.
Senaman bertujuan menghasilkan kualiti-kualiti seperti kekuatan, daya ketahanan, kepantasan dan keberanian yang sangat diperlukan dalam peperangan. Di antara aktiviti-aktiviti sukan yang dimainkan oleh kelas aristocrat ialah perlumbaan kereta kuda, tinju, bergomol dan lari. Bagi golongan askar, aktivitinya adalah seperti membaling lembing, memanah dan mengangkat berat. Dalam zaman ini, penduduknya boleh dikatakan melibatkan diri dalam sukan yang memerlukan tenaga dan kekuatan.

Yunani Sparta
Sparta merupakan sebuah negara tentera. Semua rakyat hanya mempunyai satu profesion iaitu sebagai askar, maka pendidikan jasmani dan sukan serta semua pendidikan di Sparta merupakan latihan untuk peperangan. Ini bertujuan untuk membentuk setiap rakyat sebagai petindak yang mempunyai kekuatan yang ganas, daya ketahanan yang tinggi, semangat keteguhan dan kegagahan serta kemahiran yenyera yang amat diperlukan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti gimnastik, lari dan lompatan serta permainan bola.
Aktiviti-aktiviti lain termasuk lawan pedang, acara lompat, berenang, memburu, gusti, tinju, berjalan kaki, lempar cakera dan baling lembing.

Yunani Athens Awal
Pendidikan jasmani di Athens mempunyai fungsi lagi selain daripada untuk menyediakan warganegara di medan perang, iaitu untuk nilai estetika dan harmoni. Bagi mereka, tubuh badan adalah sama penting dengan otak. Oleh demikian sukan dihubungkan dengan falsafah, muzik, sastera, lukisan dan ukiran. Orang Greek yang menghargai kecantikan (fizikal) menganggap bahawa gemuk, kurang segar, dan pertumbuhan yang tidak wajar sebagau mengaibkan dan sebagai tanda kurang pendidikan.
Di antara program pendidikan jasmani dan sukan bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur 7-12 tahun adalah seperti berlari, lompatan, memanjat tali, permainan bola, baling lembing dan lempar cakera bersaiz kecil. Bagi pelajar yang lebih besar (dari segi umur), aktiviti lebih bertenaga seperti perlumbaan, baling lembing dan lempar cakera bersaiz besar, lompatan, bertinju, bergomol dan perlumbaan kereta kuda disediakan.

Yunani Athens Lewat
Selepas perang Parsi, Athens yang dahulu merupakan masyarakat pertanian, telah berubah menjadi pusat perdagangan dan sebuah pusat kosmopolitan. Penduduknya mempunyai lebih banyak masa lapang untuk perkembangan intelektual. Tujuan sekarang ialah membentuk manusia bijak dan bukan lagi manusia petindak. Antara aktiviti-aktiviti fizikal termasuklah gimnastik, olahraga, lumba berperisai, baling lembing, memanah, equestrian dan tinju. Walaubagaimanapun, mereka lebih berminat menjadi penonton daripada peserta.

SUKAN OLIMPIK
Sukan Olimpik diadakan sekali setiap empat tahun mulai tahun 776 S.M. sukan ini dijalankan selama lima hari pada bulan Ogos tahun itu bersama-sama dengan upacara menghormati Zeus (tuhan orang-orang Greek). Boleh dikatakan segenap lapisan masyarakat seperti petani, golongan bangsawan, ahli politik dan lain-lain mengambil bahagian. Jadi, perayaan Olimpik merupakan satu acara mengadakan pertukaran kebudayaan yang berbeza antara negara-negara kota.
Satu acara sahaja yang diadakan dalam sukan tahun 776 S.M itu, iaitu lumba lari, dan johan utama adalah Coroibos dari Olis yang memenangi perlumbaan stadium sejauh 170meter. Acara-acara sukan mula ditambah dengan adanya perlumbaan jarak jauh, lempar cakera, lompat jauh, baling lembing, bergomol, tinju dan sebagainya. Dalam tahun 393 (masihi), Maharaja Theodosius telah menamatkan Sukan Olimpik yang telah diadakan selama 1503 tahun itu.
Usaha untuk menghidupkan semula Sukan Olimpik muncul pada akhir abad ke-19. Pengasas Sukan Olimpik moden adalah Baron Pierre de Coubertin (1863-1937), seorang Perancis. Berdasarkan pengaruh beliau, dipersetujui untuk mengadakan Sukan Olimpik sekali setiap empat tahun, di mana semua bangsa dijemput mengambil bahagian. Sukan pertama diadakan di Athens dalam tahun 1896. Sejak itu, setiap empat tahun sukan ini diadakan.

sport psychology
sport news

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...