UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN JOHOR
Pada hari ini 14.4.1895, Sultan Abu Bakar telah mengadakan satu istiadat di Johor Bahru kerana menandatangani dan memasyhorkan Undang-undang Tubuh Kerajaan iaitu Perlembagaan bagi negeri Johor yang telah disediakan oleh Jemaah Menteri-menteri Baginda yang dibantu oleh sebuah syarikat peguam di Singapura, Rodyk and Davidson.
Dalam istiadat ini Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor itu telah ditandatangani oleh Sultan Abu Bakar, adinda baginda Ungku Muhamad Khalid ibni Almarhum Temenggung Ibrahim dan Tengku Mahkota Ibrahim. Perlembagaan ini ditandatangani juga oleh Ahli-ahli Jemaah Menteri dan ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Johor.
Di antara kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan itu ialah:
Syarat-syarat bagi melantik atau menabalkan Sultan serta menetapkan wang-wang perbelanjaan dan aturan-aturan bagi menggantikan Sultan Johor itu hingga berketurunan;
Peraturan-peraturan dan kewajipan-kewajipan Majlis Mesyuarat Menteri-menteri dan Majlis Mesyuarat Negeri;
Aturan-aturan berkenaan dengan agama dalam negeri Johor;
Menetapkan asas hukuman-hukuman undang-undang yang akan dijalankan di dalam mahkamah-mahkamah keadilan;
Mengenai perjanjian dengan negara-negara asing;
Undang-undang Tubuh ini kemudiannya diwartakan pada 14hb September, 1895 (24 Rabiul-Awal 1333). Semenjak ia diperakukan dan dimasyhorkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor ini telah mengalami empat kali tambahan yang berlaku di sepanjang pemerintahan Sultan Ibrahim.
Perubahan pertama pada 1 April 1908
Perubahan kedua pada 17 September 1912
Perubahan Ketiga pada 12 Mei 1914
Perubahan Keempat pada 17 Julai 1918
Di antara Kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu dalam kurun Masihi yang ke 19, Kerajaan Johorlah yang mula-mula memakai Undang-undang Tubuh yang bertulis. Teks asal Undang-undang Tubuh 1895 hingga 1908 adalah ditulis dalam tulisan Jawi. Undang-undang ini (1895-1918) masih terpakai bagi Kerajaan Johor hingga sekarang.
1 comment:
semua nota diatas adakah mrangkui soalan-soalan peperiksaan utk subjek ni.?
Post a Comment