Cari Nota Dengan Cepat...!

Saturday, June 20, 2009

Kemahiran Bertutur

Kemahiran Bertutur

Kemahiran Bertutur merujuk kepada keupayaan pelajar menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada keyakinan pelajar untuk bertutur serta penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.

Kecekapan berbahasa bagi kemahiran bertutur adalah seperti berikut:

a. Menyebut sesuatu perkataan dengan sebutan yang betul.

b. Bertutur dengan fasih dan dapat memberi pendapat serta pandangan dengan jelas untuk melibatkan diri dalam interaksi sosial.

c. Berbual dan berbincang tentang kehidupan yang berkaitan dengan diri, keluarga, dan masyarakat dengan menggunakan sebutan serta intonasi yang betul.

d. Menyoal untuk mendapatkan maklumat dengan mengemukakan soalan secara jelas dan sopan.

e. Menjawab secara spontan tentang sesuatu perkara atau isu yang dikemukakan terhadapnya.

Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran bertutur di kalangan pelajar:

a. Mengadakan latih tubi sebutan untuk membetulkan kesalahan penyebutan yang telah dikenal pasti.

b. Perbualan secara terpimpin, dialog, dan soal jawab boleh dijalankan untuk memberi peluang kepada pelajar bercakap tanpa perasaan segan, takut, dan bosan.

c. Mempersembahkan satu daya kreatif berdasarkan skrip yang sedia ada atau yang dicipta oleh pelajar sendiri.

d. Mengadakan pertandingan bercerita, perbahasan, forum, temu ramah, ceramah, syarahan, dan sebagainya.

f. Membincangkan berita dan peristiwa semasa, membincang isi yang terdapat dalam satu gambar bersiri, membincang aspek-aspek satu filem atau slaid yang telah diperlihatkan.

Berdasarkan konteks yang umum, pengunaan bahasa dapat dibahagikan kepada bahasa formal dan tak formal.

Contoh bahasa formal - Bahasa Baku dan Bahasa Diraja atau Bahasa Istana.

Contoh bahasa tak formal - Bahasa mesra, bahasa slanga, bahasa basahan, bahasa pasar, bahasa halus, bahasa kasar, bahasa dialek dan sebagainya.

Bahasa formal dan bahasa tak formal dapat dibezakan dengan membandingkan ragam bahasa bebas dan bahasa terkawal, dan ragam bahasa mesra dan bahasa formal.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...